BERITA

Belanjawan 2020 cepatkan pertumbuhan industri logistik



Oleh Harizah Hanim Mohamed

MANCHESTER, 16 Okt  -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk membangunkan sektor logistik tempatan dengan menangani isu utama yang tertangguh seperti landasan kereta api dan baik pulih jalan, manakala peruntukan besar untuk meningkatkan infrastruktur pelabuhan memerlukan pelan rancangan yang jelas untuk meletakkan Pelabuhan Klang sebagai pusat dan hab logistik dan maritim serantau.

Pengarah Urusan Kumpulan Westports Datuk Ruben Emir Gnanalingam, berkata peruntukan Belanjawan 2020 akan meningkatkan ekosistem dan rangkaian pengangkutan negara, langkah yang baik untuk keseluruhan industri logistik termasuk Westports Holdings Bhd.

"Inisiatif terbaru ini mencerminkan pentingnya sektor logistik sebagai aktiviti ekonomi selari dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

"Bagi pelabuhan Pulau Carey, kajian terkini kerajaan dijangkakan dapat mengetahui kemampuan pulau berkenaan membantu meningkatkan kapasiti pertumbuhan Pelabuhan Klang dalam jangka panjang,‘ katanya kepada Bernama ketika dihubungi menerusi e-mel.

Kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM50 juta untuk pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya ke Pelabuhan Klang, manakala Kementerian Pengangkutan akan memulakan kajian daya maju Rail Bypass (jalan pintas) Serendah-Pelabuhan Klang untuk penghantaran kargo, dan Koridor Logistik Klang - lebuh raya khas yang menghubungkan Northport dan Westport -  dengan kedua-dua projek itu dianggarkan bernilai RM8.3 bilion.

Sebanyak RM50 juta tambahan diperuntukkan untuk menggalakkan  perkongsian awam-swasta di Zon Ekonomi Khas Kota Perdana Bukit Kayu Hitam.

Pengasas dan rakan pengurusan Partners Group Consulting (TPG), Abi Sofian Abdul Hamid berkata kerajaan sedang menangani keperluan jalan pintas yang sudah tertangguh, dengan kajian mengenainya dijalankan beberapa tahun lepas.

TPG ialah perunding pengurusan bagi infrastruktur pengangkutan dan logistik, perancangan pelabuhan, pembangunan dan operasi. Abi Sofian juga ialah ahli jawatankuasa pengurusan antarabangsa Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILT) yang menyelia semua cawangan CILT di seluruh dunia.

Beliau berkata kajian ke atas perkhidmatan kereta api akan dapat mengenal pasti dengan jelas keperluan untuk perkhidmatan dan operasi, khususnya bagi pergerakan kargo ke pelabuhan sebagai sebahagian daripada pakej Belanjawan 2020.

"Sekiranya jalan pintas selesai, adakah pengendali kereta api seperti Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) atau kerajaan membeli lebih banyak gerabak dan lokomotif untuk menampung unjuran trafik? Adakah infrastruktur dan perhubungan yang lebih baik meningkatkan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan yang akhirnya menyumbang kepada keseluruhan rantaian bekalan? Pendek kata, apakah infrastruktur akan digunakan secara optimum? " katanya.

Beliau berkata hubungan merupakan tumpuan utama dalam membangunkan sistem kereta api dalam negara, terutama untuk meningkatkan pertumbuhan kontena di Pelabuhan Klang, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pusat maritim utama.

"Pada masa yang sama, kesalinghubungan bersepadu antara pelbagai pusat pengedaran kontena dengan pelabuhan dan lapangan terbang juga perlu dititikberatkan.

"Pembangunan pusat kargo Bukit Kayu Hitam pula akan menjadi alternatif bagi kontena yang akan diangkut secara langsung melalui jalan raya di sepanjang Lebuh Raya PLUS ke Pelabuhan Pulau Pinang dan bukannya melalui Padang Besar menggunakan kereta api, memandangkan kini tiada rel menghubungkan Bukit Kayu Hitam ke Pelabuhan Pulau Pinang," katanya.

Mengenai perkembangan Pulau Carey, Abi Sofian berkata pengumuman kajian daya maju oleh kerajaan merupakan langkah yang baik, walaupun kajian itu sepatutnya dilakukan bertahun-tahun yang lalu setelah pulau tersebut dikenal pasti sebagai pilihan untuk lokasi pelabuhan masa depan dalam pelan Induk Pelabuhan Klang yang dijalankan oleh Lembaga Pelabuhan Klang pada 2009-2010.

"Setakat yang membabitkan pelabuhan kontena atau pelabuhan pelbagai guna di Pullau Carey. saya percaya ini perlu dikaji dengan teliti, dengan kehendak dan keperluan yang jelas berdasarkan kedudukan unik perdagangan kontena di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata pelan pembangunan pelabuhan Pulau Carey dan lebuh raya antara Northport dan Westports harus dilihat sebagai sebahagian daripada pembangunan Pelabuhan Klang yang berterusan, dengan pelan pemgembangan kapasitinya sudah dibangunkan oleh kerajaan.

"Kerajaan telah meluluskan pengembangkan Westports bagi menambah kapasiti sebanyak 30 juta bersamaan dua puluh kaki (TEUs) untuk 30 tahun akan datang. Kapasiti pengendalian kontena Pelabuhan Klang pada masa ini adalah sekitar 12 juta TEUs setahun.

Pelabuhan Pulau Carey perlulan lebih daripada sekadar pembangunan pelabuhan. Ia mesti dapat menarik kapal singgah dan menawarkan perhubungan pengangkutan yang sangat baik untuk pelanggan pelabuhan," katanya.

-- BERNAMA


 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel