BERITA

Belanjawan 2020 pacu ekonomi negara, hasil dikecapi semua rakyat



KUALA LUMPUR, 11 Okt-- Kerajaan membentangkan Belanjawan 2020 dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara agar hasil negara dapat dikecapi oleh semua rakyat tanpa menjejaskan usaha memulihkan keadaan fiskal negara.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini berkata ia adalah belanjawan yang berorientasikan pertumbuhan, dengan langkah terancang yang dirangka bagi mengoptimumkan impak ke atas pertumbuhan ekonomi, penjanaan peluang pekerjaan dan perubahan struktur.

Ia akan dilaksanakan tanpa menjejaskan komitmen kerajaan utntuk memulihkan keadaan fiskal dalam jangka sederhana walaupun kerajaan sekarang mewarisi bebanan hutang dan liabiliti melebihi RM1.1 trilion peninggalan kerajaan terdahulu, untuk melaksanakan konsolidasi fiskal secara berperingkat. 

“Intervensi kerajaan melalui dasar tertentu amat diperlukan untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti negara, mengutamakan pelaburan dalam sektor strategik, menyemarakkan semula industri berasaskan eksport dan menggalakkan keusahawanan,” katanya ketika membentangkan belanjawan tahunan kedua kerajaan Pakatan Harapan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Belanjawan 2020 memperuntukkan sejumlah RM297 bilion meliputi RM241 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus manakala baki RM56 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Peruntukan belanjawan tahun hadapan itu yang bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke arah Kemakmuran Bersama” merupakan peningkatan RM19.5 bilion berbanding peruntukan belanjawan tahun ini sebanyak RM277.5 bilion, tanpa mengambil kira peruntukan secara one-off bagi bayaran balik GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan cukai pendapatan terrtunggak.

Lim berkata hasil kerajaan dijangka mencecah RM244.5 bilion pada tahun 2020, peningkatan RM11.2 bilion berbanding 2019, tanpa mengambil kira dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion.

Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur berkembang 4.7 peratus pada tahun ini dan meningkat 4.8 peratus pada tahun hadapan.

Kadar inflasi dijangka terus terkawal pada dua peratus bagi 2020.

Belanjawan tahun hadapan akan memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu memacu pertumbuhan ekonomi dalam ekonomi baharu dan era digital; pelaburan ke atas rakyat bagi meningkatkan keupayaan modal insan; mewujudkan masyarakat bersatu, inklusif dan saksama; serta memulihkan institusi dan kewangan awam.

Usaha menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama destinasi pelaburan, meningkatkan daya saing termasuk memudahkan urusan menjalankan perniagaan serta mempercepatkan ekonomi digital merupakan antara usaha kerajaan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara tahun hadapan.

Mempercepatkan ekonomi digital itu akan mengambil kira pembinaan infrastruktur digital, membina aplikasi digital dan melahirkan masyarakat digital dengan transformasi itu, antara lain, akan menyaksikan peningkatan penggunaan e-Dompet oleh masyarakat dan peniaga.

Bimbang dengan peningkatan lebih 500,000 rakyat Malaysia menganggur, termasuk 140,000 graduan pada 2018, kerajaan akan meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat melalui pelbagai inisiatif, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

Secara keseluruhannya terdapat 2.2 juta pekerja asing tahun lepas iaitu 15 peratus daripada 15 juta tenaga buruh di Malaysia.

“Kerajaan menjangkakan program #MalaysiaKerja akan mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat Malaysia dalam masa lima tahun. Program ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada 130,000 orang pekerja asing,” kata Lim.

Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menambah baik kehidupan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, dan dalam belanjawan ini mencadangkan gaji minimum ditingkatkan kepada RM1,200 sebulan di bandar-bandar utama tahun depan, berbanding RM1,100 sekarang.

Kerajaan meneruskan komitmennya melabur demi masa depan rakyat dengan cadangan memberikan peruntukan terbesar sebanyak RM64.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan tahun depan termasuk bagi menaik taraf sekolah dan mengarus perdana Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Kementerian Dalam Negeri dicadang mendapat peruntukan RM16.9 bilion manakala Kementerian Pertahanan RM15.6 bilion tahun depan dan peruntukan RM10.9 bilion disediakan untuk pembangunan luar bandar.

“Kesaksamaan ekonomi antara kaum, agama, geografi dan latar belakang merupakan tonggak sebuah negara yang bersatu. Untuk itu, kerajaan berusaha membela dan memperkuasakan semua secara inklusif dan bukannya satu kelompok sahaja,” katanya.

Dalam meringankan beban rakyat, peruntukan subsidi dan bantuan sosial akan ditingkatkan kepada RM24.2 bilion tahun depan termasuk bantuan kebajikan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan subsidi yang berkaitan dengan pertanian, bahan api dan kadar faedah di samping memastikan semua rakyat mendapat akses penjagaan kesihatan yang berkualiti.

Kerajaan akan terus membela nasib pekebun kecil, peneroka, petani dan nelayan dengan menyediakan pelbagai insentif, bantuan kewangan dan kemudahan asas bernilai jutaan ringgit tahun depan.

-- BERNAMA





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel