BERITA

Malaysia perlu berperanan lebih besar dalam COMCEC

KUALA LUMPUR, 11 Okt-- Malaysia perlu memainkan peranan lebih besar dalam Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan (COMCEC) dengan memanfaatkan Pembiayaan Projek COMCEC (CPF).

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, ini seterusnya dapat merapatkan jurang pembangunan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Pada masa yang sama, melalui hubungan yang lebih erat dengan negara anggota OIC, Malaysia juga boleh mendapat sokongan dalam bidang kerjasama berkepentingan menerusi platform pelbagai hala lain," kata laporan itu.

Kepakaran Malaysia dalam bidang kewangan Islam amat bernilai bagi negara anggota OIC yang lain telah memberikan Malaysia peluang untuk terlibat dalam pelbagai usaha pembangunan kapasiti.

Menurut laporan itu, Malaysia telah memberi fokus membantu negara anggota yang kurang maju dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar.

"Selain daripada menerajui bidang yang Malaysia mempunyai kapakaran secara relatif, Malaysia juga perlu menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dari negara anggota OIC dan institusi kewangan antarabangsa yang lain," kata laporan itu.

Laporan itu berkata selain projek berasaskan aktiviti sedia ada, fokus juga perlu diberikan kepada projek yang melibatkan penyelidikan mendalam, seterusnya berpotensi untuk memberi manfaat kepada pembangunan sektor kewangan domestik.

Syarikat tempatan juga boleh menawarkan perkhidmatan sebagai perunding untuk kajian khusus bagi melaksanakan projek yang bertujuan menyokong pembangunan enam bidang kerjasama COMCEC.

"Sebagai contoh, dalam bidang kerjasama kewangan, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (ISRA) dan RAM Rating Services Bhd telah bergandingan melaksanakan projek penyelidikan berkenaan pasaran sukuk dan industri dana Islam yang diberi tanggungjawab oleh COMCEC untuk dikemukakan kepada negara anggota," menurut laporan itu. 

Gabungan antara elemen kelestarian dan teknologi kewangan yang saling mempengaruhi boleh menyumbang kepada era kewangan Islam yang baharu, dengan kemajuan teknologi digital dapat memudah cara penyelesaian pelaburan yang lebih terangkum, seterusnya memberi impak positif ke atas sosial dan alam sekitar, katanya.

COMCEC merupakan antara empat jawatankuasa tetap OIC yang ditubuhkan pada 1981 untuk menyelia dan menyelaras semua aktiviti ekonomi OIC.

Jawatankuasa itu berusaha untuk mengembleng institusi dan modal insan dalam kalangan negara anggota melalui CPF, sebuah mekanisme pembiayaan yang diperkenalkan oleh Pejabat Penyelarasan COMCEC pada 2013.

Laporan itu berkata sepanjang tempoh 2014 hingga 2018, CPF membiayai sebahagian besar daripada pelaksanaan 70 program latihan, 35 bengkel, 45 lawatan belajar, satu persidangan antarabangsa dan 10 laporan penyelidikan, manakala bagi tempoh pelaksanaan 2019, 24 projek telah diluluskan untuk pembiayaan CPF.

Bagi tempoh pelaksanaan 2020, COMCEC dijangka menerima 50 permohonan projek daripada pemilik projek dan rakan kongsi, menurut laporan itu.

Berasaskan 57 negara anggota dan lima negara pemerhati, visi COMCEC adalah membina umat Islam yang maju, berdasarkan perpaduan dan kesalingbergantungan, peningkatan mobiliti dan tadbir urus yang baik.

-- BERNAMA





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel