Oleh Mohd Faizal Hassan
KUALA LUMPUR, 6 Okt -- Pembentangan Belanjawan 2020, Rang Undang-undang (RUU) meminda hukuman mati dan Kertas Putih Pertahanan bakal mencuri perhatian pada persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirainya semula pada Isnin ini selepas berehat lebih dua bulan.
Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Sidang Parlimen Ke-14 itu akan berlangsung selama 36 hari, mulai Isnin ini hingga 5 Dis yang bakal menyentuh beberapa akta baharu dan pindaan akta sedia ada dalam menambah baik sistem perundangan dan pentadbiran negara.
Tumpuan pastinya terarah kepada pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Okt ini dengan persoalan pokok pastinya jumlah peruntukan disediakan dan agihan kepada sektor terbabit.
Untuk rekod, peruntukan sebanyak RM314.5 bilion disalurkan untuk belanjawan lepas (Belanjawan 2019) bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’.
Selain itu, turut dijangka menjadi perhatian adalah pindaan hukuman mati mandatori selepas kerajaan memutuskan hukuman penjara setimpal bagi menggantikan hukuman maksimum itu yang diperuntukkan bagi 11 kesalahan berat.
Ketika ini, undang-undang memperuntukkan hukuman mati mandatori terhadap kesalahan di bawah Kanun Keseksaan seperti bunuh, rompakan bersenjata dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Selain RUU itu, turut dijangka dibentangkan adalah RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 untuk bacaan kali kedua dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dipetik sebagai berkata ia dijangka dibentang sebelum pembentangan Belanjawan 2020.
Rang Undang-Undang IPCMC 2019 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai, dan ia bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.
Liew juga sebelum ini berkata kerajaan akan memulakan percubaan kedua untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar pada persidangan Dewan Rakyat ini.
Pada September tahun lepas, Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 telah ditolak oleh Dewan Negara sekalipun telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan kerana itu Liew berkata kerajaan akan membentangkannya semula.
Selain itu, RUU derma politik dan penubuhan ombudsmen juga dijangka dibentangkan kali ini, kata Ketua Pengarah Urus Tadbir, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Beliau dilaporkan berkata kedua-dua RUU ini merupakan satu daripada inisiatif utama di bawah Pelan Pencegahan Rasuah Negara (NACP) 2019-2023 yang memberi tumpuan utama untuk meningkatkan tadbir urus, integriti dan antirasuah selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.
Turut dijangka mencuri perhatian penggubal undang-undang negara adalah pembentangan Kertas Putih Pertahanan Negara yang akan memahat sejarah negara dan menyertai negara lain antaranya Brunei, Australia, Jerman dan New Zealand.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sebelum ini dilaporkan berkata deraf kertas putih itu mengambil pandangan semua pihak, antaranya ahli akademik dan ia antara lain merangkumi penstrukturan gaji yang kompetitif, elaun dan insentif khas, faedah perubatan/penjagaan kesihatan serta perkara berkaitan perumahan.
Selain itu, Kerajaan juga dijangka membentangkan RUU untuk mengawal aktiviti Food Bank yang bertujuan melindungi penyumbang daripada tindakan undang-undang sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini melalui makanan yang disumbangkan.
Persidangan kali ini turut memberi fokus kepada pembentangan RUU bagi menambah baik pengurusan wakaf agar dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan, demikian menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Fuziah Salleh.
Bagi mempertingkatkan perlindungan kepada pekerja, mengurangkan waktu bekerja dan menangani isu pekerja dipaksa bekerja, Akta Kerja 1955 dijangka dibentang untuk pindaan pada sesi ini setelah selesai melalui pelbagai fasa perbincangan, kata Menteri Sumber Manusia. M Kulasegaran.
Akta itu kali terakhir dipinda pada 2013.
Dewan Rakyat juga dijangka memberi penghormatan kepada penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai, merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, yang meninggal dunia pada 21 Sept lepas berikutan komplikasi jantung.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel