Oleh Rohani Mohd Ibrahim
PUTRAJAYA, 14 Okt -- Berikut ialah transkrip bahagian pertama temu bual Menteri Kewangan Lim Guan Eng bersama hos rancangan Ruang Bicara Khas Bernama Sherkawi Jirim yang disiarkan pada 2 petang, Isnin 14 Okt.
MUKADIMAH
Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guang Eng di Dewan Rakyat pada Jumaat 11 Oktober merupakan belanjawan kedua bagi beliau dan kerajaan Pakatan Harapan yang mula memerintah negara selepas 8 Mei 2018.
Bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama” Belanjawan 2020 mencadangkan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, termasuk golongan petani, pekebun kecil dan nelayan serta menyediakan lebih banyak peluang untuk mereka meningkatkan taraf hidup.
Belanjawan Pakatan Harapan pertama yang dibentangkan pada 2018, menumpukan kepada konsolidasi dan rasionalisasi fiskal, reformasi institusi dan dasar berjiwa rakyat bagi memperbetulkan penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang berleluasa di bawah pentadbiran terdahulu.
Belanjawan 2020 pula antara lain menunjukkan komitmen kerajaan untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan kerajaan dan meneruskan matlamat Wawasan 2020 dengan trajektori pertumbuhan baharu berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berpengalaman 10 tahun sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan lebih setahun menjadi Menteri Kewangan, Lim menyifatkan belanjawan kedua beliau sebagai belanjawan rakyat yang merangkumi golongan belia dan wanita.
Berikut ialah transkrip penuh wawancara hos Ruang Bicara Bernama Sherkawi Jirim bersama Lim mengenai pasca Belanjawan 2020:
Salam bahagia . Kita bersama lagi dalam rancangan Ruang Bicara yang dibawakan kepada anda di Bernama. Kita bersiaran sebenarnya dari bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya bersama tetamu yang cukup istimewa, yang sudah ada bersama dengan saya. Sudah pasti kita masih tetap memperkatakan tentang pasca Belanjawan 2020 yang telah pun dibentangkan di Parlimen pada hari Jumaat. Kita ingin berterima kasih kepada tetamu, Yang Berhormat (YB) Lim Guan Eng yang merupakan Menteri Kewangan.
Sherkawi: YB terima kasih banyak-banyak kerana sudi terima ketibaan kami (Bernama News Channel) di Kementerian Kewangan ini.
Lim: Terima kasih kerana menjemput saya untuk menyertai program Ruang Bicara di Bernama. Saya juga amat berminat untuk membincangkan secara lanjut Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada hari Jumaat.
Sherkawi: Terlebih dahulu saya secara peribadi ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YB di atas pembentangan Belanjawan 2020 dan memang jelas apa yang YB paparkan ketika menyampaikan belanjawan tersebut begitu confident sekali begitu yakin sekali.
Yang menggembirakan ramai rakyat Malaysia ialah tidak banyak sebenarnya istilah-istilah ekonomi yang sukar difahami ketika YB membentangkan Belanjawan 2020. Jadi setinggi-tinggi tahniah kepada YB di atas persembahan yang cukup hebat bagi saya. Bila bercakap tentang Belanjawan 2020 ini kita bercakap istilah belanjawan itu sendiri ramai yang mungkin tidak mengetahui tentang pentingnya belanjawan ini.
Sherkawi: Apakah faktor-faktor sebenarnya yang diambil kira sebelum sesuatu belanjawan ini dibentangkan. Silakan YB.
Lim: Terima kasih. Belanjawan adalah satu kerangka dasar ekonomi dan juga kewangan untuk satu tahun akan datang. Dan ia juga akan memberikan petunjuk bukan sahaja kepada rakyat tetapi khususnya kepada sektor pelaburan dan perniagaan. Apakah hala tuju kerajaan. Oleh itu ia sangat penting. Seringkali ia menjadi salah satu apa yang kita sebut highlight dalam sesi Parlimen.
Dan kali ini belanjawan ini kita tumpukan kepada rakyat. Bukan sahaja untuk menggalakkan atau memupuk keusahawanan, tapi juga kesejahteraan rakyat selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
(So) dalam belanjawan ini kita boleh lihat banyak yang menjadi apa yang saya sebut sebagai petua-petua ekonomi. Itu berasal dari YAB Tun. Tapi secara ringkasnya beberapa dasar teras yang saya nak tekankan di sini ialah satu untuk memangkin pertumbuhan ekonomi di kalangan syarikat-syarikat Malaysia. Supaya kita boleh eksport lebih banyak.
Itu selalu ditegaskan oleh YAB Tun. Tidak guna kita hanya jadi jaguh tempatan. Kita mesti jadi jaguh global supaya kita boleh jadi lebih besar. Kerana kalau kita hadkan diri dalam pasaran tempatan akhirnya kita hanya begitu saja. Tapi kalau kita nak jadi betul-betul berjaya, kita mesti berjaya dalam pasaran eksport.
(So) itu diberikan penekanan dalam insentif-insentif yang diberikan bukan sahaja kepada syarikat tempatan tapi juga untuk menarik apa yang kita sebut sebagai Fortune 500 company dan juga global unicorn iaitu start-up atau syarikat teknologi yang melebihi nilai US$1 bilion. Ini yang pertama.
Kedua saya rasa yang lebih penting dan mungkin dirasai secara langsung oleh rakyat Malaysia khususnya mereka yang belum dapat pekerjaan adalah dasar #MalaysiaKerja. Di sini kita nak berikan motivasi kepada pekerja-pekerja dengan gaji yang setimpal. Kerana ramai yang sebut bahawa banyak rakyat Malaysia tidak mahu kerja.
Tapi pada pandangan saya ialah mereka tidak mahu kerja kerana dibayar gaji sama dengan pekerja asing. Sukar untuk memberikan motivasi sedemikian. Oleh sebab itu satu dasar kerja baharu yang kita panggil sebagai #MalaysiaKerja dirangka supaya kita berikan insentif gaji kepada pekerja-pekerja ini dan pada masa yang sama untuk galakkan lebih ramai majikan untuk ambil pekerja tempatan.
Mereka (majikan) pun akan dapat insentif dan ini akan diuruskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di mana insentif ini akan dimasukkan dalam akaun KWSP sekiranya ada baki.
Contohnya kalau graduan, kita akan bagi insentif kerja. Insentif gaji ini RM500 sebulan. So RM500 sebulan saya kira dia punya sumbangan adalah RM400 contohnya. Maka akan ada baki RM100. RM100 akan masuk akaun KWSP dan mereka boleh keluarkan.
(So) itu sebabnya kita minta KWSP uruskan. Supaya sumbangan KWSP dapat dipenuhi dan pada masa yang sama KWSP akan pastikan ia betul-betul digunakan oleh pekerja. Di sini kita rasa bahawa mekanisme yang ada dengan kepakaran kita supaya kita dapat jalankan program ini.
Bukan sahaja graduan, untuk pekerja biasa yang menggantikan pekerja asing. Apa yang kita sebut sebagai #WatanKerja. Ini ialah kerja anak watan untuk pekerja tempatan. Lagipun yang paling menarik ialah untuk golongan wanita. Ada yang sebut bahawa belanjawan ini ialah belanjawan wanita.
Belanjawan anak muda, belanjawan belia. Saya suka ini belanjawan rakyatlah yang merangkumi belia dan juga wanita.
Untuk wanita banyak galakan diberikan kerana sekiranya Malaysia hendak jadi negara maju amatlah penting bahawa kita tingkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh. Sekarang kita pada kadar 55 peratus belum memadai lagi kena sampai 60 peratus. Inilah insentif yang kita berikan. Insentif gaji dan insentif kepada majikan.
Program ini akan perlukan perbelanjaan untuk tempoh lima tahun sebanyak RM6.5 bilion. Tentu itu adalah satu perbelanjaan besar. Tapi bila kita lihat dari sudut kesan positif kepada pasaran tempatan ia amat besar. Apa yang kita sebut multiply effect. Besar kerana semua gaji ini akan dibelanjakan di Malaysia. Tidak akan dibawa untuk shopping ke London atau tempat-tempat lain.
Sherkawi: YB menggunakan istilah perbelanjaan besar. Ini bermakna bagi saya satu cabaran yang cukup hebat kepada YB dan rakan-rakan dalam kerajaan Pakatan Harapan sekarang ini. Melihat kepada senario ekonomi semasa cabaran yang terpaksa dihadapi oleh negara dengan hutang negara yang begitu besar yang perlu dilangsaikan, situasi ekonomi yang tidak menentu di peringkat global apakah ini sebenarnya merupakan satu cabaran dan asakan yang cukup hebat kepada YB dan rakan-rakan di Kementerian Kewangan dan kerajaan secara keseluruhannya. Memenuhi hasrat rakyat.
Lim: Memang benar bahawa cabaran daripada hutang yang kita warisi daripada kerajaan lama itu amat mencabar. Tapi sehingga sekarang kerajaan baharu dapat lunaskan obligasi dan hutang-hutang ini melalui reformasi pentadbiran dan penjimatan. Yang paling penting bahawa kerajaan ini kerajaan berintegriti. Kerana tidak makan wang kita sekurang-kurangnya dapat wang ini untuk bayar hutang-hutang ini. Tapi pada masa yang sama janganlah kita hanya tertumpu kepada bebanan hutang.
Kita kena lihat program-program yang dapat memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat. Yang penting ialah apa yang selalu kita sebut game changer di mana kita boleh ubah kehidupan rakyat. Dan di sini kita lihat bahawa salah satu bidang yang kita harus berikan tumpuan ialah pengangguran.
Khususnya di kalangan graduan-graduan yang kita lihat ini satu masalah yang sudah lama. Lebih sedekad tapi tidak dapat penyelesaian yang sebenarnya. Itulah sebabnya kita hendak cuba inisiatif ini. Benar ini satu inisiatif yang mungkin belum diamalkan di tempat-tempat lain.
Tapi kita percaya dengan kepakaran yang sedia ada di KWSP dan juga keikhlasan kerajaan untuk melihat anak-anak muda kita dapat pengalaman kerja kerana each offer ini untuk tempoh dua tahun. Sebagai contoh insentif RM500 sebulan untuk tempoh dua tahun. Tapi selepas dua tahun ini dengan pengalaman yang mereka perolehi dilengkapi dengan skill sets pakar-pakar yang sedia ada saya rasa majikan hendak kekalkan mereka ataupun sekiranya mereka pergi ke syarikat lain, syarikat lain pun hendak menggaji mereka.
(So) itu yang penting. Saya rasa itu akan memberikan peluang untuk setiap orang dapat kerja. Kerana kerja merupakan harga diri, maruah kita. Dignity. Dengan kebolehan dan pengalaman sedia ada bukan sahaja dapat sara hidup diri sendiri, boleh mendirikan rumah tangga.
Sherkawi: Satu isu yang saya ingin mendapatkan komen ikhlas pada YB ini berkaitan dengan hutang yang dikatakan begitu besar hutang negara yang lebih daripada RM1 trilion. Kadang-kadang mainan di luar sana terutamanya di kalangan pembangkang yang mengatakan bahawa jumlah tersebut bukanlah jumlah yang sebenarnya seolah-olah kerajaan yang ada sekarang ini cuba memainkan isu ini sebagai satu isu politik dalam usaha untuk mendapat simpati dan sokongan daripada rakyat. Jadi komen YB tentang isu ini.
Lim: Kalau kita sebut hutang secara langsung tentu ia kira-kira RM800 bilion. Tapi jangan lupa bahawa kerajaan juga ada jadi penjamin hutang-hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Sekiranya kita sebut semua komitmen hutang, liabiliti dan jaminan ia jauh lebih besar daripada RM1.1 trilion. Macam Tenaga Nasional Berhad (TNB) macam Telekom Malaysia (TM) pun jadi penjamin.
Tapi itu tidak ambil kira kerana semua tahu bahawa TNB mampu melangsaikan atau melunaskan hutang-hutang mereka. Sungguhpun kita jadi penjamin tapi bantu untuk dapat kadar faedah yang lebih rendah dan dijangka dan diketahui umum kerajaan tidak perlu membayar hutang ini.
Bila kita sebut tentang jaminan-jaminan yang kita ambil kira sebagai hutang kerajaan adalah kerana syarikat macam 1MDB mereka dah bankrap, dah tidak ada. Tidak mampu bayar hutang. Sebagai penjamin kita terpaksa menggantikan mereka dan menanggung hutang ini.
Saya rasa semua tahu kalau anda jadi penjamin, kawan tidak boleh bayar, penjamin akan bayar. Itu memang diketahui umum. So sekiranya ini berlaku di peringkat yang paling tinggi iaitu kerajaan itu pun sama. Mengapa hendak dinafikan oleh pihak-pihak tertentu? Mereka tahu. Mereka hanya tidak bertanggungjawab untuk teruskan fitnah dan berikan laporan yang sebalik realiti. Tetapi itu adalah satu keadaan yang kita terpaksa hadapi. Macam 1MDB suka tak suka mahu tak mahu kita kena bayar RM2.7 bilion tahun depan.
Tahun ini kita kena bayar RM2.4 bilion. Dua-dua sekali dua tahun RM5.1 bilion. Itu sebagai jaminan. Bukan kita yang dapat. 1MDB yang dapat. Tapi kita sebagai penjamin apabila 1MDB tidak dapat bayar kita pula kena bayar. Kalau kita lihat jumlah yang terbabit. Bukan sahaja 1MDB ataupun syarikat-syarikat yang terlibat 1MDB macam multiproduct pipeline dekat Sabah di mana RM8.3 bilion atau 88 peratus sudah dibayar sungguhpun tidak ada kerja.
Satu skru pun tidak dapat kita kesan di atas tanah, di atas tapak projek itu. Campur lagi dengan skandal-skandal yang tidak ada kaitan dengan 1MDB seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Tabung Haji dan Felda. Semua sekali melibatkan wang sebanyak RM150 bilion. Itu satu jumlah yang maha besar. Kalau Amerika Syarikat pun terlibat dengan skandal US$37 bilion, dia pun sakit.
Apatah lagi sebuah negara yang kecil macam Malaysia. So itulah cabaran yang kita hadapi dan kita hadapi dengan berjayanya. Sehingga kita lihat syarikat penarafan kredit antarabangsa seperti Moody baik, S&P baik pun Fitch mereka tahu cabaran yang kita hadapi, masalah yang kita terpaksa atasi tetapi mereka masih kekalkan credit rating Malaysia. Menunjukkan keyakinan penuh ke atas kemampuan kerajaan Malaysia untuk hadapi cabaran-cabaran hutang yang berlambak-lambak ini.
Saya rasa itu adalah satu kejayaan yang amat menyerlah untuk Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang Perdana Menteri. Kerana untuk negara-negara biasa, biasanya akan hadapi downgrade. Kita masih dapat kekalkannya dan ini penting. Kalau kita punya rating kena downgrade akibatnya ialah kadar faedah akan naik.
Sherkawi: Satu lagi persoalan yang dimainkan di luar sana di kalangan rakyat terumanya mereka ingin mengetahui sekarang ini ingin tahu tentang Tabung Harapan, koleksi yang dibuat, berapa jumlahnya dan ke mana duit itu diarahkan.
Lim: Selepas Tabung Harapan ditutup pada awal tahun ini jumlah yang dikutip ialah sebanyak RM 203 juta. Dan ia digunakan sepenuhnya untuk langsaikan hutang 1MDB. Dan ia diaudit oleh Ketua Audit Negara dan juga syarikat perakaunan. Memang kita boleh jamin 100 peratus setiap sen digunakan untuk langsaikan hutang tidak disalahgunakan macam 1MDB.
Sherkawi: Kembali kepada Belanjawan 2020 sesuatu yang menarik tentang keberanian kerajaan sekarang dalam usaha untuk mengubah senario ekonomi semasa yang sedia ada kita bercakap tentang digital ekonomi dan sebagainya. Jadi apa yang ingin dicapai sebenarnya YB.
Lim: Banyak insentif telah diberikan. Saya tidak mahu huraian tiap-tiap insentif. Ini untuk menggalakkan syarikat-syarikat untuk beralih era kepada digital. Tapi bukan sekadar syarikat itu. Ini saya akan sentuh kemudian. Tapi juga untuk setiap rakyat pun kena sesuaikan diri dengan era digital ini.
Itulah sebabnya kita buat satu inisiatif yang kita hendak galakkan semua untuk melanggan sebagai peserta e-wallet atau e-dompet. Supaya bila bayar menerusi handphone sebagai satu langkah ke depan untuk menjadi sebuah masyarakat tanpa tunai. Cashless society. Dan itu tentu baik kerana akan kurangkan penyelewengan dan juga rasuah kerana semua tercatit dalam rekod.
Untuk galakkan peralihan kepada e-dompet kerajaan akan berikan secara one-off RM30 untuk buat shopping menerusi e-dompet kepada semua yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM100,000. Tempoh sahlaku ialah sehingga dua bulan mulai 1 Januari 2020 hingga 29 Februari 2020.
Hanya daftarkan diri sahaja boleh dapat RM30 untuk belanja. Ini kita harap dapat perbanyakkan lebih ramai untuk menyertai e-dompet dan kita jangka dapat tarik 15 juta rakyat Malaysia yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM450 juta. Itu secara one-off. Ini boleh dikira sebagai satu rangsangan, mini rangsangan, mini stimulus kepada ekonomi.
Untuk syarikat-syarikat banyak insentif sudah diberikan. Saya sudah huraikan secara panjang lebar pada hari Jumaat. Dan insentif-insentif ini sampai sebilion ringgit. Ini kita harapan dapat galakan semua syarikat tanpa kira mereka menceburkan diri dalam ekonomi baru atau ekonomi digital termasuk juga syarikat-syarikat lama sama ada runcitlah.
Kena melibatkan diri dalam era digital. Tengok macam kita sebut tentang tudung kalau boleh dilanggan menerusi online shopping begitu besar dia punya volume bisnes. Sampai sekarang ada personaliti tertentu yang begitu berjaya tidak payah sebut nama sudah tahu. Tapi bukan sekadar tudung saja. Ada banyak produk tempatan di kawasan kampung atau kawasan luar bandar dan desa boleh membiasakan diri dengan online shopping dan dapat mencari rezeki yang lebih banyak.
Sherkawi: Dalam mencapai tujuan ini apakah itu antara faktor yang menyebabkan kerajaan memberikan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan di mana konsentrasi ditumpukan kepada pendidikan bertaraf vokasional dan teknikal. Jadi apakah sebenarnya ini yang ingin dicapai kerajaan melalui Belanjawan 2020.
Lim: Ini akan dibuat secara dua peringkat. Dalam satu peringkat seperti yang selalu ditegaskan oleh YAB Tun Dr Mahathir bahawa kita kena sedaya upaya memberikan kelengkapan digital kepada usahawan kecil di kawasan kampung. Kerana banyak yang mungkin tidak biasa dengan perakaunan macam mana hendak pastikan dari segi kewangan mereka dapat jalankan perniagaan dengan berjaya. Kedua mereka mesti menceburi online shopping.
Kalau tidak buat online susah untuk membangunkan perniagaan masing-masing. Ketiga penting bahawa mereka tahu bagaimana packaging produk masing-masing. Kalau kita hendak jual dari segi presentation mesti eloklah. Jadi packaging itu penting. Kalau packaging cantik pelanggan lebih minat dan lebih cenderung untuk beli. Itu kena dibuat secara umumnya. Kita akan minta pelbagai agensi untuk uruskan inisiatif ini.
Di peringkat sekolah untuk anak-anak kalau boleh kita hendak mulakan pengajian ini dari awal. Apa yang kita sebut ialah tahu tentang kewangan, bisnes, penting buat packaging, presentation. Pentingnya buat urusan menerusi online. Kena buat daripada awal.
Dan ini akan diusahakan oleh Kementerian Pendidikan. Tentu sektor pendidikan dapat peruntukan paling besar daripada RM60 bilion dalam Belanjawan 2019 ditingkatkan kepada RM64 bilion dalam Belanjawan 2020. Dan ini menunjukkan komitmen dan penekanan kerajaan ke atas pendidikan.
Sherkawi: Satu lagi isu yang menarik diperkatakan di luar sana selepas pembentangan Belanjawan 2020 ini ialah tentang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Apakah masanya sudah sampai di mana kerajaan sendiri akan memberikan tumpuan. Tapi mereka (orang di luar sana) melihat ada masalah-masalah yang perlu dilihat oleh kementerian secara keseluruhannya sebelum pendidikan TVET ini benar-benar berada pada landasan yang dikehendaki.
Lim: Sememangnya kerajaan memberikan penekanan kepada TVET dengan menaikkan peruntukan kepada RM5.9 bilion dan itu adalah jumlah yang sangat besar. TVET sekarang diuruskan oleh pelbagai kementerian dan semua kementerian telah menjalankan usaha dengan baik.
Kami juga menerima pandangan bahawa rasionalisasi harus dijalankan. Dan saya percaya ini akan dikaji dengan rapi supaya tidak ada pertindihan, tidak ada pembaziran. Satu lagi pendekatan baharu yang dirancangkan ialah untuk membolehkan pelatih-pelatih belajar dalam kilang-kilang. Kerana sekiranya kita tubuhkan TVET dengan membeli mesin-mesin ia agak mahal.
Seringkali ia luput, obsolete atau ketinggalan zaman. Sekiranya kita pergi ke kilang-kilang biasanya mereka menggunakan mesin yang paling baharu paling moden. Sekiranya kita boleh galakkan mereka (kilang-kilang) terima pelatih TVET ini, mereka (pelatih) akan dapat mempelajari automation dan juga pendidikan yang terkini. Bukanlah mesin-mesin yang lama tetapi mesin-mesin yang terbaru.
Sherkawi: Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa peruntukan yang diberikan untuk program TVET ini RM5.9 bilion itu adalah terlalu kecil dan tidak mencukupi sebenarnya. Ada juga mengatakan bahawa dari segi di atas kertas memang kelihatan cukup menarik tetapi dari aspek implementasinya dikatakan tidak mencapai seperti apa yang dihajatkan. Komen sikit YB.
Lim: Itu memang cabaran yang paling besar. Kerana kita boleh rancang segala-galanya tapi sekiranya pelaksanaan kurang maka semuanya akan gagal. Oleh sebab itu saya selalu sebut dalam perkara ini, rancang. Penting. Tetapi yang lebih penting ialah execution. Pelaksanaan. Ini akan diberikan tumpuan oleh Kementerian Kewangan. Bila Ketua Setiausaha Perbendaharaan balik dari luar negara beliau akan adakan mesyuarat dalam bulan ini juga. Supaya mereka boleh mulakan kerja. Tak payah tunggu tahun depan.
Ini kita harap dapat singkatkan masa dan pastikan mekanisme yang didirikan adalah berkesan. Itulah sebabnya kita tidak mahu balik kepada jentera kerajaan. Kita serah pada agensi dan institusi yang pakar. Macam Khazanah untuk buat digital stimulus e-wallet dan e-dompet, KWSP buat #MalaysiaKerja dan agensi lain yang terpilih untuk usahakan program-program ini.
Sekiranya TVET boleh ada satu badan pakar memang akan dapat penjimatan di mana penjimatan ini akan dapat disalurkan balik untuk pendidikan TVET.
Pihak Kementerian Kewangan telah buat satu dasar baharu yang kita rasa adalah satu game changer dari segi reformasi pentadbiran. Iaitu mana mana-mana kementerian sekiranya menjalankan projek dapat menjana penjimatan, penjimatan ini akan disalurkan balik kepada kementerian itu. Tak payah pulangkan balik kepada Kementerian Kewangan. Kita harap dengan pendekatan baharu ini ada lebih banyak penjimatan, ada lebih banyak idea-idea kreatif dan inovatif supaya penjimatan ini mereka dapat nikmati sepenuhnya.
Sherkawi: Kita pergi kepada berita yang sedikit menggembirakan rakyat terutamanya kepada yang menggunakan tol. Pendirian kerajaan sendiri dalam persoalan ini apa yang boleh kita kongsikan bersama dengan penonton.
Lim: Bila kita nak laksanakan janji pilihan raya tentu pihak kerajaan menghadapi masalah beban hutang yang besar. Hasrat kita susah dipenuhi kerana sekiranya kehilangan RM150 bilion bukan senang untuk cari gantian. Kalau bukan 1MDB saya percaya ini dah dapat dilaksanakan. Tapi dalam keadaan sebegini tidak bermaksud kita tidak buat apa-apa. Jadi kita cari alternatif atau kaedah yang lain. Dan dalam usaha setahun ini kita dapat cari satu kaedah di mana ia mesti memenuhi dua syarat penting.
Satu, penjimatan yang ketara kepada pengguna dari segi pembayaran tol yang kurang. Kedua, ia mesti fiscal positive. Maksudnya tidak akan tambah beban hutang dan juga tidak akan tambah perkhidmatan hutang yang sedia ada. Kedua- dua syarat ini dapat dicapai dengan kaedah yang saya sebut tadi. Di mana kita telah tetapkan untuk Lebuhraya Utara Selatan pengurangan kutipan tol sebanyak 18 peratus across the board iaitu secara menyeluruh.
Bukan sahaja untuk satu dua tahun ini tetapi sepanjang tempoh konsesi. Dan pada masa yang sama ia juga akan memberi penjimatan kepada rakyat kerana selain daripada bayar kurang tol macam untuk Lebuhraya Utara Selatan pengurangan 18 peratus akan menjimatkan setahun sekurang-kurangnya RM1,130 juta.
Itu satu jumlah yang agak besar. Tapi pada masa yang sama kerajaan tak perlu bayar pampasan. Kita kena ingat, bila kita bekukan kenaikan tol, kita kena bayar pampasan kepada syarikat konsesi. Dan ini adalah satu jumlah yang besar dianggarkan akan melibatkan puluhan bilion ringgit dari segi pembayaran ganti rugi. Ini pun akan dijimatkan.
Dengan kaedah sedemikian kami rasa ini adalah formula menang-menang. Menang untuk rakyat dengan bayaran tol yang kurang, menang untuk kerajaan kerana tak perlu bayar gantirugi dan juga tak tambah beban hutang.
Sherkawi: Satu lagi isu yang perlu mendapat perhatian kerajaan ialah tentang kesesakan yang menjadi kegelisahan kepada pengguna di Tambak Johor terutamanya. Ini pun satu isu yang perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak kerajaan. Jadi bagi pihak Kementerian Kewangan sendiri apa yang akan dilakukan nanti YB.
Lim: Secara jangka pendek Kementerian Kewangan telah peruntukan RM85 juta untuk kurangkan kesesakan. Tapi jangka panjang kerajaan telah luluskan berhasrat untuk teruskan projek Rapid Transit System (RTS) di antara Johor dan Singapura. Kami rasa ini adalah berita baik untuk penduduk. Dan kita akan cuba sedaya upaya untuk dapat penjimatan.
Dan pada masa yang sama kita akan kaji penambahbaikan yang boleh dilakukan supaya kita boleh kurangkan kesesakan yang amat mencabar ini. Kita hendak berikan jaminan kepada rakyat dekat Johor masalah ini memang selalu dalam ingatan kita. Kita akan terus cuba untuk cari formula atau kaedah untuk kurangkan masalah ini.
Sherkawi: Cadangan untuk menjual lebuhraya kepunyaan PLUS itu YB. Di mana kedudukan itu sekarang.
Lim: Ia masih dalam perbincangan dalam rundingan kerana kita nak pastikan pemilik konsesi PLUS iaitu Khazanah dan KWSP, kedua-dua organisasi adalah milikan kerajaan dan rakyat. KWSP adalah sumbangan daripada pekerja-pekerja di Malaysia. Lebih 15 juta pekerja. Kita kena jaga kepentingan mereka. Itulah sebabnya rundingan diadakan untuk pastikan bahawa mereka tidak kerugian dari segi pelaburan mereka.
Itulah sebabnya Khazanah telah menyatakan dengan begitu tegas sekali tidak akan jual kepada syarikat swasta. Kerana sekiranya jual kepada syarikat swasta maka ini akan merugikan Khazanah dan KWSP. Kerana apabila syarikat besar beli, dia mesti untung. Kalau ada orang untung, mesti ada orang tak untung.
Yang tak untung ialah KWSP dan Khazanah. Itulah sebabnya mereka hanya berminat berurusan dengan pihak kerajaan. Tapi walau macam mana pun kita akan mengkaji semua syor-syor dan cadangan yang diketengahkan baik daripada Khazanah mahupun daripada pihak-pihak lain.
Sherkawi: Sesuatu yang juga menarik YB kita bercakap tentang shared prosperity. Itu antara perkara yang dibangkit atau diuar-uarkan dengan begitu meluas sekali menjelang pembentangan Belanjawan 2020 ini. Tetapi bagaimana YB nak melihat atau seimbangkan kemakmuran jika bandingkan penduduk antara negeri-negeri yang ada di Malaysia, di antara penduduk bandar dan luar bandar dan mereka yang berada dan mereka yang dalam kumpulan B40 dan sebagainya. Jadi bagaimana nak mencapai hasrat the so-called shared prosperity.
Lim: Itulah sebabnya kalau kita lihat dari segi subsidi. Ia telah dinaikkan sebanyak RM2 bilion. Dari RM20.3 bilion kepada RM24.2 bilion. Jadi subsidi telah dinaikkan. Dan pembangunan luar bandar pun dah dinaikkan daripada RM9.7 bilion kepada RM10.9 bilion. Inilah usaha untuk membawa keseimbangan seperti yang dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir.
Tapi pada masa yang sama kita kena ingat bahawa untuk pastikan Wawasan Kemakmuran Bersama dapat berjaya kita mesti janakan kemakmuran itu. Jadi dengan kata lain ia mesti growth centric dengan kemakmuran yang sedia ada. Barulah kita dapat berjaya kongsikannya dengan lebih meluas dan lebih saksama lagi. Itulah sebabnya bila kita sebut tentang belanjawan ia bukan sekadar pengagihan ia juga memberikan tumpuan yang lebih besar kepada pertumbuhan supaya kemakmuran dapat dikecapi secara bersama. Dan ini bukan sahaja di antara di antara wilayah tengok apa yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak. Itu yang paling besar dalam sejarah.
Sherkawi: Peruntukan RM5.2 bilion untuk Sabah dan RM4.4 bilion untuk Sarawak. Tapi yang paling menarik ialah the federal grant. Geran kerajaan ditambah dengan begitu hebat sekali Sabah mendapat RM53.4 juta dan Sarawak mendapat RM32 juta. Ada pandangan mengatakan kenapa ini dilakukan. Apakah kerana sudah ada tekanan yang diberikan oleh Sabah dan Sarawak, terutamanya apabila mereka mula bercakap secara meluas tentang Malaysia Agreement 63 (MA63) itu. Apakah itu sebabnya.
Lim: Itu memang sampai masanya. Kerana dalam manifesto Pakatan Harapan pun ada sebut bahawa kena beri perhatian yang sewajarnya kepada MA63 iaitu perjanjian di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Dan kerana kedua-dua negeri ini diabaikan oleh kerajaan dulu. Contohnya geran, kali terakhir disemak ialah pada 1969.
Tak disemak begitu lama. Itulah sebabnya dinaikkan 100 peratus. Apa yang kita buat ialah betulkan apa yang kurang dalam zaman lepas. Dan ini perlukan masa. Sekurang-kurangnya kita harap rakyat Sabah dan Sarawak boleh nampak keikhlasan kita untuk melaksanakannya. Bahawa kita serius, kita komited dan iltizam memang ada. Tapi kena berikan masa supaya bila kedudukan kewangan pulih baru kita boleh buat lebih banyak.
Sherkawi: Cuba kita sentuh isu perumahan. Ini merupakan isu yang serius sebenarnya menjadi rungutan rakyat. Dan jelas dalam pembentangan Belanjawan 2020 ini ada langkah yang akan diperkenalkan oleh kerajaan sekarang dalam usaha menyelesaian masalah di kalangan rakyat.
Lim: Ada satu inisiatif baharu di mana YB Zuraida dan kita di Kementerian Kewangan setuju untuk melaksanakan iaitu sewa untuk memiliki. Di mana kerajaan akan berikan jaminan sebanyak 30 peratus kepada institusi kewangan membina rumah yang akan disewa untuk tempoh lima tahun dan selepas ini mereka diberikan tempoh satu tahun untuk putuskan sama ada nak beli atau tidak.
Dan sekiranya nak beli bukanlah harga pasaran semasa tetapi apa yang ditentukan lima tahun dulu apabila mereka buat surat perjanjian. Jadi itulah cadangan dibuat dan kerajaan rasa sekiranya kita serahkan inisiatif ini kepada pihak swasta kerana mereka lebih efisien dan mereka lebih produktif. Kita dapat berjaya capai sasaran kita iaitu 100,00 rumah setiap tahun.
Tak kira rumah awam ataupun rumah mampu milik. Kerana ini melibatkan rumah sampai harga RM500,000. Dan kita harap ini pun satu game changer. Kali ini punya belanjawan boleh cakap belanjawan game changerlah. Ini kita harap satu lagi game changer untuk sektor perumahan supaya dapat pastikan setiap keluarga dapat bumbung di atas kepala mereka.
Sherkawi: Tentang sektor kesihatan mungkin YB ingin jelaskan.
Lim: Sektor kesihatan pun diberikan tumpuan. Sektor yang mendapat peruntukan kedua terbesar. Tentu banyak program yang dilaksanakan. Bukan sekadar hospital baharu tetapi yang lebih penting ialah pastikan kelengkapan yang mencukupi untuk hospital yang sedia ada. Yang kita perhatikan kalau dulu mereka hanya nak bina hospital baharu untuk tunjuk wah hospital baharu di sini di situ tapi abaikan hospital sedia ada.
Sehingga ada kelengkapan, ada mesin hospital 15 tahun tak ganti atau tak repair langsung. Sekarang kita jalankan inisiatif 3R iaitu membaiki, mengganti dan memulihkan atau repair, replace, restock. Hospital lama yang sedia banyak peruntukan telah diberikan kita tambah sekali ganda supaya kita dapat pastikan hospital sedia ada dapat berikan rawatan yang sejajar dengan status nama hospital untuk merawat orang.
Sherkawi: Kita pergi sekarang kepada sesuatu yang cukup dekat dengan YB. Ini melibatkan kakitangan perkhidmatan awam. Cuepacs sebelum belanjawan ini dibentangkan mereka mengharapkan mungkin kali ini gaji kakitangan awam akan dinaikkan. Tentang bonus itu mungkin mereka lega kerana sekurang-kurangnya ada pembayaran bonus kepada kakitangan awam. Tetapi tentang kenaikan gaji itu apakah YB melihat ia mungkin diberi perhatian di masa-masa akan datang dan tidak pada belanjawan kali ini.
Lim: Sekiranya kedudukan kewangan bertambah baik tentu ia akan diberikan perhatian yang sewajarnya. Tapi sungguhpun begitu untuk belanjawan kali ini kita boleh lihat COLA dinaikkan buat kali pertama sejak 2007. Ini ialah untuk kumpulan sokongan pelaksana. Tetapi sekurang-kurangnya ada kenaikan seperti yang diminta oleh Cuepacs. Dan gaji minima pun dinaikkan RM100 di kawasan bandar kepada RM1200 sebulan. Sambil itu ada banyak cadangan untuk naikkan faedah atau kebajikan pekerja khususnya untuk wanita.
Dapatlah cuti bersalin sampai 90 hari. Dan untuk bapa pun dapat tiga hari cuti paternity leave. Di sini kita boleh lihat dari segi kebajikan banyak penambahbaikan. Dari segi kewangan untuk Angkatan Tentera untuk Jabatan Perkhidmatan Bomba, untuk Rela. Kita cuba untuk uruskan atau penuhi permintaan pelbagai sektor. Mungkin untuk tahun depan kita akan lihat sektor-sektor lain.
Sherkawi: Di penghujung ini barangkali menarik jugalah berkongsi sesuatu dengan YB. Memang kita setuju bahawa Belanjawan 2020 ini macam YB katalah belanjawan yang cukup mesra rakyat. Tetapi ada juga yang mengatakan bahawa apakah belanjawan yang bersifat sebegini dilakukan kerana kalau kita lihat pada kedudukan Pakatan Harapan sekarang ini dalam pilihan raya-pilihan raya kecil tewas beberapa pilihan raya kecil. Apakah itu antara sebab mengapa YB dan rakan-rakan dalam PH merasakan bahawa belanjawan kali ini harus betul-betul dekat dengan hati dan jiwa rakyat.
Lim: Yang penting ialah kita nak ubah minda rakyat bahawa kalau belanjawan sebegini hanya kerana ada pilihan raya. Pilihan raya lama lagi kena tunggu sampai saya rasa hampir empat tahun. Tapi sekiranya kita boleh buat anjakan minda sedemikian bahawa belanjawan sepatutnya memberi faedah kepada rakyat. Tak kira ada pilihan raya atau tidak ada pilihan raya. Malah itu Datuk Seri Anwar bila jumpa saya selepas pembentangan Belanjawan dia sebut macam belanjawan pilihan raya.
Reaksi saya ialah bahawa tiap-tiap tahun punya belanjawan mesti macam belanjawan pilihan raya supaya kita buang sama sekali bahawa hanya dapat faedah atau kebaikan bila menjelang pilihan raya.
Itu saya rasa kita kena uruskan. Kita kena buang bahawa tiap-tiap tahun kalau boleh mesti sedemikian supaya rakyat dapat keyakinan, pelabur dapat keyakinan dan kita boleh beritahu kepada semua inilah Malaysia baharu. Malaysia Baharu untuk anda supaya anda dapat hidup bermaruah supaya anda dapat hak asasi penjagaan kesihatan, tindakan yang murni dan berpengetahuan, pekerjaan yang baik dengan gaji setimpal dan dengan harapan besar untuk anak-anak kita dapat hidup lebih baik daripada ibu bapa.
Sherkawi: Kenapa di penghujung ketika Belanjawan 2020 dibentangkan saya lihat intonasi suara YB tiba-tiba berubah dengan nada yang cukup tinggi nada yang cukup bersemangat. Apakah itu dirancang sebenarnya ataupun memang itu sifat semula jadi YB.
Lim: Kerana mungkin lega kerana sudah ke penghujungnya. Kerana berdiri dua setengah jam. Begitu lama. Oh ini ialah akhirnya. Bila akhirnya kena ada ummph sikit.
Sherkawi: Pasti akan ada pihak tertentu yang akan melihat kelemahan-kelemahan dalam belanjawan ini. Dan kelemahan-kelemahan ini akan digunakan sebagai modal-modal politik untuk menyerang kerajaan sedia ada. Jadi nasihat YB.
Lim: Memang sebagai manusia sebagai insan biasa, kami bukan sempurna. Hanya tuhan yang sempurna. Tapi sekiranya ada apa-apa yang kurang kita akan cuba perbaikinya. Tapi kita harap mereka yang tidak jelas tolonglah tanya untuk tahu fakta dan hakikatnya. Saya bagi contoh bila disyorkan bahawa harga kondominium dan apartment untuk orang asing pembeliannya dikurangkan dari RM1 juta kepada RM600,000. Ini adalah untuk stok atau bekalan yang sedia ada.
Yang tak dapat dijual. Macam mana boleh nafikan peluang kepada rakyat Malaysia. Kerana kalau mereka nak beli mereka boleh beli sekarang. Tapi kerana mereka tak mau beli ia menjadi satu supply overhang jadi lambakan. Jadi yang ini yang kita nak jual kepada orang asing kerana orang tempatan tak nak. Dan ini hanya untuk 2020. Ini dijadikan isu. Bukanlah untuk yang baru tapi untuk yang sedia ada. Macam mana nafikan peluang kepada orang tempatan apabila mereka boleh beli sekarang, mereka tak mau beli.
Dan ini bukan untuk projek baharu jadi mengapa nak bimbang ia akan naikkan harga rumah. Ini adalah untuk stok sedia ada sampai akhir tahun 2020. Untuk dengar dakwaan bahawa itu akan nafikan peluang rakyat Malaysia, harga naik, saya rasa ini tak logik tak wujud langsung kerana kalau nak beli rakyat tempatan sekarang boleh beli, tapi mereka tak nak beli.
Sherkawi: Harapan rakyat sekarang atas kertas semua begitu menarik tapi kita mengharapkan sebenarnya rakyat harapkan pelaksanaan berjalan seperti dirancang tidak ada ketirisan tidak ada salah guna kuasa, wang dan sebagainya. Jadi jaminan yang akan diberikan YB kepada rakyat bagaimana.
Lim: Saya rasa YAB Perdana Menteri akan pastikan tidak ada ketirisan dan rasuah. Beliau begitu tegas dalam perkara ini. Dan perbezaan ketara di antara kerajaan baharu ini dan kerajaan lama ialah dari segi integriti. Bahawa kita bersih, kita demokrasi. Yang dulu rasuah dan kleptokrasi. Itu tentu akan diberikan keutamaan.
Dan dari segi pelaksanaan kita akan pastikan jangan di atas bahu satu dua pihak atau satu dua agensi. Kita akan pastikan ia akan dibuat secara kolektif bersama. Itulah sebabnya inisiatif penting diserahkan pada KWSP. Inisiatif macam digital stimulus untuk buat e-dompet kita serahkan pada khazanah. Dan yang lain-lain kita dapatkan input dari kementerian lain.
Bukan hanya satu kementerian hanya satu pihak. Ini kita akan gerak sedaya yang boleh sebagai satu pasukan. Tentu ada kelemahan ini kita akui. Tapi kita akan cuba betulkan dan perbaiki kelemahan ini. Harap kalau ada apa-apa input berikanlah secara ikhlas kami akan terima secara hati terbuka.
Sherkawi: Terima kasih banyak-banyak YB.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel