BERITA

Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI



Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), menempatkan negara dalam kedudukan strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, kata pakar ekonomi.

Mereka yakin Malaysia, yang telah dilihat oleh pelabur asing sebagai destinasi pelaburan yang cemerlang berikutan mudah untuk menjalankan perniagaan, mengukuhkan kelebihan daya saingnya dalam pasaran serantau.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata kerajaan telah memberikan komitmennya untuk memacu ekonomi negara selain melindungi kesejahteraan melalui pelbagai langkah dalam Belanjawan 2021, dengan banyak insentif untuk penjagaan kesihatan dan mewujudkan pekerjaan.

Beliau berkata tahun ini amat mencabar berikutan ramai yang kehilangan pekerjaan. Kerajaan perlu menggunakan peruntukan, mungkin lebih banyak daripada sebelumnya selain mencapai keseimbangan antara menghadapi terlalu banyak hutang dan meliputi masyarakat tetapi ini membawa kepada kenaikan ringgit dan aliran dana mula kembali ke negara ini.

Bagi RCEP, katanya pemansuhan tarif ke atas eksport produk pembuatan memberi kelebihan berikutan ekonomi Malaysia yang terbuka akan terus ditingkatkan oleh kemudahan perdagangan bebas.

Aspek yang menarik bagi Malaysia ialah kedudukan geografinya, yang memberi banyak kelebihan.

“Saya berpendapat Malaysia berada di kedudukan yang unik untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) berikutan syarikat asing merancang untuk memindahkan operasi mereka dari China (berikutan perang perdagangan),” katanya kepada Bernama, sambil menambah ekonomi China yang kukuh dan berita baik mengenai vaksin turut membantu memacu sentimen.

Sementara itu, Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak Datuk Shazali Abu Mansor, berkata Program Jaringan Prihatin dan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2021 akan mendorong infrastruktur digital Malaysia.

Beliau juga berkata Malaysia bernasib baik kerana mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi dan profesional untuk bersaing dengan negara serantau lain dalam menarik FDI, dan pakej insentif bernilai RM1 bilion untuk teknologi dengan nilai tambah tinggi dalam Belanjawan 2021 melengkapkan keseluruhan ekosistem.

“Sebuah negara dengan infrastruktur yang baik, dasar fiskal kerajaan yang berhemat, persekitaran mudah untuk menjalankan perniagaan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi antara komponen utama yang akan dilihat oleh pelabur dalam memilih destinasi pelaburan mereka.

“Sebagai negara yang pesat membangun, Malaysia masih bergantung kepada pelabur asing untuk pembangunan pertumbuhan jangka sederhana hingga panjang dan saya berpandangan Belanjawan 2021 benar-benar mencerminkan imej kita -- sebuah negara yang berusaha untuk memperoleh pelaburan asing,” katanya.

Pada Oktober 2019, ‘Doing Business 2020 Report’ oleh Bank Dunia meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-12 dalam kalangan 190 ekonomi dari seluruh dunia, satu peningkatan daripada kedudukan ke-15 pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Shazali dan Innes berpendapat percukaian di bawah belanjawan itu perlu lebih menggalakkan untuk menarik lebih banyak perniagaan menerusi FDI.

Ini memandangkan landskap ekonomi global menjadi semakin lebih kompetitif dalam situasi ekonomi semasa berikutan pandemik COVID-19, menurut mereka.

“Berbanding dengan negara jiran, Singapura, contohnya, ia menawarkan konsesi cukai yang besar untuk menarik pemindahan perniagaan.

“Jadi, kerajaan mungkin perlu menawarkan lebih banyak pengurangan cukai korporat,” menurut Innes.

Shazali pula berkata kerajaan seharusnya meneliti perspektif jangka panjang, khususnya kesan limpahan yang diwujudkan syarikat multinasional apabila mereka memindahkan perniagaan ke Malaysia, seperti penciptaan pekerjaan, peluang perniagaan, pengangkutan, makanan, akomodasi dan lain-lain.

“Kita tidak berada di pihak yang mengalami kerugian, ia merupakan perjalanan yang panjang dan Malaysia akan meraih manfaat besar sekiranya kerajaan mengurangkan sedikit cukai,” katanya.

Kerajaan telah menawarkan kadar cukai khas menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk syarikat pembuatan tertentu yang memindahkan perniagaan mereka ke Malaysia dan membawa masuk pelaburan baharu.

Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan turut bercadang melanjutkan permohonan insentif itu sehingga 31 Dis, 2022 manakala skop insentif cukai juga diperluaskan kepada syarikat dalam sektor perkhidmatan tertentu yang mewujudkan kesan pengganda ketara dengan menyediakan kadar cukai pendapatan sifar hingga 10 peratus bagi tempoh 10 tahun.

-- BERNAMA

 

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel