BERITA

[EKSKLUSIF] Majlis Perniagaan Malaysia-China harap Belanjawan 2020 akan pacu ekonomi domestik



Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 30 Sept -- Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) berharap kerajaan akan mengumumkan inisiatif dan insentif untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Okt.

Pengarahnya Datuk David Chua berkata adalah penting untuk memastikan penggunaan domestik kekal sebagai pemacu keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan ekonomi negara, terutamanya dalam pasaran ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.

“Satu daripada perkara utama pada ketika ini adalah kami mahu menjana pertumbuhan dan menjadikan ekonomi rancak. Ini bergantung pada aktiviti sektor swasta serta peranan kerajaan.

“Dalam era pertumbuhan ekonomi pesat (di masa lepas), kebanyakan sektor tampak baik, dalam pembuatan, infrastruktur dalam lain-lain lagi, tiada sebarang masalah besar khususnya dalam peluang pekerjaan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya pada waktu  ekonomi mengalami sedikit kelembapan atau penguncupan seperti yang dilihat pada ketika ini, kerajaan perlu menyemak semula bagaimana sumber-sumber kewangan dikawal oleh sektor perbankan dapat diagihkan secara saksama.

“Kita perlu buat kajian bagaimana untuk menyalurkan sumber-sumber kewangan ini untuk menggalakkan sektor dengan potensi pertumbuhan.

“Misalnya, kita dapat lihat dalam sektor hartanah mewah pada ketika ini, terdapat bekalan berlebihan sehingga tidak terjual, sama ada dalam bentuk perumahan hartanah mewah atau kompleks perniagaan,” katanya.

Menurutnya situasi itu dapat dilihat dengan jelas di Lembah Klang atau mana-mana bandaraya utama yang lain, berlaku bekalan berlebihan yang amat ketara.

Oleh itu, katanya sektor perbankan yang mengawal agihan sumber kewangan kepada mereka yang memerlukan dalam sektor itu patut diberikan garis panduan atau dasar yang memberi lebih tumpuan kepada kalangan mereka yang kekurangan sumber kewangan untuk berkembang.

“Belanjawan 2020 merupakan waktu amat penting di mana kita perlu meningkatkan potensi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peluang untuk pinjaman kepada sektor ini ditingkatkan,” katanya.

Setiap institusi kewangan, katanya perlu mematuhi syarat semasa, walaupun pinjaman kepada sektor PKS membabitkan risiko lebih tinggi berbanding sektor lain yang lebih stabil.

Chua berkata kerajaan perlu mengkaji untuk mewujudkan garis panduan pinjaman utama yang menyediakan peluang pinjaman kewangan lebih saksama kepada sektor kecil dan sederhana, terutamanya mereka yang mempunyai potensi untuk berkembang.

“Bagi sebuah negara dengan ekonomi sedang pesat membangun seperti Malaysia, kita tidak boleh menafikan kepentingan sektor ini kerana di samping mereka membantu mengembangkan ekonomi, sektor ini juga mampu mewujudkan banyak kerja,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Datuk Low Kian Chuan berharap kerajaan akan menimbangkan untuk mengumumkan langkah dan inisiatif untuk meningkatkan sektor eksport untuk jangka sederhana dalam pembentangan Belanjawan 2020.

'’Sungguhpun Malaysia telah mendapat manfaat daripada pelencongan perdagangan dalam jangka pendek, ketidaktentuan perdagangan yang berpanjangan dan kegagalan untuk menyelesaikan perbezaan perdagangan yang semakin meruncing dan limpahan negatifnya terhadap rantaian bekalan di beberapa negara telah menjejaskan sentimen perniagaan, memperlahankan pelaburan dan perdagangan.

"Akhirnya, semua orang akan rugi. Memandangkan kita beroperasi dalam rantaian bekalan dan sistem perdagangan dunia yang bersepadu dan berhubung, terdapat batasan untuk Malaysia terlindung sepenuhnya daripada kesan limpahan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat, " katanya.

Beliau berkata ia berada di luar kawalan Malaysia melainkan Washington dan Beijing mencari jalan tengah untuk menyelesaikan pertikaian perdagangan mereka yang rumit.

Oleh itu, dewan perdagangan itu mencadangkan kerajaan memperkenalkan langkah dan insentif untuk memanfaatkan orientasi kekal rantaian bekalan global, penempatan semula dan pemindahan pangkalan pengeluaran ke Malaysia.

Beliau juga mencadangkan kepada kerajaan untuk menyediakan insentif menarik seperti kadar cukai  tiga peringkat berdasarkan kriteria tertentu untuk menarik konglomerat dan syarikat multinasional (MNC) untuk mewujudkan hab utama mereka di Malaysia serta pusat perkhidmatan perkongsian serantau.

"Kerajaan juga perlu memperluaskan Elaun Pelaburan Semula untuk selama-lamanya kerana industri perlu terus melabur dalam teknologi terkini yang sentiasa berubah untuk kekal relevan dan dapat bersaing di pasaran global," katanya.

Di samping itu, beliau berkata terdapat keperluan untuk memperluas dan memperkukuh hubungan perdagangan dengan secara aktif mengambil bahagian dalam perjanjian perdagangan pelbagai hala dan dua hala dengan pasaran baharu seperti Timur Tengah, Afrika dan Asia Pasifik.

"Kita juga perlu merancang pelan tindakan untuk merangsang peningkatan pelaburan domestik  dan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing lebih berkualiti (seperti mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan keperluan pengawalseliaan, semakan insentif pelaburan dan lain-lain)," katanya.

ACCCIM juga berharap kerajaan memperkenalkan inisiatif untuk mempelbagaikan lebih banyak kegiatan dagangan dengan Kesatuan Eropah (EU), mengkaji semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) atau mempercepatkan cadangan FTA ASEAN-EU.

Low berharap kerajaan juga akan menyediakan beberapa skim kredit eksport kepada PKS tempatan dalam Belanjawan 2020, seperti mengurangkan duti import bahan mentah dan membantu dalam menerokai pasaran eksport yang baharu.

-- BERNAMA

 




BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel