Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail
KUALA LUMPUR, 30 Okt -- Deloitte Malaysia menjangka kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah berani dalam Belanjawan 2020 seperti pengurangan pembayaran cukai dan lebih banyak insentif menarik untuk menyokong perniagaan dalam usaha transformasi digital mereka, bagi memulihkan ekonomi di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Ketua Cukai Deloitte Malaysia Sim Kwang Gek berkata Bank Negara Malaysia mengunjurkan penguncupan pertumbuhan tahun penuh 2020 pada 3.5 peratus hingga 5.5 peratus sebelum melantun semula kepada 5.5 peraus hingga 8.0 peratus tahun depan manakala defisit fiskal bagi tahun ini dijangka meningkat kepada 6.0 peratus.
Dalam keadaan ini, beliau berkata Belanjawan 2021 dijangka menumpukan kepada merangka dasar untuk menangani cabaran daripada pandemik COVID-19 dan ia juga perlu menimbang strategi jangka sederhana dan panjang untuk meletakkan Malaysia di kedudukan kukuh bagi merebut peluang daripada krisis ini.
Sim berkata COVID-19 telah mempercepat keperluan untuk melaksanakan transformasi digital.
"Pelaburan dalam teknologi seperti pembayaran digital dan mudah alih, pengkomputeran awan dan robotik kini penting bagi perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu.
“Saya memuji inisiatif kerajaan dalam usaha menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerima pakai Revolusi Perindustrian 4.0 dengan menyediakan geran bernilai sehingga RM5,000 bagi syarikat-syarikat ini untuk melabur dalam pendigitalan operasi harian mereka,” katanya kepada Bernama mengenai pandangan Belanjawan 2021 firma itu.
Peruntukan berjumlah RM500 juta telah disediakan bagi inisiatif ini dan di bawah pakej rangsangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Elaun Modal Dipercepat akan diberikan bagi perbelanjaan modal kelayakan yang ditanggung bagi mesin dan peralatan, termasuk peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memberi insentif kepada syarikat menjalankan perniagaan mereka pada 2020.
Elaun Modal Dipercepat menyediakan 60 peratus tuntutan elaun modal bagi perbelanjaan modal kelayakan yang ditanggung pada 2020 dan bakinya pada tahun-tahun berikutnya. Ini mungkin tidak cukup menarik untuk merangsang pelaburan digital kerana elaun tersebut hanya menyediakan bagi tuntutan elaun modal tinggi dalam tahun pertama tetapi keseluruhan tuntutan elaun modal adalah bersamaan dengan amaun yang dibelanjakan.
"Bagi menyokong perniagaan dalam usaha transformasi digital mereka, Elaun Modal Dipercepat boleh diperkukuh dengan meningkatkan elaun modal kepada dua kali ganda perbelanjaan modal yang ditanggung dalam tempoh masa tertentu dan pengurangan cukai berganda ke atas yuran profesional bagi melaksanakan projek sedemikian kepada had tertentu," cadang Sim.
Mengulas mengenai kelonggaran diberikan kepada kumpulan syarikat, yang membolehkan syarikat menyerahkan tidak melebihi 70 peratus daripada kerugian cukai tahun semasa untuk ditolak daripada jumlah pendapatan satu atau lebih syarikat berkaitan dalam kumpulan sama, Sim berkata lazimnya PKS dikecualikan daripada insentif ini kerana keperluan untuk modal saham biasa berbayar adalah lebih RM2.5 juta.
“Dalam Belanjawan 2019, peruntukan kelonggaran untuk kumpulan syarikat telah diketatkan dengan hanya membenarkan syarikat menyerahkan kerugiannya selepas 12 bulan dari tarikh permulaan operasi selama tiga tahun pertama berturut-turut.
"Syarikat yang telah beroperasi selama lebih tiga tahun tidak akan layak mendapat insentif ini. Bagi meringankan kumpulan syarikat berhubunag keseluruhan cukai boleh bayar, saya mencadangkan agar peruntukan ini dilonggarkan untuk membolehkan semua syarikat (termasuk PKS) memperoleh akses kepada kemudahan ini memansuhkan 70 peratus yang menjadi satu kesukaran itu," katanya.
Sejak bermulanya pandemik COVID-19, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk meringankan beban pembayaran cukai di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PENJANA.
Ia yang turut merangkumi penangguhan pembayaran ansuran cukai, penyemakan anggaran cukai pada ansuran ketiga dan lanjutan tarikh akhir bagi pemfailan borang nyata cukai amat dialu-alukan pada masa ini, katanya.
Bagaimanapun, untuk mengurangkan kekangan aliran tunai yang dihadapi perniagaan, pertimbangan boleh diberikan dengan membenarkan baki cukai boleh bayar susulan pemfailan pulangan cukai syarikat, dibuat secara ansuran tanpa sebarang pengenaan denda berikutan lewat bayar.
Berdasarkan peruntukan semasa mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, bayaran lewat dikenakan denda sehingga 15.5 peratus daripada cukai belum bayar.
Sim berkata bagi memudahkan kerja pentadbiran, kelulusan automatik boleh diberikan sehingga enam bulan ansuran tanpa sebarang pengenaan denda lewat bayar.
LHDN dilaporkan telah mengutip kira-kira RM7.88 bilion menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) yang diadakan dari November 2018 hingga September 2019.
Kutipan itu adalah daripada 286,428 pembayar cukai termasuk 11,176 pembayar cukai baharu sekali gus meningkatkan kutipan cukai keseluruhan bagi 2019 bernilai RM145.11 bilion, 5.89 peratus lebih tinggi daripada yang dikutip pada 2018.
Beliau berkata pada masa ini, denda sebanyak 10 peratus hingga 35 peratus daripada cukai kurang bayar dikenakan bagi pengakuan sukarela berhubung nyata pendapatan terkurang oleh pembayar cukai, bergantung kepada tempoh kesegeraan pengakuan sukarela itu dibuat dengan SVDP menawarkan kadar denda 15 peratus kepada pembayar cukai.
''Di Singapura, penalti sifar ditawarkan untuk menggalakkan pendedahan sukarela yang dibuat dalam tempoh satu tahun dari tarikh akhir pemfailan berkanun, manakala penalti 5.0 peratus dikenakan jika pendedahan tersebut dibuat selepas tempoh tangguh berkenaan.
“Berikutan krisis semasa, LHDN telah menyemak semula kutipan cukai 2020. SVDP telah membuktikan, pendedahan sukarela mampu menjadi mekanisme yang berkesan bagi meningkatkan kutipan cukai dan oleh itu, mungkin tepat pada masanya untuk memberi insentif kepada pendedahan sukarela dengan mengurangkan penalti kepada 5.0 peratus dan tiada penalti jika pendedahan sukarela adalah disebabkan kesilapan atau perbezaan yang tulen dalam tafsiran teknikal yang dibuat oleh pembayar cukai,'' katanya.
Menurut Sim, gelombang ketiga COVID-19 yang sedang melanda negara telah menyebabkan beberapa kawasan tertentu di negara ini diletakkan di bawah kawalan pergerakan.
Organisasi perniagaan seperti pusat beli-belah dan pejabat yang mencatatkan kes positif terpaksa ditutup untuk tempoh tertentu.
Pakej rangsangan PENJANA telah menyediakan potongan cukai bagi pemilik hartanah yang mengurangkan atau mengetepikan sekurang-kurangnya 30 peratus sewa kasar dari April hingga September 2020 ke atas premis yang disewakan kepada penyewa yang terdiri daripada PKS.
''Memandangkan kos sewa membentuk sebahagian besar daripada perbelanjaan operasi kebanyakan perniagaan, saya mencadangkan insentif ini dilanjutkan selama enam bulan lagi kerana ini akan menggalakkan pemilik hartanah untuk terus mengurangkan kadar sewa yang akan memberikan kelegaan kepada perniagaan untuk bangkit kembali,” kata Sim.
Di samping itu, beliau berkata potongan cukai khas ini juga perlu disediakan untuk pemilik hartanah yang memberikan pengurangan sewa kepada bukan PKS, kerana perniagaan ini turut menerima kesan COVID-19.
''Keperluan untuk menghidupkan kembali dan melindungi perniagaan, jaminan terhadap kehidupan pekerja dan kebajikan rakyat memberi isyarat bajet kali ini akan bersifat belanjawan pengembangan. Berapa banyak yang diperlukan untuk menyuntik ekonomi masih menjadi tanda tanya kerana dunia masih bergelut untuk mencari penawar bagi COVID-19.
“Adakah kita akan dapat keluar daripada kesukaran ini? Hanya masa yang akan menentukan tetapi dengan dasar-dasar yang efektif yang menjaga kepentingan negara dan usaha bersepadu daripada semua pihak, saya yakin Malaysia mampu untuk bangkit lebih kukuh daripada sebelumnya,'' katanya.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel