BERITA

Kemudahan OKU di sekolah bukti komitmen kerajaan beri pendidikan sama rata  - Maszlee



KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Peruntukan RM23 juta kepada sekolah kebangsaan bagi pembangunan kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu golongan itu mendapat pendidikan sama rata, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata peruntukan itu memberi kelegaan kepada ibu bapa pelajar OKU yang ingin anak mereka tidak tercicir dalam mendapatkan ilmu pembelajaran. 

“Ini merupakan berita gembira kepada anak-anak berkeperluan khas atau OKU dan ibu bapa mereka kerana buat pertama kali RM23 juta diperuntukkan untuk kita mengamalkan polisi penolakan sifar di mana kanak-kanak OKU tidak akan dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

 Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guang Eng hari ini, kerajaan memperuntukan RM23 juta kepada sekolah kebangsaan untuk memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra OKU, selari dengan dasar penolakan sifar yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menjadi kementerian yang menerima peruntukan terbesar, Maszlee berkata beliau amat puas hati dan menganggapnya sebagai amanah dalam memastikan setiap peruntukan sampai kepada golongan sasar.

KPM menerima peruntukan sebanyak RM64.1 bilion dalam Belanjawan 2020 yang bertema Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama, berbanding RM60.2 bilion pada 2019. 

Sementara itu, Pengarah Pusat Genius Kurnia yang juga pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaaan Malaysia Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata peruntukan itu secara langsung menunjukkan kesungguhan kementerian dalam memperjuangkan hak anak-anak kurang upaya untuk ke sekolah dan mendapat pendidikan yang sewajarnya.

“Apabila Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan akan melaksanakan ‘Zero Reject Policy’ bermula tahun ini, kita tertunggu-tunggu juga tindakan selanjutnya. Ini kerana untuk merealisasikan perkara itu ia memerlukan peruntukan besar. 

“Melihat kepada pembentangan belanjawan hari ini, kami nampak kesungguhan kementerian untuk memastikan tiada pelajar OKU yang ditolak daripada memasuki alam persekolahan sekaligus terpinggir daripada sistem pendidikan,” katanya kepada Bernama.

Berharap agar peruntukan itu akan digunakan sebaiknya, Hasnah berkata selain aspek kemudahan fizikal seperti laluan khas, ramp, tandas untuk pelajar OKU, faktor sikap juga perlu diambil kira agar tidak menjadi kekangan dalam pelaksanaan sebarang dasar untuk kebajikan OKU.

“Sikap juga sebenarnya adalah halangan. Mungkin kita boleh gunakan sebahagian daripada peruntukan RM23 juta itu untuk tujuan melatih guru-guru dan tenaga pengajar terlibat supaya mereka lebih lebih bersedia dan memahami kaedah mengajar anak-anak OKU,” katanya. 

Beliau pada masa sama berharap agar peningkatan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion bagi program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diumum dalam Belanjawan 2020, memberi manfaat kepada anak-anak OKU terutama mereka yang menghadapi masalah pembelajaran. 

Belanjawan 2020 turut memperuntukkan RM192 juta untuk Program Pensijilan Profesional di bawah Yayasan Pendidikan Peneraju Bumiputera. 

Pemangku Ketua Eksekutif yayasan itu, Ariff Ithnin berkata peruntukan berkenaan akan dimanfaatkan bagi melahirkan lebih ramai bakat-bakat bumiputera yang diiktiraf sehingga ke peringkat dunia. 

“Pencapaian yayasan sepanjang tujuh tahun beroperasi ramai bakat Bumiputera diiktiraf di peringkat antarabangsa dan kami adalah satu-satunya agensi pemangkin yang melahirkan seramai 59 ‘World Class Winners’ dalam pensijilan perakaunan profesional dengan 29 daripadanya berjaya memperoleh kedudukan pertama dunia untuk pensijilan ‘Certified Accounting Technician’ (CAT) dan  ‘The Association of Chartered Certified Accountants’ (ACCA),” katanya.

Beliau berkata bagi tahun 2020, yayasan akan memberi fokus kepada bidang yang menerajui Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) seperti ekonomi digital, kewangan islam serta teknologi industri 4.0 selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

-- BERNAMA





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel