BERITA

RHB Research beri saranan "overweight" ke atas 3 sektor bagi belanjawan 2020



KUALA LUMPUR, 17 Sept -- RHB Research memberi saranan “overweight” (beli lebih) ke atas sektor pembinaan, institusi kewangan bukan bank dan perjudian bagi Belanjawan 2020 yang akan datang berikutan jangkaan belanjawan yang lebih berkembang berbanding Belanjawan 2019.

Firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan hari ini berkata bagi sektor pembinaan, kerajaan mungkin menimbang untuk memulakan beberapa suntikan untuk merangsang ekonomi domestik, kemungkinan menerusi langkah mempercepatkan projek prasarana sedia ada. 

Bagi sektor institusi kewangan bukan bank, dijangkakan akan lebih banyak kejelasan daripada Bank Negara Malaysia untuk menangani had pemilikan penginsurans asing dan kemungkinan fasa seterusnya penghapusan tarif bagi kadar insurans motor dan kebakaran, serta pelarasan pelepasan cukai bagi premium insurans hayat dan sumbangan takaful. 

“Diingatkan bahawa kerajaan telah mengasingkan pelepasan cukai bagi caruman insurans hayat dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWS) dalam Belanjawan 2019 daripada had gabungan RM6,000 sebelum ini kepada RM4,000 bagi caruman KWSP dan RM3,000 bagi potongan insurans hayat dan takaful.  

“Kami tidak menolak kemungkinan had itu ditambah baik bagi menggalakkan pengambilan insurans hayat dan takaful dalam belanjawan akan datang,” kata firma penyelidikan itu.  

Bagi sektor perjudian, RHB Research tidak menjangkakan peningkatan seterusnya dalam cukai atau duti berkaitan perjudian kerana sektor itu tidak lagi menjadi sumber yang kerajaan boleh tuai bagi hasil tambahan.

“Pada 35 peratus, duti kasino di Malaysia telahpun menjadi yang tertinggi di rantau ini kecuali Macau, ketinggalan dengan kasino serantau lain dalam menarik lebih ramai pengunjung. Kami merasakan sebarang kenaikan lagi berpotensi mengurangkan jumlah kutipan cukai berikutan kehilangan hasil daripada kuantiti yang rendah,” kata firma penyelidikan itu. 

Sementara itu, bagi sektor hartanah, telekomunikasi, pengguna dan automotif, ia memberikan saranan "neutral” kerana sektor-sektor tersebut dijangka terus menerima insentif di bawah pengumuman Belanjawan 2020. 

Bagi Belanjawan 2020, RHB Research menjangka kerajaan terus menyediakan lebih banyak insentif atau bantuan kewangan bagi kumpulan B40, serta segmen M40, untuk membeli rumah mampu milik. 

“Pada masa yang sama, kami berharap kerajaan juga akan menyemak semula rejim cukai keuntungan hartanah ketika ini dan had harga bagi pembeli hartanah asing.  Memandangkan permintaan tempatan masih agak lemah, dan ditambah dengan penurunan nilai ringgit, kami merasakan adalah wajar untuk menyasarkan lebih ramai pembeli asing bagi membantu menyerap bekalan dalam pasaran tempatan,” kata firma penyelidikan itu. 

RHB Research berkata peruntukan bagi sektor telekomunikasi perlu dipacu oleh Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) lima tahun, pelan tindakan industri telekomunikasi holistik bagi menambah baik akses jalur lebar, kesalinghubungan dan penggunaan.

Bagi sektor pengguna, meskipun langkah-langkah mesra pengguna seperti biasa yang termasuk pemberian tunai, bonus bagi kakitangan kerajaan dan kemungkinan pelepasan cukai pendapatan masih lagi diberikan dalam Belanjawan 2020, kuantumnya mungkin tidak meningkat. 

“Ini memandangkan sasaran kerajaan untuk menguruskan defisit belanjawan. Justeru itu, kami tidak menjangkakan belanjawan akan datang mendorong peningkatan dalam perbelanjaan pengguna,” kata firma penyelidikan itu. 

-- BERNAMA

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel