KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Sektor perkhidmatan diunjurkan berkembang 6.1 peratus pada 2019 dan meningkat 6.2 peratus pada 2020, demikian menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.
Laporan itu menyebut pertumbuhan sektor itu pada 2019, yang menyumbang hampir 58 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), terutamanya disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; kewangan dan insurans; maklumat dan komunikasi; serta makanan, minuman dan penginapan.
“Sektor ini diunjur meningkat 6.2 peratus pada 2020 dengan kebanyakan subsektor berkembang pada momentum yang sama manakala perkhidmatan berkaitan perdagangan dan pembuatan meningkat secara marginal,” kata laporan itu.
Subsektor perdagangan borong dan runcit akan terus menjadi pemacu utama sektor perkhidmatan, di mana ia dijangka berkembang 6.8 peratus pada 2019, berikutan pengembangan segmen runcit dan 7.0 peratus pada 2020, disokong oleh aktiviti berkaitan pelancongan serta pertumbuhan pantas e-dagang menggunakan Platform Perdagangan Dunia Elektronik.
Subsektor kewangan dan insurans dijangka meningkat 4.8 peratus pada 2019 berikutan pertumbuhan lebih tinggi dalam Perkhidmatan Perantaraan Kewangan yang Diukur Secara Tidak Langsung dan pendapatan berasaskan fi dengan kadar faedah yang rendah, katanya.
Pada 2020, subsektor ini dijangka berkembang 5.1 peratus disokong oleh segmen kewangan berikutan peningkatan pinjaman bank dan pendapatan fi yang lebih tinggi selari dengan perkembangan aktiviti ekonomi.
“Penubuhan bank maya pertama pada suku ketiga 2020 bertujuan memodenkan industri perbankan Malaysia serta penerbitan garis panduan lesen perbankan maya juga dijangka terus meningkatkan pertumbuhan subsektor ini,” kata laporan itu.
Subsektor maklumat dan komunikasi diunjur berkembang 6.7 peratus pada 2019 disumbangkan oleh perkhidmatan telekomunikasi dan computer, sementara pengenalan rangkaian selular generasi kelima (5G) dijangka memacu pertumbuhan subsektor kepada 6.9 peratus pada 2020.
Subsektor hartanah dan perkhidmatan perniagaan diunjur meningkat 7.6 peratus pada 2019 didorong oleh permintaan untuk perkhidmatan profesional, terutamanya guaman, perakaunan dan kejuruteraan dengan penerusan projek Transit Aliran Massa Laluan 2 dan Transit Aliran Ringan Laluan 3.
Pada 2020, subsektor ini dijangka meningkat 7.8 peratus disokong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk perkhidmatan berkaitan pembinaan dengan penerusan projek mega seperti Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia.
“Selain itu, penambahbaikan kriteria kelayakan bagi Dana Rumah Mampu Milik pada September 2019 bagi membantu pembeli rumah kali pertama dijangka turut menyokong pertumbuhan subsector ini,” menurut laporan itu.
Subsektor pengangkutan dan penyimpanan dianggar meningkat 6.5 peratus pada tahun 2019 dan 6.4 peratus pada tahun 2020, dipacu oleh segmen pengangkutan darat serta pertumbuhan perkhidmatan lapangan terbang pelabuhan selaras dengan aktiviti perdagangan yang bertambah baik.
Menurut laporan itu, subsektor makanan dan minuman dijangkakan mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 9.2 peratus pada 2019 disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan pelancong dan 8.9 peratus pada 2020 berikutan peningkatan jumlah ketibaan dan hasil terimaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, yang menyasarkan sebanyak 30 juta pelancong dan RM100 bilion hasil terimaan.
Faktor lain yang dijangkakan menyokong subsektor ini termasuk peluasan pelaksanaan Visa Semasa Ketibaan daripada tujuh kepada 13 pintu masuk di seluruh negara bagi pelancong China dan India, serta penganjuran mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik mulai Disember 2019 hingga November 2020, kata laporan itu.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel