Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 21 Sept -- Pelbagai pihak penggiat industri maritim yang menunggu pembentangan Belanjawan 2020 pada bulan depan, berharap kerajaan akan memberi pertimbangan serius terhadap aspek khusus industri itu dalam usaha memperkasakan pertumbuhan sektor terbabit.
Ini termasuk menggariskan dasar serta melaksanakan insentif bagi menggalakkan syarikat-syarikat tempatan bersaing di peringkat global.
Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia, Datuk Abdul Hak Md Amin berkata beliau sendiri berharap menerusi belanjawan yang dijadual dibentangkan pada 11 Oktober depan, kerajaan dapat memberi perhatian kepada isu yang disifatkan beliau telah merencatkan pertumbuhan industri itu sejak sekian lamanya.
"Kita berharap kerajaan dapat memberi pengecualian kekal cukai pendapatan syarikat perkapalan yang ketika ini ditetapkan sehingga Disember 2020. Menerusi langkah itu, syarikat-syarikat perkapalan dapat merancang dan melabur dalam pemilikan kapal-kapal baharu, sekali gus meningkatkan kapasiti muatan tan bagi Malaysia.
“Selain itu, kita juga menaruh harapan agar kerajaan dapat mengkaji semula pengecualian dan memperkenalkan kembali Dasar Kabotaj kerana tindakan pemansuhannya telah membantutkan pertumbuhan (industri),” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menerusi langkah yang berkuat kuasa pada 1 Jun, 2017, kawasan seperti Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak lagi terikat dengan Dasar Kabotaj yang dikenakan ke atas semua perkhidmatan kargo perkapalan antara Semenanjung dan ketiga-tiga negeri dan wilayah terbabit.
Malah, antara kesan liberalisasi dasar itu telah menyebabkan lebih banyak kapal asing bergerak bebas di perairan negara berikutan lesen perkapalan domestik itu tidak lagi diperlukan.
Selain itu, Abdul Hak berkata, berdasarkan persekitaran pasaran yang mencabar masa kini, beliau berharap kerajaan dapat menyalurkan dana perkapalan pada kadar faedah rendah untuk menyokong usaha pembelian kapal-kapal baharu selain dapat menghidupkan semula penggunaan kapal sedia ada.
Bagi industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR) Malaysia, beliau berkata kerajaan perlu mempertimbang insentif untuk penggiat tempatan dan mengecualikan aspek termasuk cukai perkhidmatan, cukai import, lesen import keluli agar dapat bersaing dengan China.
Langkah itu juga dapat menggalakkan syarikat-syarikat perkapalan Malaysia mahu pun asing untuk membina kapal baharu di negara ini.
Selain itu, Abdul Hak berkata aspek lain yang memerlukan perhatian kerajaan adalah peruntukan geran bagi pembinaan kapal berkuasa bahan api gas asli cecair (LNG) untuk syarikat perkapalan yang berhasrat beroperasi secara hijau.
“Ini penting memandangkan Malaysia adalah antara pengeksport terbesar LNG dan Malaysia perlu dilihat sebagai peneraju bagi mempromosikan kapal berkuasa LNG,” katanya.
Sementara itu, pandangan tersebut turut disokong oleh Pengarah Muhibbah Marine Engineering Sdn Bhd (MMESB), Ooi Kien Chuan yang menyifatkan sudah tiba masanya untuk kerajaan memastikan dasar dan bantuan kewangan bagi industri itu saling sesuai dan melengkapi satu sama lain.
"Kita tidak boleh mempunyai senario yang mana bantuan kewangan diberikan kepada penggiat namun pada masa sama dasarnya ke arah bertentangan. Kedua-duanya perlu menumpukan usaha untuk mengembangkan industri ini,” katanya.
Beliau berkata, perniagaan pembinaan kapal misalnya telah menyaksikan aliran penurunan sejak beberapa tahun lepas dan ini boleh menyebabkan perniagaan limbungan kapal terpaksa ditamatkan sekiranya tiada sebarang perancangan sewajarnya.
“Ini bukan semata-mata isu tempatan, sentimen global yang lemah dan persekitaran luaran yang getir dan menjejaskan sentimen perniagaan domestik. Pada masa sama, kita tidak boleh sekadar menunggu tanpa berbuat apa-apa...kita perlu menarik perhatian pemilik kapal tempatan untuk meneruskan aktiviti pembinaan yang berupaya mendorong kehadiran pelanggan global,” katanya.
Sambil menyifatkan persekitaran perniagaan masa kini sebagai suram, Ooi berkata pengendali kapal dalam industri minyak dan gas misalnya juga berpendirian lebih berhati-hati dalam melaksanakan pelan perniagaan masing-masing bagi kemajuan masa depan.
"Mereka mencatat pertumbuhan tetapi pada kadar yang amat perlahan dan tidak seperti sebelumnya,” katanya.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel