BERITA

Lebih banyak dasar TFP akan dirangka bagi realisasikan WKB 2030

KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Kerajaan akan terus merangka dan melaksanakan dasar yang sesuai untuk meningkatkan lagi pertumbuhan Produktiviti Faktor Keseluruhan (TFP) demi merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, TFP merupakan faktor penting untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Dalam tempoh antara 1990 dan 1997, pertumbuhan ekonomi Malaysia didorong oleh pengumpulan modal dan pertumbuhan buruh dengan sumbangan negatif daripada TFP.

“Selepas krisis kewangan Asia 1997, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah untuk meningkatkan sumbangan TFP, di samping menggalakkan pelaburan dan kadar penyertaaan tenaga buruh.

“Walaupun dengan usaha ini, dua faktor input tersebut masih mendahului pertumbuhan, dengan TFP hanya menyumbang 1.1 peratus dari 2010 hingga 2018,” menurut  laporan itu.

Memetik kajian Kim & Loayza (2019), katanya terdapat lima penentu utama bagi pertumbuhan TFP iaitu inovasi, pendidikan, kecekapan pasaran, infrastruktur fizikal dan infrastruktur institusi.

Katanya kerajaan telah melaksanakan dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) pada 2013 untuk menggalakkan inovasi dan inisiatif Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang baharu dilaksanakan yang dijangka meningkatkan inovasi di negara ini.

Katanya penunjuk inovasi seperti perbelanjaan awam dan swasta ke atas penyelidikan dan pembangunan (R&D), bilangan permohonan paten oleh residen dan bukan residen serta bilangan penerbitan dalam jurnal sains dan teknologi, menunjukkan tahap inovasi di Malaysia.

Dalam tempoh 2008 hingga 2017, perbelanjaan awam dan swasta terhadap R&D dan bilangan penerbitan dalam jurnal sains dan teknologi menunjukkan trend peningkatan manakala bilangan paten yang didaftarkan juga meningkat tetapi menurun semula selepas tahun 2015.

Kerajaan turut menyediakan peruntukan tertinggi bagi subsektor pendidikan iaitu 20.4 peratus daripada jumlah bajet pada tahun 2019, mencerminkan komitmennya dalam meningkatkan modal insan.

Menurut laporan itu, penunjuk keseluruhan yang digunakan untuk mencerminkan pembangunan modal insan seperti perbelanjaan pendidikan, Skor Program Pentaksir Pelajar Antarabangsa (PISA), kadar enrolmen sekolah menengah dan peratusan penduduk berpendidikan tertiari, menunjukkan trend meningkat dalam tempoh yang panjang.

Di samping itu, kerajaan juga komited melaksanakan pembaharuan pasaran bagi menyusun semula institusi dan memperbaiki amalan salah urus untuk menambah baik ketelusan, akauntabiliti, meningkatkan keyakinan perniagaan dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Bagi menyokong infrastruktur institusi, kerajaan juga telah memperkenalkan pembaharuan termasuk menambah baik proses pilihan raya dan struktur Suruhanjaya Pilihan Raya serta Pelan AntiRasuah Nasional 2019-2023, antara lainnya.

Sepanjang tempoh yang panjang, semua penunjuk meningkat tetapi mencatat trend sebaliknya sejak 2015.

Worldwide Governance Indicator (WGI) Bank Dunia terdiri daripada enam petunjuk iaitu kebebasan bersuara dan akauntabiliti, kawalan rasuah, keberkesanan kerajaan, kestabilan politik dan ketiadaan keganasan, kualiti perundangan dan kedaulatan undang-undang.

Sementara itu, penunjuk infrastruktur fizikal menunjukkan trend meningkat dengan beberapa variasi dalam langganan telefon tetap dan mudah alih.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan akan memberi fokus kepada beberapa bidang termasuk peluang ekonomi, modal insan, inklusiviti, institusi awam dan kewangan awam, berikutan potensi risiko daripada perang perdagangan yang berlarutan, ketidaktentuan dasar dan tekanan disinflasi.

"Inisiatif strategik pada 2020 memberi fokus untuk mengurangkan impak risiko luaran terhadap ekonomi domestik.

"Kerajaan komited untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk industri berteknologi dan bernilai tambah tinggi," menurut laporan itu dan menyatakan belanjawan mencadangkan beberapa langkah untuk memangkin pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama awam swasta (PPP) yang lebih baik, akses pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang lebih meluas dan memberi galakan untuk meningkatkan penerapan IR4.0.

-- BERNAMA





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel