KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Kerajaan akan melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata kerajaan menjangkakan program #MalaysiaKerja akan mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat Malaysia dalam masa lima tahun.
“Program ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada seramai 130,000 orang pekerja asing,” katanya.
Menurut Lim program itu dijangka melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
Katanya #MalaysiaKerja dibahagikan kepada empat program yang disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif.
Lim berkata program pertama, #GraduanKerja direka khusus untuk pengambilan graduan yang menganggur melebihi 12 bulan dengan setiap graduan yang menerima tawaran kerja akan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima.
“Majikan pula akan menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan juga bagi tempoh yang sama,” katanya.
Lim berkata #WanitaKerja pula bertujuan mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan setahun untuk wanita berusia di antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih.
Di bawah #WanitaKerja, katanya wanita yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama.
“Sebagai tambahan, pengecualian cukai pendapatan bagi wanita yang kembali bekerja akan dilanjutkan empat tahun lagi sehingga tahun 2023,” katanya.
Lim berkata #WatanKerja pula adalah program kesamarataan kos pengambilan pekerja yang bertujuan mengalihkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.
“Warganegara yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. Manakala, majikan pula akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama,” katanya.
Menurut Lim, di bawah #PerantisKerja pula adalah insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bentuk elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk pelajar dalam kursus TVET bertujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus itu.
Justeru, Lim berkata kerajaan juga akan melanjutkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat yang menyertai Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi tempoh dua tahun lagi.
“Sebagai tambahan, potongan cukai dua kali yang telah diberikan kepada syarikat yang melaksanakan Program Internship Berstruktur (SIP) yang diluluskan oleh TalentCorp bagi pelajar yang mengikuti bidang kejuruteraan dan teknologi akan diperluaskan kepada semua bidang akademik yang lain,” katanya.
Lim berkata kerajaan percaya menerusi program #MalaysiaKerja, warga Malaysia yang menganggur akan menguasai kemahiran dan kecekapan yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan dengan syarikat yang relevan serta peratusan pengekalan pekerja selepas tempoh dua tahun insentif tamat melebihi 90 peratus.
“Ini akan membina modal insan daripada kalangan penganggur untuk menjadi pekerja yang berdikari dan menyumbang secara produktif kepada pasaran buruh,” katanya.
Menurut Lim, inisiatif #MalaysiaKerja akan disediakan oleh kerajaan dan diuruskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di mana insentif gaji tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP kecuali bagi program #PerantisKerja.
Inisiatif ini juga akan diintegrasikan dengan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) serta program pasaran buruh aktif yang lain, kata Lim.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel