BERITA

Belanjawan 2020 tumpu pacu pertumbuhan ekonomi, rapat jurang

Johan Mahmood Merican

KUALA LUMPUR, 14 Okt -- Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada Jumaat minggu lepas pada dasarnya menumpukan kepada cara-cara untuk memacu pembangunan ekonomi negara dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu. 

Pengarah Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Johan Mahmood Merican berkata kerajaan telah mengambil langkah-langkah awal untuk memastikan momentum pertumbuhan negara akan berterusan. 

“Dari segi wawasan Kemakmuran Bersama, belanjawan ini memberi penekanan kepada merapatkan jurang sama ada dalam kadar pekerjaan dalam kalangan golongan muda, pembangunan di Sabah dan Sarawak, pembangunan luar bandar, serta membantu mereka yang memerlukan seperti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), golongan wanita dan orang kurang upaya, antara lainnya. 

“Kita melihat penerimaan belanjawan ini adalah baik setakat ini kerana ia menyeluruh dalam perspektif memastikan pertumbuhan dan merapatkan jurang di Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Perbahasan Pasca Belanjawan 2020 yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Malaysia, di sini, hari ini. 

Johan Mahmood juga berkata langkah-langkah yang diumumkan seperti cukai, sebagai contohnya, juga dirangka untuk menyokong strategi memastikan pertumbuhan ekonomi, iaitu menerusi insentif khusus, pelaburan, cukai keuntungan hartanah (RPGT), potongan cukai tambahan untuk menyokong wanita kembali bekerja dan sebagainya.

Mengenai usaha melahirkan lebih banyak ‘syarikat unicorn’ (syarikat pemula niaga yang bernilai lebih daripada satu bilion) di negara ini, beliau berkata ia adalah sasaran jangka panjang tetapi butiran lebih terperinci akan digariskan semasa kerajaan melancarkan Rancangan Malaysia ke-12 tahun depan.  

Sementara itu, ahli panel Dr Veerinderjeet Singh mencadangkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperluaskan secara perlahan-lahan kepada lebih banyak barang dan perkhidmatan dengan pengecualian bagi barang keperluan.

“Secara amnya, SST merangkumi kira-kira 38 peratus daripada barang dan perkhidmatan manakala Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) meliputi hampir 70 peratus.

“Terdapat cara dan kaedah untuk sebenarnya menaikkan, bagi memadankan hasil di bawah SST (sekarang RM22 bilion) kepada GST (RM47 bilion)…jika kita boleh menggandakannya, dengan syarat terdapat penguatkuasaan dan pendidikan,” kata Veerinderjeet, yang juga merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Axcelasia Inc serta ahli Jawatankuasa Pembaharuan Cukai.

Satu daripada caranya, adalah dengan menggunakan peranti teknologi canggih untuk mengesan setiap urus niaga item, yang sama seperti digunakan semasa pelaksanaan GST, katanya. 

Mengenai perkembangan lain, pakar ekonomi negara Bank Dunia Shakira Teh Sharifuddin berkata Malaysia diunjur mencapai pertumbuhan 4.6 peratus tahun ini, 2020 dan 2021 berbanding unjuran kerajaan pada 4.7 peratus bagi 2019 dan 4.8 peratus pada 2020.

Ini, katanya, akan disokong oleh penggunaan swasta yang akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan. 

“Bagaimanapun, kita juga perlu berhati-hati dengan cabaran daripada persekitaran luaran,” katanya. 

— BERNAMA


 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel