BERITA

Dua bulan untuk lengkap mekanisme bantuan PSP kepada M40



KUANTAN, 16 Okt -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mempunyai tempoh dua bulan untuk melengkapkan mekanisme bantuan Program Subsidi Petrol (PSP) kepada golongan berpendapatan sederhana (M40), kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. 

Beliau berkata perkara itu perlu segera dilakukan memandangkan pengumumannya hanya dibuat oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat Jumaat lalu, sedangkan pelaksanaanya akan bermula pada Januari ini. 

"Kami kena duduk dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk berbincang tentang beberapa keperluan lain, tetapi saya optimis bahawa pengalaman kami dalam menggerakkan mekanisme bantuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dapat membantu. 

"Kita juga bekerjasama dalam melakukan semakan silang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jadi kami tahu jumlah kenderaan yang layak (menerima subsidi itu). Apa yang penting adalah untuk mereka yang memenuhi syarat untuk mendaftar," katanya. 

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Wacana Bersama Menteri dan Pelancaran Program Food Bank Siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) di kampus Gambang di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin. 

Saifuddin Nasution juga mengesahkan berlaku kesesakan pada portal psp.kpdnhep.gov.my sejak semalam, selepas 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) boleh mula menyemak kelayakan menerima PSP, sehingga beliau menyifatkan portal itu sebagai 'paling top' buat masa ini. 

"Kita akui (portal) agak slow kerana kita berdepan dengan limpahan permohonan semakan yang terlalu banyak, jika dibandingnya dengan keupayaan server. Semakan ini, ingin saya ulang hanya yang melibatkan penerima BSH sahaja. 

"Jika mereka tidak pernah menerima BSH atau Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini, namun berpandangan layak menerima PSP, boleh membuat rayuan dan kami akan bantu untuk mendaftarkan mereka dengan MOF kerana kami menggunakan data mereka," katanya. 

Saifuddin Nasution berkata mereka yang tidak mempunyai akses kepada internet untuk membuat semakan boleh berbuat demikian menerusi sembilan talian KPDNHEP termasuk semakan di kaunter. 

Mengulas mengenai program Food Bank itu, Saifuddin Nasution berkata 20 universiti awam dalam negara akan melaksanakan progam itu menjelang hujung akhir tahun ini, dengan UMP sebagai universiti ke-18 terlibat dengan menggunakan jenama sebagai Kampus Pantri UMP. 

Katanya, dua lagi universiti yang akan melaksanakan Food Bank dalam masa terdekat ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum diperluaskan kepada 123 politeknik, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institut pengajian tinggi swasta pada tahun hadapan. 

"Setakat ini, seramai 6,500 pelajar universiti telah menerima manfaat daripada program ini dan kita optimis soal jaminan kelangsungan pelaksanaannya tidak akan timbul kerana telah menerima peruntukan RM25 juta menerusi Belanjawan 2020 selain bantuan termasuk tunai daripada pihak yang mahu terlibat," katanya. 

Saifuddin Nasution berkata uniknya di UMP, selain 10 pemberi sumbangan yang terdiri daripada syarikat swasta dan pasar raya besar, mereka juga menjalin kerjasama dengan penanam sayur di Cameron Highlands membolehkan penerimanya menikmati sayur segar. 

-- BERNAMA 

 


 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel