BERITA

KKM harap peruntukkan besar disalurkan dalam Belanjawan 2020

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli (dua, kiri) turut serta melakukan senamrobik pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Jom Nak Sihat di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Bandar Baru Kuala Selangor hari ini. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA SELANGOR, 29 Sept -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengharapkan peruntukkan lebih besar disalurkan kepada kementerian berkenaan pada Belanjawan 2020 bagi mengatasi masalah kekurangan staf, kelengkapan dan kemudahan yang dihadapi sejak sekian lama.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan berkaitan perkara berkenaan kepada Kementerian Kewangan untuk diberi perhatian dalam merancang belanjawan tahun hadapan.

"Setakat ini, kami menerima reaksi positif terhadap permohonan ini kerana seperti kita sedia maklum KKM menghadapi masalah kurang perbelanjaan, kurang petugas dan kerja yang lebih sejak sekian lama dan hal ini bukan saja diakui malah Ketua Audit Negara sendiri mengakui hal ini dalam laporannya.

"Oleh itu, KKM berharap untuk belanjawan tahun hadapan kami akan diberi peruntukkan yang lebih untuk mengatasi masalah berkaitan kemudahan, peralatan dan kakitangan agar kita dapat memberikan perkhidmatan yang lebih bagus kepada rakyat," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Jom Nak Sihat Daerah Kuala Selangor di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli dan Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim.

Tambah Ahli Parlimen Kuala Selangor itu ketika ini pihaknya dalam proses libat urus dengan pihak Kementerian Kewangan bagi mengemaskini senarai akhir permohonan yang dikemukakan untuk dipertimbangkan dalam belanjawan kelak.

"KKM memang berharap akan ada penambahan dana disalurkan kepada kami, kerana seperti saya tekankan sebelum ini sektor kesihatan selain sektor pendidikan perlu diberi keutamaan, peruntukkan yang disalurkan kepada sektor kesihatan perlu selari dengan dengan kedudukan negara sebagai ekonomi pendapatan pertengahan atas," katanya.

Menurut Laporan Audit Negara 2018 Siri 1 KKM mengalami kekurangan perjawatan iaitu antara 11.6 hingga 53.1 peratus berbanding bilangan perjawatan diperlukan berdasarkan pengiraan ‘Workload Indicators of Staffing Need (WISN) 2010’.

Laporan itu turut menyebut kekurangan perjawatan bagi pakar kecemasan adalah antara 75.6 hingga 79.5 peratus, pegawai perubatan antara 41.2 hingga 64.6 peratus, penolong pegawai perubatan antara 2.6 hingga 33.9 peratus dan jururawat terlatih antara 17.4 hingga 67.1 peratus.

Laporan berkenaaan turut mengesyorkan KKM diberikan perjawatan tambahan bagi mengatasi masalah kekurangan petugas kesihatan termasuk pakar kecemasan berbanding peningkatan beban kerja.

KKM juga disyorkan, dengan kerjasama Kementerian Kewangan mempertimbangkan kaedah yang lebih komprehensif dalam menangani masalah kekurangan fasiliti seperti ‘outsourcing’ atau ‘leasing’ bagi memberikan perkhidmatan kecemasan lebih baik serta dapat mengurangkan beban perbelanjaan Kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, jawatankuasa khas berhubung kaedah kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape sekarang dalam peringkat akhir perbincangan, sebelum dibentangkan ke kabinet.

"Penubuhan jawatankuasa khas itu yang diketuai Dr Boon (Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye) sudah menemui serta berbincang pemegang taruh.

"KKM akui isu vape ini agak kritikal apatah lagi sudah terdapat kes kematian dan ramai yang alami masalah kesihatan akibat menghisap vape," katanya.

-- BERNAMA


 




BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel