BERITA

KPDNHEP akan kumpul data kumpulan M40 layak terima PSP



KULIM, 12 Okt  -- Kerajaan akan mengumpul data secara terperinci bagi menentukan jumlah sebenar rakyat berpendapatan sederhana dalam kategori M40 yang layak menerima manfaat Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020, semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mencari mekanisme untuk mendapatkan data tersebut.

"Berbeza dengan kumpulan B40, kita sudah ada data mereka yang layak di mana saya telah umumkan Isnin lalu datanya sekitar 2.9 juta pemandu yang layak terima PSP selepas kita teliti menerusi data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan data pemilikan kenderaan di JPJ.

"Tapi untuk M40 kita belum ada data lagi mereka yang layak dan perkara itu kita perincikan, buat pangkalan data, tentukan jumlah mereka yang layak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program sumbangan amal Deepavali Tesco di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai mekanisme pemberian Kad95 di bawah PSP yang menyasarkan kepada pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH untuk membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menyatakan bahawa kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi skim PSP bersasar yang akan memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pemandu.

Katanya, jika ditolak dengan 2.9 juta pemandu yang layak dalam kumpulan B40, kira-kira lima juta pemandu yang layak akan dikenal pasti termasuk daripada kumpulan M40.

"Kita jangka jumlahnya sekitar itu tapi kita akan perincikan dengan memastikan mereka adalah layak berdasarkan kriteria yang telah kita tetapkan," katanya.

Semalam, ketika pembentangan belanjawan itu, Lim berkata bermula Januari tahun depan, PSP bersasar yang merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan, akan dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori kelayakan.

Kategori pertama ialah penerima BSH (B40) yang layak akan diberikan subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal yang diberikan dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.

Kategori kedua pula ialah bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH di mana mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.

Kenderaan yang layak untuk subsidi itu adalah kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah atau kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun, atau motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah, atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun.

-- BERNAMA


 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel