[EKSKLUSIF]
Oleh Saraswathi Muniappan
PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Maklumat boleh mempunyai impak positif dan negatif, bergantung bagaimana ia dilihat dan mengenai tahap hutang negara, semuanya berjalan lancar berikutan kerajaan mengimbanginya mengikut kemampuannya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
“Dalam ekonomi defisit, kita tidak boleh mengelak daripada membuat pinjaman, tetapi penting bagaimana ia disalurkan,” katanya.
Lim menegaskan hutang diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, yang dengan mudah membawa kepada pembiayaan luar belanjawan untuk menyembunyikan hutang yang meragukan.
Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, semakan semula yang menyeluruh telah dilaksanakan terhadap obligasi kewangan kerajaan, yang mengesahkan hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1.087 trilion sehingga akhir 2017.
Walaupun jumlah hutang dan liabiliti kerajaan berkurangan kepada 75.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018 berbanding 79.3 peratus pada 2017, hutang langsung naik kepada 51.2 peratus daripada KDNK berbanding 50.1 peratus.
“Ini (hutang langsung meningkat) pada dasarnya untuk membiayai defisit fiskal kita, terutamanya perbelanjaan pembangunan, (walaupun) kami (PH) tidak melaksanakan apa-apa projek mega (baharu).
“Ini merupakan projek pembangunan di bawah rancangan lima tahun (Rancangan Malaysia Ke-11 2016-2020). Perbelanjaan pembangunan perlu diteruskan, terutamanya dalam bidang penting seperti hospital dan infrastruktur awam,” katanya dalam temu bual eksklusif kepada Bernama.
Di bawah kerajaan BN, defisit atau kekurangan ini dilindungi oleh hasil kerajaan.
“Tetapi kami tidak boleh berbuat demikian di bawah pentadbiran sekarang berikutan kami perlu menggunakan sebahagiannya untuk membayar bayaran faedah dan obligasi hutang. Misalnya, kami telah mula membayar faedah dan obligasi hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB),” kata Lim.
Beliau berkata pembayaran berkaitan 1MDB akan meningkat sebelum ia mula berkurangan selepas 10 tahun.
“Ingat skandal yang melibatkan RM52 bilion (termasuk faedah) dengan tempoh 20 tahun. Pada 2020 sahaja, kami melihat kenaikan faedah bayaran hutang sehingga RM2 bilion,” dedah menteri kewangan itu.
Obligasi dan bayaran tambahan itu dilakukan dengan berhati-hati oleh kerajaan terdahulu, menjadikan lembaran imbangan seolah-olah mempunyai ruang untuk meminjam lagi.
Bagaimanapun, kerajaan PH amat terbuka mengenai bagaimana ia membiayai projek-projek pembangunan, yang dalam bentuk pinjaman yang membawa kepada peningkatan hutang langsung, katanya.
Lim berkata wang daripada Tabung Harapan Malaysia yang berjumlah RM203.29 juta sehingga 31 Mac, 2019, akan digunakan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini untuk menyelesaikan sebahagian daripada hutang dan obligasi faedah 1MDB.
Dalam temu bual yang berlangsung hampir satu jam, menteri kewangan itu jelas dalam mesejnya bahawa antara perbelanjaan pembangunan dan menguruskan hutang negara, ia perlu seimbang.
Kedua-duanya perlu seiring selagi ia mengikut kemampuan.
Setakat ini, Lim berkata kerajaan PH amat komited kepada penyatuan fiskal sebanyak 3.4 peratus pada 2019.
“Kami berhasrat untuk kekal kepada sasaran itu,” katanya.
“Walaupun kita mempunyai defisit fiskal, kita tidak menghadapi defisit berkembar. Kita menikmati Lebihan Akaun Semasa, itu amat penting. Kita merupakan antara negara yang sangat sedikit di dunia tanpa defisit berkembar dan ia memberi banyak keyakinan," katanya.
Lebihan akaun semasa bermaksud sebuah ekonomi yang mengeksport lebih banyak nilai barangan dan perkhidmatan daripada mengimportnya.
Ekonomi negara turut terus kukuh walaupun terdapat cabaran luaran dengan pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus dicatatkan pada suku kedua tahun ini daripada 4.5 peratus pada suku pertama.
Oleh itu, Lim berkata terdapat juga ruang yang mencukupi untuk langkah-langkah luar jangka atau pakej rangsangan jika senario ekonomi global memerlukannya.
“Kami masih berharap rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China akan berjaya supaya kita terus menikmati pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
Lim juga berkata tempoh tiga tahun untuk memulihkan kedudukan fiskal negara adalah kekal.
“Terdapat cakap-cakap mengenai kemungkinan kemelesetan ekonomi pada tahun depan (tetapi) saya tidak fikir ia akan memberi kesan kepada pelan pemulihan tiga tahun kita untuk meletakkan Malaysia kembali di landasan menjelang 2021 – dari segi fiskal.
“Dengan langkah-langkah awal yang sesuai, kita akan dapat meneruskan pelan pemulihan kedudukan fiskal negara dalam tempoh tiga tahun,” katanya.
Terdahulu dalam kenyataan, Lim berkata kerajaan baharu mendapat pujian daripada agensi penarafan antarabangsa dan penganalisis pelaburan atas ketelusan yang meningkat dan standard tadbir urus yang baik.
“Pengesahan berulang mereka bagi penarafan negara kita pada A-/A3 sejak itu, walaupun ketelusan meningkat dalam lembaran imbangan kita, menunjukkan keyakinan mereka bahawa kerajaan ini mengambil langkah-langkah tegas untuk menangani kelemahan.
“Kini, kami berharap rakyat dapat melihat bahawa kami mencatat kemajuan,” katanya.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel