BERITA

Pemain industri perlu lebih agresif teroka Fintech Islam

KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Pemain industri perlu lebih agresif dalam mempercepatkan inovasi digital dan menyokong teknologi kewangan (Fintech) Islam di negara ini yang berpotensi untuk berkembang pesat walaupun masih di peringkat awal.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi  2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, Fintech yang digerakkan oleh Revolusi Industri 4.0 telah meningkatkan perkhidmatan kewangan, operasi, model perniagaan dan penglibatan pelanggan abad ke-20 dengan pantas.

"Entiti Fintech adalah institusi bukan kewangan yang menggunakan teknologi ini dalam menyediakan perkhidmatan kewangan seperti pinjaman, pelaburan, pembayaran, pengurusan risiko, analisis data dan pengurusan kekayaan.

"Aktiviti Fintech merangkumi pembayaran mudah alih, pemindahan wang, platform dagangan, pendanaan orang ramai dan pembiayaan Antara Rakan Setara (P2P). Dalam konteks Fintech Islam, semua aktiviti ini mesti patuh syariah," demikian menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, kemunculan Fintech menjadikan kewangan Islam lebih kompetitif dan menarik kepada pelanggan kerana memberikan pilihan yang sesuai dengan keperluan individu.

Selain itu, pengguna juga mendapat faedah daripada pengalaman terbaik yang diperolehi melalui perkhidmatan Fintech Islam dengan memanfaatkan internet, peranti mudah alih, integrasi media sosial, analisis data raya (BDA) dan kecerdasan buatan (AI).

Permulaan era Fintech Islam di pasaran Malaysia bermula dengan pendanaan masyarakat dan pada 2016,  Fintch Islam telah mencapai kemajuan yang ketara, termasuk dengan pengenalan Platform Akaun Pelaburan (IAP), Pendanaan Orang Ramai Islam, Perikatan Fintech Islam (IFT Alliance), pembiayaan P2P Islam dan Penasihat Robo Islam.

Laoran itu berkata, secara amnya, Malaysia mengekalkan kedudukan utama sebagai pasaran kewangan Islam termaju di peringkat global, namun, usaha perlu ditingkatkan bagi memperkukuhkan kedudukan Fintech Islam di negara ini.

Pada masa ini terdapat beberapa inisiatif sedang dilaksanakan bagi mempercepatkan pertumbuhan Fintech Islam di negara ini, termasuk menerbitkan garis panduan Sandbox Pengawalseliaan Teknologi Kewangan sebagai dokumen rujukan.

Rangka kerja ini bertujuan menyediakan persekitaran kondusif untuk penggunaan teknologi kewangan bagi memupuk inovasi dalam perkhidmatan  kewangan  yang menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor kewangan, kata laporan itu.

Inisiatif ini juga membolehkan inovasi Fintech Islam dan konvensional diuji dan digunakan dalam persekitaran sebenar, di bawah parameter khusus dan jangka masa tertentu.

Menurut laporan tersebut, selain itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menyediakan peluang kepada pemain digital Islam bagi mengembangkan kapasiti dan meningkatkan permintaan produk dan perkhidmatan  melalui pengenalan Panduan Ekonomi Digital Islam (IDE) yang berfungsi sebagai rujukan untuk syarikat baharu mula, syarikat modal teroka dan pemain ekosistem sokongan yang ingin meneroka  dan memahami komponen IDE.

Pertumbuhan dalam Fintech Islam di negara ini turut disokong dengan peningkatan kesedaran  dalam kalangan pihak berkepentingan dan permintaan tinggi daripada pelanggan serta persekitaran kawal selia yang kondusif dalam pasaran utama kewangan Islam.

Penggunaan dan langkah yang diambil melalui inovasi digital patuh syariah akan mewujudkan peluang baharu yang lebih besar untuk pemain industri, kata laporan itu.

Oleh yang demikian, kumpulan ini (pemain industri) perlu memainkan peranan memanfaatkan Fintech Islam dan memastikan pertumbuhan pesat dalam industri kewangan Islam, sekali gus, aspirasi Malaysia untuk menjadi hab kewangan Islam global dapat dicapai, menurut laporan itu.

-- BERNAMA





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel