BERITA

Caj kesesakan bantu kurangkan kemasukan kenderaan persendirian ke pusat bandar



Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 13 Okt  -- Pengenalan caj kesesakan dapat menggalakkan warga kota menggunakan pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang ketika waktu puncak selain mengurangkan jumlah kereta persendirian yang memasuki kawasan bandar.

Timbalan Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans) Universiti Teknologi Mara Dr Shahrin Nasir berkata kebanyakan negara-negara maju yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi sudah mengamalkan kadar caj itu bagi mengurangkan kenderaan di atas jalan raya. 

"Kebiasaannya sistem pengangkutan awam mereka sangat efisien terutamanya daripada segi ketepatan masa dan kekerapan tren serta bas yang tiba kerana ketika waktu puncak jumlah penumpang sangat ramai. 

"Kerajaan seharusnya pada masa yang sama perlu menggalakkan operator untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan awam mereka supaya dapat menampung jumlah penumpang yang ramai pada waktu puncak.

"Selain itu, kadar bayaran parkir di kawasan-kawasan bandar juga perlu dinaikkan bagi mengurangkan kemasukan kenderaan persendirian ke kawasan bandar," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Menerusi pembentangan Belanjawan 2020 pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan bercadang menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan iaitu kadar yang sama dengan kadar tol semasa pada waktu puncak selama enam jam sehari, manakala kadar tol akan dihapuskan pada luar waktu puncak.

Penyediaan sehingga 500 bas elektrik di bandar-bandar terpilih seluruh negara pula menunjukkan kerajaan komited dalam menyediakan kemudahan infrastruktur dan mobiliti bukan sahaja terhadap masyarakat bandar tetapi juga di luar bandar. 

"Pengumuman peruntukan RM85 juta bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor serta pembinaan Rapid Transit System Link (RTS) juga memberi kelegaan kepada mereka yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura sekali gus dapat mengurangkan kesesakan," katanya. 

Dalam Belanjawan 2020, Lim mengesahkan projek RTS antara Johor Bahru dan Singapura akan diteruskan, namun tiada sebarang anggaran masa bila ia akan disambung semula.

RTS adalah projek rel sepanjang 4 km yang akan dibina untuk laluan rentas antara Bukit Chagar di Johor Bahru hingga ke Woodlands di Singapura, dengan kapasiti penumpang seramai 10,000 orang dalam masa satu jam.

 Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl berkata pembentangan Belanjawan 2020 kali ini dilihat lebih tertumpu manfaatnya kepada pengguna kenderaan persendirian dengan pengurangan kadar tol dan pemberian subsidi petrol. 

"Hala tuju kerajaan dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan kenderaan persendirian adalah sangat dipersoalkan... Kenapa masih menggalakkan warga kota menggunakan pengangkutan awam tetapi dalam masa yang sama mengurangkan kadar tol dan subsidi petrol kepada kenderaan persendirian? 

"Ia bukan sahaja menambah kesesakan malah turut menyumbang pencemaran udara," katanya. 

Katanya selain mengekalkan pas bulanan pengangkutan awam, kerajaan harus menitikberatkan terhadap nasib pemandu E-hailing dengan memberi subsidi petrol kepada mereka. 

"Selain itu, 'Public Transport Tariff Review Committee' perlu ditubuhkan bagi mengkaji kadar tarif tiket pengangkutan awam serta Tribunal Pengangkutan Awam bagi sebarang aduan sama ada daripada pemandu ataupun penumpang," katanya. 

Dalam pembentangan Belanjawan 2020, Lim berkata kerajaan berhasrat menyediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz dengan kos RM450 juta di bandar terpilih seluruh negara bagi menambah baik pengangkutan awam serta mewujudkan bandar bersih dan hijau.

-- BERNAMA 

 


 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel