KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Permintaan domestik dijangka memacu pertumbuhan dan berkembang empat peratus pada 2019 dan 4.8 peratus pada 2020 meskipun berhadapan cabaran luaran berikutan ketegangan perdagangan yang berlarutan dan pergolakan geopolitik.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, asas utama pertumbuhan termasuk pasaran buruh yang stabil dan harga yang rendah dijangka terus kukuh dan menyokong aktiviti domestik.
Perbelanjaan sektor swasta yang merangkumi sekitar 80 peratus daripada permintaan domestik akan terus menerajui pertumbuhan iaitu 5.6 peratus pada 2019 dan 5.8 peratus pada 2020.
Sementara itu, perbelanjaan sektor awam dianggarkan menyusut 1.8 peratus pada 2019 disebabkan pelaburan syarikat awam yang lebih rendah, namun dijangka kembali pulih 0.8 peratus pada 2020, terutamanya didorong oleh langkah mempercepatkan pelaksanaan projek di penghujung Rancangan Malaysia Kesebelas serta penerusan semula projek strategik, kata laporan itu.
Penggunaan swasta dijangka berkembang sederhana sebanyak 6.8 peratus pada 2019 disebabkan oleh kesan asas berikutan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada separuh kedua 2018, dengan perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh pertumbuhan gaji dan guna tenaga yang menggalakkan terutamanya dalam sektor perkhidmatan, katanya.
Trend pendapatan dan pasaran buruh dijangka berterusan pada 2020 sejajar dengan aktiviti ekonomi yang mampan, di mana secara keseluruhan, perbelanjaan penggunaan dijangka mencatat pertumbuhan 6.9 peratus pada 2020.
Pelaburan swasta diunjurkan berkembang pada kadar perlahan 1.5 peratus pada 2019 mencerminkan permintaan luar dan kadar penggunaan kapasiti yang lebih rendah terutamanya dalam industri berorientasikan eksport, kata laporan itu.
Bagaimanapun, sentimen pelabur pada 2020 dijangka bertambah baik terutamanya dengan pelaksanaan semula projek strategik dan peningkatan eksport khususnya Elektrikal dan elektronik (E&E) serta rangsangan dari pembayaran balik cukai kepada aktiviti sektor swasta.
Secara keseluruhan, laporan itu menjelaskan momentum dalam pelaburan swasta dijangka berkembang 2.1 peratus pada 2020, dengan tumpuan dalam industri berkaitan pelancongan seiring dengan penganjuran program utama bertaraf antarabangsa dan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).
Perbelanjaan modal pada 2019 dan 2020 akan bertumpu dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, dengan industri E&E, jentera dan peralatan, kimia dan produk kimia serta aeroangkasa kekal sebagai industri utama berikutan kesalinghubungan yang tinggi dalam sektor pembuatan.
"Pelaburan dalam bidang bernilai tambah tinggi seperti bahan canggih berteknologi tinggi, optik dan fotonik,petrokimia dan farmaseutikal dijangka akan turut menarik lebih ramai pelabur.
“Manakala pelaburan dalam sektor perkhidmatan akan memfokuskan kepada penubuhan hab serantau, pelancongan kesihatan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan teknologi hijau," kata laporan itu.
Bagi penggunaan awam, laporan itu berkata ia dijangka kekal sederhana sebanyak dua peratus pada 2019 dan 1.5 peratus pada 2020 sejajar dengan langkah konsolidasi fiskal.
Sementara itu, pelaburan awam dijangka merosot dengan ketara iaitu 8.1 peratus pada 2019 terutamanya berikutan perbelanjaan modal yang lebih rendah oleh syarikat awam khususnya dalam industri berkaitan minyak dan gas (O&G).
Bagaimanapun, pelaburan syarikat awam yang merangkumi sekitar 70 peratus daripada jumlah pelaburan awam dijangka meningkat pada 2020, menyebabkan unjuran penguncupan sederhana sebanyak 0.6 peratus.
“Perbelanjaan pembangunan Kerajaan dalamtempoh 2019 hingga 2020 kekal tinggi terutamanya bertumpu dalam sektor ekonomi dan sosial.
“Pelaburan dalam sektor ekonomi disalurkan khusus bagi sistem pengangkutan, tenaga dan kemudahan awam, serta perdagangan dan industry, manakala sebahagian besar perbelanjaan dalam sektor sosial diperuntukkan kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan," kata laporan itu.
Menurut laporan juga, pendapatan negara kasar (PNK) pada harga semasa dijangka terus meningkat sebanyak 5.5 peratus kepada RM1.5 trilion pada 2019 disokong oleh aktiviti ekonomi yang mampan, dan dijangka terus meningkat 5.8 peratus kepada RM1.6 trilion pada 2020.
Tabungan Negara Kasar (TNK) pula dijangka meningkat 1.4 peratus kepada RM377.5 bilion dan berikutan tahapnya yang kekal melebihi jumlah pelaburan.
Jurang tabungan-pelaburan pula dijangka mencatat lebihan 2.9 peratus daripada PNK pada 2019, membolehkan Malaysia terus membiayai aktiviti ekonomi terutamanya daripada sumber domestik, katanya.
Laporan itu berkata pada 2020 TNK dijangka berkembang secara marginal sebanyak 0.8 peratus kepada RM380.6 bilion, dengan peratus sumbangan kepada PNK kekal tinggi iaitu 24.4 peratus terutamanya disumbangkan oleh sektor swasta.
Jumlah nilai pelaburan dijangka meningkat kukuh sebanyak 5.2 peratus kepada RM351.6 bilion dan menyumbang 22.6 peratus daripada PNK.
“Berikutan kadar peningkatan pelaburan yang lebih pantas daripada simpanan, lebihan tabungan-pelaburan dijangka berkurangan kepada RM29 bilion atau 1.9 peratus PNK.
“Bagaimanapun, jumlah ini kekal tinggi dan menyediakan mudah tunai yang mencukupi untuk merangsang pelaburan jangka panjang yang produktif tanpa bantuan kewangan luar,” kata laporan itu.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel