KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Pelbagai pembaharuan institusi yang diperkenalkan kerajaan merupakan asas lonjakan ke arah mencapai pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang yang lebih mampan dan saksama untuk rakyat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata sejak memperoleh mandat daripada rakyat selepas pilihan raya umum pada Mei 2018, kerajaan telah berusaha gigih dalam melaksanakan pelbagai pembaharuan institusi ini bagi memerangi rasuah, melindungi hak kebebasan sivil, meningkatkan kualiti tadbir urus dan memulihkan semula kewangan awam.
Pembaharuan institusi ini dilaksanakan bertujuan untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap institusi awam, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memulihkan semula reputasi Malaysia di mata dunia, kata Dr Mahathir dalam kata pengantar laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.
Perdana menteri menegaskan sekiranya Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah ekonomi maju yang stabil, manfaat daripada pertumbuhan ekonomi perlu dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.
“Usaha pembaharuan ini telah membuahkan hasil dan menjadikan ekonomi negara lebih berdaya tahan dalam mendepani tekanan luaran khususnya berikutan perang perdagangan yang berlanjutan antara China dan Amerika Syarikat,” kata beliau.
Katanya meskipun kelembapan ekonomi global semakin membimbangkan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat kepada 4.9 peratus pada suku kedua 2019 daripada 4.5 peratus pada suku sebelumnya, sekali gus meletakkan Malaysia dalam kalangan beberapa negara di dunia yang berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada tahun ini.
Namun demikian, masih banyak yang perlu dilakukan, kata Dr Mahathir.
Sehubungan itu, katanya kerajaan telah menggubal Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dengan matlamat yang lebih menyeluruh untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia ke tahap yang lebih selesa menjelang 2030.
Menerusi agenda WKB ini, katanya terdapat tiga objektif yang perlu dicapai iaitu menangani ketaksamaan pendapatan dan kekayaan dalam masyarakat bagi memastikan tiada sesiapapun yang terpinggir; mewujudkan ekonomi bernilai tinggi yang lebih progresif dan melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai salah satu peneraju utama ekonomi Asia.
Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada matlamat agenda WKB untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, kerajaan juga akan menggandakan usaha bagi menarik pelaburan dalam sektor pembuatan yang bernilai ditambah tinggi, berteknologi tinggi dan berintensifkan pengetahuan.
Ini, kata Dr Mahathir akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan menawarkan gaji lebih baik kepada rakyat Malaysia.
Di samping itu, usaha ini dapat melengkapkan rantaian nilai domestik antara lima industri yang dikenal pasti dalam dasar Industry4WRD iaitu elektrik dan elektronik (E&E); jentera dan peralatan; bahan kimia dan produk kimia; aeroangkasa; serta peranti perubatan, katanya.
Selain itu, beliau berkata pelancongan, perkhidmatan profesional dan penjagaan kesihatan swasta serta perdagangan runcit dan makanan dan minuman adalah antara bidang yang telah dikenal pasti untuk terus dibangunkan di bawah sektor perkhidmatan.
Perdana menteri berkata inisiatif utama yang digariskan ini hanya merupakan sebahagian daripada langkah yang diambil untuk memacu Malaysia ke arah mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.
“Namun demikian, usaha ini akan gagal sekiranya kita tidak bersatu-padu. Kita perlu sedar bahawa setiap daripada kita tanpa mengira latar belakang, mempunyai peranan masing-masing di bawah satu bumbung. Hanya setelah kita berkongsi matlamat yang sama, barulah kita dapat merealisasaikan impian kita,” kata Dr Mahathir.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel