BERITA

Belanjawan 2020 mungkin masukkan pakej rangsangan mini - RHB Research



KUALA LUMPUR, 17 Sept -- Belanjawan 2020 mungkin akan memasukkan pelan kontigensi untuk menangani kelembapan daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Pakej "dikenali” pakej rangsangan fiskal mini itu boleh berjumlah sehingga RM3 bilion atau 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan pada masa yang sama mungkin dalam bentuk perbelanjaan pembangunan lebih tinggi, kata RHB Research.

Firma penyelidikan itu berpendapat langkah itu akan meningkatkan sasaran defisit kepada 3.2 peratus daripada KDNK daripada tiga peratus.

Katanya dalam nota hari ini, langkah yang mungkin disenaraikan dalam pelan kontingensi, akan termasuk pelanjutan elaun pelaburan semula, geran dan jaminan kewangan bagi perusahaan kecil dan sederhana, perbelanjaan pembangunan lebih tinggi untuk merangsang aktiviti pembinaan dan perbelanjaan sosial lebih tinggi untuk membantu kumpulan B40.

“Kami percaya langkah berkenaan akan membantu menangani pelaburan swasta negara yang perlahan dan aktiviti perdagangan lemah,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengulangi bahawa perbelanjaan pembangunan lebih tinggi kepada sehingga RM3 bilion dijangkakan di bawah pelan kontigensi itu, yang mungkin akan beri tumpuan pada projek pembinaan infrastruktur, dan pada masa sama memudahkan perdagangan dan industri untuk membolehkan penempatan semula dan mempelbagaikan perdagangan di tengah-tengah perang perdagangan.

Ini berserta dengan menaik taraf bangunan awam dan peralatan di sekolah, hospital dan universiti yang sedia ada, serta perbelanjaan sosial lebih tinggi untuk membantu kumpulan B40.

“Projek infrastruktur baharu seperti lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL1) dan transit aliran ringan  (LRT) di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) RM46 bilion  mungkin diumumkan dalam belanjawan itu.

“Semua peningkatan perbelanjaan fiskal ini mungkin meningkatkan jumlah perbelanjaan pembangunan kasar kepada RM58 bilion, dan dicampur dengan potongan cukai dan elaun, ia dijangka  meningkatkan lagi defisit fiskal kepada RM52 bilion atau -3.2 peratus daripada KDNK,” kata RHB Research. 

Dalam perkembangan berasingan, RHB Research berkata kadar cukai pendapatan korporat mungkin diturunkan di bawah pelan kontigensi yang disebut oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, untuk menangani kesan daripada perang perdagangan AS-China.

Ia berkata kadar cukai pendapatan korporat Malaysia ketika ini pada 24 peratus bagi syarikat dan kekal pada kadar itu sejak 2014.

Sementara itu, kerajaan telah membayangkan kemungkinan tidak memperkenalkan langkah cukai baharu untuk Belanjawan 2020 selepas melaksanakan beberapa cukai baharu - antara lain seperti  kenaikan cukai permainan, gula, digital dan hartanah, pada Belanjawan 2019.

“Ini kerana ekonomi mungkin berdepan cabaran lebih sukar pada 2020, dengan perang perdagangan AS-China kian memuncak dan persekitaran pertumbuhan global lebih perlahan.

“Berdasarkan cabaran berkenaan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia akan mendapati adalah mencabar untuk mencapai sasaran defisit fiskal tiga peratus pada 2020,” kata RHB Research.

Katanya, sehubungan itu, Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi kesan daripada perang perdagangan pada tahun depan.

“Ini mungkin petunjuk bahawa kerajaan bersedia untuk menangguhkan langkah penyepaduan fiskal yang sedang dijalankan dan membolehkan defisit belanjawan meningkat lebih tinggi daripada sasaran tiga peratus daripada KDNK GDP bagi 2020, seperti ditetapkan dalam kerangka fiskal penggal pertengahan 2019-2021,” katanya.

-- BERNAMA





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel