BERITA

Mekanisme baharu penswastaan lebuh raya perlu



Oleh Muhammad Basir Roslan dan Nurfardlina Izzati Moktar

KUALA LUMPUR, 13 Okt  -- Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dicadang supaya mencari sebuah mekanisme baharu yang lebih telus dalam penswastaan lebuh raya khasnya memandangkan lebih banyak lebuh raya akan dibina pada masa akan datang, kata penganalis ekonomi Pankaj C. Kumar.

Mengulas lanjut mengenai cadangan itu, beliau berkata sesebuah syarikat konsesi lebuh raya tidak boleh memegang konsesi terlalu lama sehingga boleh mencecah tempoh melebihi 50 tahun perkhidmatan kerana ianya dilihat menyusahkan pihak pengguna.

"Semua pihak berkepentingan termasuklah Kementerian Kewangan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) perlu duduk semeja membincangkan mengenai mekanisme baharu ini, yang mana ianya perlu ambil kira faktor bagaimana untuk membina lebuh raya itu secara konsesi atau tidak, serta berapa lama tempoh pegangannya oleh pihak konsesi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang menyatakan kerajaan telah meluluskan pengambilalihan empat lebuh raya Lembah Klang daripada pihak konsesi melibatkan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (SPRINT) dan Terowong SMART. 

Turut ditanya pandangannya mengenai aspirasi kerajaan yang komited untuk menamatkan kontrak konsesi PLUS pada 2038 nanti, Pankaj menjangkakan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sebagai pemegang saham 51 peratus dalam PLUS Malaysia Berhad akan membeli baki saham yang dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadikan ia milik penuh kerajaan.

"Khazanah dan KWSP boleh berbincang dan mempersetujui dengan cadangan yang munasabah mengenai berapa nilai PLUS yang sebenar. Dengan itu KWSP dapat menjual pegangan sahamnya pada harga berpatutan dan semua ahli KWSP juga akan dapat faedahnya secara tidak langsung selepas penjualannya, ianya dilihat sebagai situasi menang-menang antara mereka," katanya.

Sementara itu, pemberian diskaun tol 18 peratus secara purata di semua lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 dilihat dapat mengurangkan beban pengguna terutama bagi mereka yang kerap berulang-alik dari tempat kerja.

Di SEREMBAN pekerja swasta, Wan Mohamad Nabil Wan Nasir, 22, yang menyambut baik langkah berkenaan berkata ia sememangnya diperlukan memandangkan kos yang ditanggung mencecah RM300 sebulan ekoran kerap berulang-alik dari kediamannya di Seremban ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

“Jadi dengan adanya diskaun tol ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan tol yang mana penjimatan duit daripada itu boleh digunakan untuk menampung kos minyak. Pelaksanaan diskaun ini sangat memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya terutama bagi golongan belia seperti saya yang masih tidak mempunyai kewangan yang kukuh,” katanya.

Pelajar universiti, Aiman Mohamed Shah Johan Shah, 21, berkata pemberian diskaun tol itu merupakan satu rahmat buatnya memandangkan banyak lagi keperluan di universiti yang perlu ditampung.

Penjawat awam, Siti Nuratiqah Abu Bakar, 28, pula berkata pemberian itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha menunaikan manifesto pilihan raya meskipun ia tidak melibatkan penghapusan tol sepenuhnya.

“Pemberian diskaun ini menunjukkan kerajaan berusaha menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14. Saya bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang sentiasa mengambil berat keperluan rakyat,” katanya.

Diskaun tol sebanyak 18 peratus akan memberikan penjimatan kepada pengguna lebuh raya itu sehingga RM1,130 juta pada tahun 2020, dan RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038.

-- BERNAMA

 


 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel