BERITA

Kenaikan elaun COLA bantu penjawat awam-Cuepacs



KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Kenaikan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana dapat membantu meringankan kos sara hidup penjawat awam yang berpendapatan rendah.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, kos sara hidup yang kian meningkat itu bukan sahaja dirasai penjawat awam di bandar tetapi juga di kawasan luar bandar.

Katanya, keadaan itu tidak selari dengan gaji yang diterima kakitangan kerajaan sekali gus  menyebabkan beban hidup semakin dirasai.

“Buat masa ini, jumlah elaun COLA  yang ditetapkan ialah RM300, RM250, dan RM150 tertakluk kepada lokasi penempatan.

“Walaupun pemberian elaun COLA ini tidak sama, namun kenaikan RM50 ini adalah seragam buat penjawat awam untuk semua lokasi sama ada yang berkhidmat di bandar atau di luar bandar,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini, mengumumkan kenaikan kadar elaun COLA sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana dengan peruntukan tambahan RM350 juta setahun.

Azih juga mengallu-alukan tindakan kerajaan yang memperkenalkan faedah Ex-Gratia Kematian untuk diberikan kepada waris yang bernilai sehingga RM150,000, selain pemberian Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) diawalkan sebelum Tarikh Pergerakan Gaji (TPG).

“Ini adalah permulaan yang baharu dan kita sangat mengalu-alukannya. Ini kerana ia dapat membantu meringankan beban waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan,” katanya.

Pada masa sama, Azih turut menyambut baik dengan  pemberian Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan yang memberi manfaat kepada 14,400 anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

“Tahniah kepada semua anggota bomba. Saya harap ini dapat memberi rasa gembira di atas perjuangan dan pengorbanan yang mereka berikan,” katanya.

Bagi pensyarah Institut Pendidikan Guru, Kampus Pulau Pinang, Ng Weng Tutt, 53, adalah lebih baik jika semua penjawat awam dapat menikmati kenaikan itu sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup yang sedang dirasai oleh semua lapisan rakyat.

"Bagaimanapun bagi pemberian COLA, lebih manis jika semua penjawat awam dapat menikmatinya kerana kita tahu akan keadaan kos kehidupan yang sangat ketara dan dirasai oleh sesiapa sahaja. Biarlah semua dapat menikmati dan bukan golongan pelaksana sahaja " katanya kepada Bernama.

Bagi pembantu pengurusan murid, Sarina Aziz, 33, pengumuman kenaikan elaun COLA  itu memberikan nafas lega bagi ibu tiga cahaya mata itu dalam meneruskan kehidupan dan bersyukur daripada langsung tidak mendapat apa-apa imbuhan..

"Dengan kenaikan ini ia sedikit sebanyak meringankan beban bagi pekerja seperti saya yang hanya  gred N19 dengan tiga anak yang masih kecil dan memerlukan perbelanjaan lebih," katanya.

Menyifatkan ia sebagai berita gembira, wartawan Radio Televisyn Malaysia (RTM) Negeri Sembilan, Hanna Adlint Nasatiun Ahmad, 35, berkata ia juga mempamerkan penghargaan kerajaan terhadap penjawat awam yang memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada rakyat dan negara.

Berkongsi pendapat yang sama, Risman Mohd Isa, 41, seorang Pembantu Awam di Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, berkata kenaikan elaun COLA dapat membantu meringankan sedikit sebanyak beban kewangan yang ditanggungnya.

"Saya bekerja di Putrajaya tetapi dalam masa yang sama perlu juga menanggung keluarga di Pahang. Dapat naik COLA ni baguslah, nak harap lebih kita pun tahu keadaan ekonomi sekarang tak berapa bagus," kata bapa kepada dua anak berusia lima dan 10 tahun itu.

-- BERNAMA





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel