BERITA

Belanjawan 2020: Kaji semula VoA, rancakkan promosi TMM2020



Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

KUALA LUMPUR, 8 Okt -- Kerajaan disaran mengkaji semula pelaksanaan visa semasa ketibaan (VoA) bagi pelancong China dan India dalam Belanjawan 2020 bagi meningkatkan kehadiran lebih ramai pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata meskipun kadar fi visa VoA dikurangkan daripada RM330 kepada RM200, namun pelaksanaannya didapati masih membebankan pelancong dari kedua-dua negara tersebut yang merupakan antara majoriti pengunjung ke Malaysia.

"Kalau boleh VoA diberikan secara percuma kepada pelancong kerana apabila mereka datang ke Malaysia sudah semestinya mereka akan berbelanja. Jika kerajaan dapat kaji semula pelaksanaan VoA, akan menarik lebih ramai pelancong ke dalam negara kerana memperlihatkan Malaysia sebuah negara yang mengalu-alukan kedatangan pelancong," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berharap kerajaan dapat melihat semula peraturan berkaitan industri pelancongan dari semasa ke semasa terutamanya melibatkan perkhidmatan baharu yang diperkenalkan oleh syarikat penginapan dan e-hailing.

Katanya kerjasama antara kerajaan dan syarikat-syarikat perkhidmatan diperlukan supaya aspek promosi industri pelancongan dapat ditingkatkan.

Uzaidi yang turut menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan dana Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN Malaysia) bagi membantu penggiat industri pelancongan mempromosi sektor itu, turut menyarankan supaya insentif tersebut terus dikekalkan sebagai usaha meningkatkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke negara ini serta merancakkan pelancongan domestik.

Menerusi GAMELAN Malaysia yang merupakan bantuan peruntukan secara pengembalian kewangan, pemain industri yang berkelayakan boleh menuntut 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar atau mengikut had maksimum yang ditetapkan bagi setiap kategori projek, dengan setiap penerima geran akan diberikan peruntukan siling RM200,000.

Mengutarakan pendapat sama, Timbalan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Akil Yusof mencadangkan kerajaan supaya lebih fokus terhadap aspek promosi khususnya melibatkan pemasaran dan pengiklanan digital dalam Belanjawan 2020.

Katanya, promosi dalam medium digital termasuk media sosial membantu merancakkan kempen TMM2020 untuk mengetengahkan tempat-tempat menarik kepada pelancong serta pelbagai keistimewaan lain yang terdapat dalam negara.

Langkah tersebut juga dilihat bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berharap kempen TMM2020 mencapai sasaran untuk menarik kehadiran 30 juta pelancong serta RM100 bilion perbelanjaan pelancong.

"Media sosial memainkan peranan sangat penting pada masa kini kerana informasi mudah disampaikan, boleh didapati pada bila-bila masa dan dengan kaedah interaktif serta video-video pelancongan yang menarik, semestinya dapat 'membeli' hati pengunjung untuk memilih Malaysia sebagai destinasi percutian.

"Kalau dilihat sekarang, aktiviti promosi untuk TMM2020 masih kurang sedangkan TMM2020 adalah acara yang gah dan ia adalah medium untuk melonjakkan ekonomi negara," katanya.

Selain itu, Mohd Akil juga berpendapat kerjasama dan libat urus antara agensi pelancongan tempatan dan luar negara seperti 'familiarisation trip' dapat menjadi medium bagi menyediakan rangkaian informasi mengenai Malaysia dengan lebih dekat kepada masyarakat luar. 

Naib Presiden (Pelancongan Luar Negara) Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Shamsulnidza Mudari pula berharap kerajaan menaik taraf infrastruktur terutamanya di kawasan dan negeri tumpuan pelancong bagi memberi keselesaan kepada mereka.

Menurutnya, beberapa aspek perlu diberi perhatian termasuk kebersihan tandas awam serta pengangkutan seperti perkhidmatan feri di Langkawi yang dikatakan agak sesak khususnya menjelang cuti persekolahan.

-- BERNAMA





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel