BERITA

Belanjawan 2021: Tingkatkan peluang pekerjaan graduan, golongan muda



KUALA LUMPUR, 1 Nov -- Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada peningkatan peluang pekerjaan terutama untuk graduan dan anak muda yang berdepan pengangguran susulan penularan COVID-19 di negara ini, dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat depan. 

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Mursyid Arshad berkata golongan itu merupakan antara kelompok yang terkesan dengan hampir 40 peratus tenaga buruh di Malaysia adalah belia berusia 15 hingga 30 tahun.

“Jika dilihat setiap tahun, sekitar 200,000 graduan yang dihasilkan daripada institusi pengajian tinggi di negara ini dan hampir 300,000 graduan dalam dan luar negara menantikan peluang pekerjaan di Malaysia.

“Berdasarkan dapatan kajian tinjauan yang dilakukan terhadap golongan belia oleh pasukan penyelidik UPM baru-baru ini, mendapati mereka inginkan pekerjaan dan sumber pendapatan yang tetap dan mendambakan gaji yang setimpal dan berpadanan dengan kelayakan,” katanya kepada Bernama.

Namun, dengan peluang pekerjaan yang terhad akibat penyusutan beberapa sektor ekonomi susulan COVID-19, golongan belia bimbang akan pengangguran dengan hampir 544,500 belia dikatakan masih menganggur pada Julai 2020.

Justeru, Mohd Mursyid mencadangkan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan berorientasikan pendigitalan yang secara tidak langsung membolehkan golongan belia dan mereka yang hilang pekerjaan tidak lagi bergantung kepada pekerjaan ‘makan gaji’ semata-mata. 

“Penjanaan pendapatan melalui Ekonomi Gig (Gig Economy) merupakan ruang yang berpotensi besar dalam suasana pendigitalan pada hari ini dan golongan belia disaran untuk merebut peluang sebaik-baiknya dan memanfaatkan insentif yang disediakan oleh kerajaan melalui program myGIG Belia.

“Namun, Belanjawan 2021 juga perlu memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur jalur lebar secara lebih agresif kerana sektor pekerjaan dan pendidikan kini sangat bergantung kepada jalur lebar tetapi masih terdapat ‘blind spot’ di kawasan dalam bandar yang mengalami masalah Internet apatah lagi bagi kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan memperbanyakkan hab keusahawanan dalam melatih belia agar mahir dalam perniagaan dan mampu menghasilkan golongan itu yang berdaya tahan, di samping menyediakan program pembangunan kompetensi belia.

Program seumpama itu, beliau berkata perlu menekankan aspek pembangunan kemahiran baharu (upskilling), memperkasa kemahiran belia sedia ada (reskilling) dan menyilangkan belia dengan kemahiran lain (cross-skilling) supaya mampu melaksana kepelbagaian tugas agar selari dengan keperluan semasa ketika berdepan dengan situasi pandemik COVID-19 yang kian mencabar. 

“Kerajaan juga disaran meneruskan insentif ‘Place and Train’ melalui program latihan perantisan dengan menggalakkan lebih banyak pemain industri terutamanya syarikat korporat dalam menyediakan latihan, pengalaman dan peluang pekerjaan kepada graduan dan individu yang kehilangan pekerjaan.

“Peluang kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dengan pemain industri perlu disemarakkan secara berterusan agar graduan yang dihasilkan sepadan dengan keperluan industri pada masa kini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel