Oleh Niam Seet Wei & Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 30 Sept -- Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (Wawasan 2030) akan menjadi dasar ekonomi dan pembangunan baharu bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilihat meletakkan negara pada haluan yang salah.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap ahli Lembaga Pengarah Institut Masa Depan Malaysia (Masa) Mohd Nizam Mahshar berkata DEB juga tidak berjaya mencapai matlamatnya berikutan masalah seperti jurang perbezaan pendapatan dan kekayaan antara kelas, bangsa dan wilayah serta perbezaan ketara dalam rantaian bekalan yang terbukti masih belum dapat ditangani di negara ini.
Malah, katanya, DEB turut gagal mencapai sasarannya iaitu pembasmian kemiskinan serta penstrukturan ekonomi.
“Ini telah mewujudkan pengasingan dan apa juga yang sepatutnya dicapai menerusi DEB kini sebaliknya tersasar dan bergerak pada haluan yang salah,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual, baru-baru ini.
Mengulas selanjutnya, Mohd Nizam yang juga ahli Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di bawah Pejabat Perdana Menteri berkata Malaysia di bawah DEB juga berpecah mengikut latar belakang kaum yang menyebabkan rakyat berasa tidak terjamin.
“Jurang itu pula bukan dari segi pendapatan tetapi juga profesion, pekerjaan malah turut membabitkan dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," katanya.
Beliau turut menyifatkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) atau sasaran pertumbuhan pendapatan yang ditetapkan oleh Barisan Nasional (BN) di bawah Model Ekonomi Baru atau MEB, juga gagal meletakkan Malaysia di landasan yang betul.
"Ia sebaliknya telah mewujudkan masalah seperti pembangunan yang padat dan mengubah Malaysia menjadi sebuah ekonomi berpendapatan rendah dan amat bergantung kepada tenaga kerja asing," katanya.
ETP dan MEB itu telah diperkenalkan masing-masing pada September dan Mac 2010 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dengan meningkatkan pendapatan negara kasar per kapita kepada US$15,000 menjelang 2020 daripada US$7,059 pada 2009.
Mohd Nizam berkata Wawasan 2030 adalah dasar ekonomi dan pembangunan baharu negara yang meneruskan perancangan sebelum ini di bawah Wawasan 2020 iaitu peralihan Malaysia dari negara pertanian kepada ekonomi berasaskan industri.
"Inilah yang akan menjadi dasar baharu dan sebagaimana telah dinyatakan oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sebelum ini bahawa kita mungkin tidak dapat mencapai sasaran Wawasan 2020," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Wawasan 2030 itu akan mengantikan DEB yang dilancarkan pada 1971 di bawah pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Wawasan 2020 yang dilancarkan pada Februari 1991 merupakan cetusan ilham Dr Mahathir yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.
Bagaimanapun, Mohd Nizam mengakui bahawa DEB telah mencapai beberapa matlamat seperti pengurusan paras kemiskinan di negara ini.
“Namun, kita masih perlu menguruskan masalah kemiskinan relatif yang dihadapi sekarang," katanya.
Mengulas sama ada Malaysia akan mengekalkan sasaran untuk muncul sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi di bawah 2024 yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia kesebelas (RMK11) beliau memetik Dr Mahathir sebagai berkata, matlamat Wawasan 2030 bukannya mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi, tetapi lebih kepada mewujudkan struktur baharu ekonomi dan pengagihan kekayaan dalam kalangan rakyat.
“Oleh itu, matlamat dan sasarannya telah berubah dan kita bergerak ke arah haluan baharu dan (mencapai status negara berpendapatan tinggi) bukan lagi agendanya," katanya.
Dr Mahathir pertama kali memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 pada 9 Mei, 2019 bersempena ulang tahun pertama Pakatan Harapan (PH) menerajui Kerajaan Persekutuan dengan matlamat menyediakan taraf hidup yang wajar untuk rakyat Malaysia selain meningkatkan kuasa beli rakyat dan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah serta rantaian bekalan yang ketara menjelang 2030.
Ketika menyampaikan ucap tamanya, Dr Mahathir berkata di bawah wawasan baharu itu, kerajaan akan menyasarkan Malaysia sebagai sebuah negara maju, dinamik dan makmur namun pembangunan itu tidak harus dinilai menerusi angka KDNK yang dilihat tidak memberi banyak makna kepada kalangan rakyat biasa.
Selain itu, diminta mengulas sejauh mana keyakinan rakyat bahawa kerajaan diterajui PH mampu mencapai sasaran baharu dalam tempoh hanya 10 tahun sedangkan kerajaan terdahulu yang mentadbir negara lebih 60 tahun sejak merdeka tidak berupaya mencapai Wawasan 2020 tepat pada masanya, Mohd Nizam berkata beliau sebaliknya percaya kerajaan PH telah mengambil iktibar daripada kesilapan kerajaan sebelum ini dan melaraskan semula keutamaan agenda ekonomi negara.
"Ini bukannya mengenai pemimpin, tetapi juga aspek termasuk kepemimpinan, rakyat, industri, perniagaan dan sektor swasta yang perlu kita yakini dan percaya bahawa kita ada potensi itu," katanya.
Sebagaimana harapan Dr Mahathir bahawa semua peringkat rakyat Malaysia boleh memberi pandangan dan kritikan terhadap pelan konsep kemakmuran bersama sebelum dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (2021-2030) bagi mencapai matlamat menjelang 2030, Mohd Nizam percaya dalam tempoh peralihan itu, Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan kelak, akan memaparkan sebahagian besar elemen wawasan itu agar dapat dilaras dan sejajar dengan pelan dan dasar yang mahu dicapai.
"Sudah pasti cabarannya adalah jika kita tidak mempunyai sumber secukupnya dan masih perlu membayar hutang (kerajaan melebihi RM1 trilion) iaitu antara beban masalah yang perlu kita tanggung," katanya.
Menurutnya, secara keseluruhannya, idea Wawasan 2030 masih menyentuh aspek pertumbuhan namun berteraskan pengagihan kekayaan dan peluang yang saksama, dipacu oleh kerajaan yang berteraskan iltizam untuk mencatat pencapaian.
"Adalah sukar bagi kita untuk mencapai keseimbangan untuk semua mendapat pengagihan yang sama kerana ia bergantung kepada usaha rakyat iaitu mereka yang berusaha lebih gigih akan menikmati hasil lebih banyak.
"Namun, apa yang kita mahu pastikan adalan peluang serta campur tangan secara betul dapat diberikan agar semua pada akhirnya, akan menikmati kesan yang sama.
"Oleh itu, wawasan itu adalah mengenai usaha menyediakan pertumbuhan yang saksama untuk semua rakyat," katanya.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel