BERITA

Ambil kira kemampuan B40 miliki rumah dalam Belanjawan 2020



Laporan eksklusif oleh Thivyamalini Ramalu

KUALA LUMPUR, 6 Okt --  Kemampuan golongan B40 dalam peluang pemilikan rumah harus dititikberatkan dalam Belanjawan 2020 dengan mengambil kira kekangan kewangan dihadapi golongan itu.

Ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta Adzman Shah Mohd Ariffin berkata ini kerana kemampuan B40 memiliki rumah agak terhad dan lebih menjurus kepada penyewaan rumah.

“Terdapat beberapa lapisan profil rakyat yang ingin memiliki rumah, iaitu B40, M40 dan individu yang baru berumah tangga, sebagai contoh. Bagi B40, mereka utamakan menyewa dahulu dan beli apabila ada kemampuan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, kerajaan juga disaran mengkaji semula sasaran membina sejuta unit rumah mampu milik dari segi permintaan sebenar untuk membantu golongan ini.

“Kebelakangan ini, sektor perumahan negara  dilihat menghadapi kemelut harga rumah tinggi dan bekalan rumah tidak terjual, namun berdasarkan pelbagai inisiatif kerajaan dengan jangkaan pengumuman (sektor perumahan) dalam Belanjawan 2020, peluang pemilikan dijangka bertambah baik dalam jangka masa lima tahun sekiranya paras pendapatan B40 bertambah,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia Prof Dr Ahmad Hariza Hashim berkata jurang perbezaan dalam pembinaan rumah yang tampak 'berat sebelah' perlu dikurangkan bagi menepati permintaan semua golongan.

“Apa yang berlaku di Malaysia adalah rumah yang dibina tidak menyamai permintaan. Rumah yang dibina itu memenuhi keperluan golongan tertentu sahaja.

“Perkara yang paling utama harus dilihat adalah dari segi pendapatan masyarakat sama ada mereka mampu atau tidak bagi memiliki rumah dan membayarnya bagi jangka panjang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyarankan individu itu sendiri mengumpul duit terlebih dahulu sebelum tergesa-gesa memiliki rumah dan berhadapan masalah hutang pada umur muda.

“Mereka boleh memiliki rumah tapi harus kukuh dari segi kewangan. Harga rumah naik mendadak akibat permintaan tinggi dan ia sekali gus memberi tekanan kepada pasaran perumahan,” katanya.

Seorang pelukis pelan di firma arkitek, Nurul Fatihah Md Yusof, 29, berkata generasi muda kebanyakannya berharap agar kelayakan minimum untuk permohonan rumah mampu milik diturunkan. 

“Rata-rata generasi muda berhijrah ke ibu kota selepas tamat belajar dan mendapat pekerjaan tetap. Daripada membayar sewa mahal, adalah lebih baik sekiranya mempunyai rumah sendiri dan membayar ansuran rumah.

“Namun, apa yang mengecewakan adalah had kelayakan pemilikan rumah amat menyukarkan permohonan...pada masa sama tidak mahu membebankan ibu bapa bagi bantuan kewangan daripada mereka, jadi hasrat memiliki rumah sendiri terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Seorang jurutera, S.Vignesh berkata biarpun telah memiliki rumah sendiri di Rawang, kawasan tersebut  jauh dari tempat kerjanya di Petaling Jaya.

“Harga rumah mahal di kawasan PJ, jadi saya terpaksa cari yang jauh sedikit dan yang mampu milik setimpal dengan kelayakan gaji. Saya tinggal bersama keluarga besar, menjadi tanggungjawab untuk menyediakan kediaman selesa buat mereka.

“Mungkin kerajaan atau pihak pemaju boleh mengkaji semula harga rumah mampu milik dan menilai rakyat berdasarkan kemampuan pendapatan,” katanya.

-- BERNAMA

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel