BERITA

Kerajaan perkenal Cukai Perkhidmatan Digital berbanding laksanakan semula GST



KUALA LUMPUR, 11 Okt  -- Kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya akan memperkenalkan Cukai Perkhidmatan Digital dan beberapa insentif cukai dan pengecualian bagi merangsang ekonomi, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

 Menurutnya, Cukai Perkhidmatan Digital itu akan dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan.

“Ini antara lainnya akan membabitkan perkhidmatan seperti dan tidak terhad kepada muat turun perisian, muzik, video atau pengiklanan digital.

"Pembekal perkhidmatan asing boleh mendaftar dengan Kastam bermula 1 Oktober 2019," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan 'Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama' di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurut Lim bagi memastikan struktur cukai pendapatan yang lebih progresif, banjaran baharu bagi pendapatan bercukai melebihi RM2 juta akan diperkenalkan pada kadar 30 peratus iaitu kenaikan dua peratus daripada kadar 28 peratus sedia ada.

Kenaikan ini akan hanya memberi kesan ke atas kira-kira 2,000 individu berpendapatan tinggi di negara ini, katanya.

Sementara itu, Lim berkata kerangka insentif baharu itu, semakan semula menyeluruh dan penambahbaikan kerangka sedia ada akan siap menjelang 1 Jan, 2021.

Beliau berkata kerajaan akan menyediakan pakej galakan pelaburan istimewa bernilai sehingga RM1 bilion setahun selama lima tahun bagi mentransformasi perniagaan Malaysia kepada perusahaan paling kompetitif dalam pasaran eksport global.

Menurutnya insentif cukai yang diberikan kepada modal teroka dan pelabur budiman akan turut dilanjutkan sehingga 2023 bagi menggalakkan sumber pendanaan alternatif untuk syarikat pemula niaga selain menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.

Selain itu, Lim berkata, dalam usaha menggalakkan aktiviti dengan nilai tambah tinggi dalam industri elektrikal dan elektronik (E&E) untuk beralih kepada ekonomi digital 5G dan Industri 4.0, kerajaan bercadang untuk memberi pengecualian cukai sehingga 10 tahun bagi syarikat E&E yang melabur dalam perkhidmatan berasaskan pengetahuan tertentu.

Elaun Cukai Pelaburan Khas untuk menggalakkan syarikat E&E sedia ada yang telah tamat tempoh Elaun Pelaburan Semula untuk terus kekal melabur di Malaysia juga akan diberi, katanya.

Bagi menyokong pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Lim berkata kerajaan telah memutuskan untuk meningkatkan pendapatan cukai boleh bercukai sehingga RM600,000 pada tahun depan berbanding RM500,000 ketika ini dengan kadarnya dikekalkan pada 17 peratus.

Ini tertakluk kepada PKS yang memiliki modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta dan jualan tahunan tidak lebih RM50 juta, katanya.

Mengenai GST, Lim berkata kerajaan telah berjaya mengembalikan pembayaran balik cukai itu berjumlah sehingga RM15.9 bilion kepada lebih 78,000 syarikat pada akhir September 2019 dan bayaran balik cukai berjumlah RM13.6 bilion kepada 448,000 syarikat dan 184,000 pembayar cukai.

Bagi menambah baik kecekapan pengurusan rayuan pembayar cukai, kerajaan akan menggabungkan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan dan Tribunal Rayuan Kastam ke dalam Tribunal Rayuan Cukai.

“Menerusi cara ini, pembayar cukai yang tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri atau Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia boleh mengemukakan rayuan berkaitan cukai di bawah semua undang-undang cukai yang tertakluk kepada Tribunal Rayuan Cukai yang akan beroperasi pada 2021," katanya.

Menurut Lim, mulai Januari 2021, rakyat Malaysia berusia lebih 18 tahun dan entiti korporat akan diberi Nombor Pengenalan Cukai.

-- BERNAMA





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel