BERITA

GST boleh stabilkan dan pacu ekonomi pada masa sukar - Pakar

Gambar fail Bernama

Oleh Aishah Afandi

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Kemungkinan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), ia boleh digunakan sebagai dasar penstabilan apabila ekonomi negara menghadapi cabaran yang sukar, kata pakar.  

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sebarang usaha termasuk kemungkinan menukar semula sistem percukaian semasa, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kepada GST pada masa akan datang dapat menampan impak daripada aliran penurunan.

Beliau berkata memandangkan ekonomi global menghadapi kelembapan, sistem percukaian yang cekap diperlukan untuk memastikan ekonomi tempatan dapat menghadapi tekanan.

 

Kurangkan kebergantungan kepada hasil minyak 

 “Langkah yang baik dari segi meningkatkan hasil kerajaan, berikutan bergantung kepada hasil minyak adalah berisiko kerana harga minyak sentiasa berada dalam keadaan tidak menentu,” katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, Afzanizam berkata Petronas perlu meningkatkan rizab minyaknya, di peringkat domestik dan luar negara, dan sistem percukaian yang tidak bergantung kepada hasil minyak untuk menampung kekurangan amat diperlukan.

Bagaimanapun, beliau menekankan keperluan untuk memberikan maklumat yang jelas secara telus untuk mengelak sebarang salah tanggapan mengenai dasar ekonomi baharu yang sedang dilaksanakan.

Pakar-pakar percukaian berkata dengan harga minyak semasa pada sekitar US$55 hingga US$65 setong, Belanjawan 2020 perlu dirangka berdasarkan julat harga itu untuk mengelak terlalu bergantung kepada rizab Petronas.

Sejak tahun lepas, penanda aras minyak mentah Brent meningkat kepada US$84 setong sebelum merosot kepada US$53 setong pada Januari, dan berlegar antara US$55 dan US$75 hingga hari ini.

 

Pandangan mengenai cukai baharu dari perspektif perniagaan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YYC Holdings Sdn Bhd Datin Yap Shin Siang berkata tidak dinafikan bahawa GST adalah sistem yang lebih cekap untuk perniagaan.

“Ini kerana di bawah rejim cukai jualan pada masa ini, ia menjadi kos kepada perniagaan, tetapi di bawah GST, ia boleh dituntut sebagai cukai input.

“Kami turut mencadangkan beberapa penambahbaikan dalam bidang seperti memudahkan kod cukai dan sistem pelaporan serta mempercepatkan proses bayaran balik," katanya.

Afzanizam dan Yap bersetuju bahawa GST boleh bermula pada kadar yang lebih rendah daripada sebelum ini sebanyak enam peratus, mungkin pada tiga peratus.

Awal hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan bersedia untuk mengkaji semula pelaksanaan GST, yang dimansuhkan pada tahun lepas, dan ia boleh diperkenalkan semula pada kadar yang lebih rendah untuk membantu meningkatkan dana kerajaan.

“Kalau itu kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada lebih baik daripada SST,” katanya, sambil menambah mungkin sudah terlambat untuk mengembalikan cukai itu dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada bulan ini.     

GST mula diperkenalkan pada April 2015 pada kadar enam peratus sebelum sistem percukaian itu dimansuhkan dan digantikan dengan SST pada 1 Sept, 2018.

 

Impak kepada pasaran ekuiti 

Dari perspektif ekuiti, penganalisis bersetuju walaupun pengenalan semula GST mungkin menyebabkan ketidaktentuan, ia adalah sementara berikutan GST dikenali sebagai langkah cukai yang lebih berkesan dan telah dilaksanakan di pelbagai negara.

Seorang penganalisis berkata perbincangan mengenai melaksanakan semula GST telah wujud sebelum ini memandangkan harga minyak tidak melebihi US$80 setong, harga yang menjadi asas dalam belanjawan sebelum ini.

“Kerajaan terpaksa memanfaatkan dana Petronas dan Khazanah yang memberi impak kepada penarafan kredit mereka, yang seterusnya memberi impak langsung kepada ekuiti yang mereka pegang,” katanya.

Beliau berkata asas cukai yang lebih kukuh bukan hanya meningkatkan ekonomi tempatan, tetapi juga mengukuhkan pasaran ekuiti berikutan 70 peratus daripada bursa tempatan berkaitan dengan kerajaan.

“Kutipan cukai yang stabil akan membawa kepada kedudukan fiskal yang kukuh, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada rizab tunai yang dipegang oleh dana negara dan Petronas. Ia merupakan kesukaran jangka pendek untuk keuntungan jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA 


 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel