Oleh Sharifah Pirdaus Syed Ali
KUALA LUMPUR, 1 Nov -- Bank Islam Malaysia Bhd percaya Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November ini akan mengambil kira situasi ekonomi yang masih lagi rapuh meskipun telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang menggalakkan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Muazzam Mohamad berkata langkah kerajaan menaikkan siling hutang kerajaan daripada 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 60 peratus sudah tentunya akan dapat memberi suatu fleksibiliti untuk mengamalkan dasar fiskal yang mengembang bagi memacukan lagi pemulihan ekonomi.
“Sehubungan itu, langkah-langkah yang bakal diperkenalkan dapat meringankan bebanan para peniaga serta rakyat Malaysia khususnya bagi mereka yang tergolong dalam kategori B40 dan M40.
“Di samping itu, penekanan terhadap pembinaan kapasiti terutamanya dari sudut latihan kemahiran serta mewujudkan peluang pekerjaan merupakan persoalan utama dalam belanjawan yang akan diumumkan nanti,” katanya kepada Bernama.
Bank Islam mengunjurkan pertumbuhan KDNK negara bagi 2021 pada 6.2 peratus berbanding penguncupan 4.0 peratus yang disasarkan bagi 2020 berikutan impak pandemik COVID-19.
Dalam keadaan ini, Mohd Muazzam berkata bagi Belanjawan 2021, bank itu menjangka kerajaan menimbang meningkatkan perbelanjaan untuk merangsang pertumbuhan sektor ekonomi dan golongan yang masih terkesan dengan penularan pandemik tersebut.
“Keutamaan perlu diberikan untuk meminimumkan kesan pandemik kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu yang kehilangan punca pendapatan,” katanya
Beliau yang memetik Jabatan Perangkaan baru-baru ini yang melaporkan kadar pengangguran negara pada Ogos 2020 sebanyak 4.7 peratus atau 741,600 individu tidak bekerja, berkata, ia jelas menunjukkan bahawa negara tidak berada dalam suasana guna tenaga penuh.
Dalam hal ini, Program Subsidi Upah (PSU) perlu diteruskan bagi memberi insentif kepada para majikan di sektor PKS untuk mengekalkan para pekerja mereka.
Selain daripada itu, Bank Islam juga berharap melihat Belanjawan 2021 memberi keutamaan untuk meningkatkan latihan keusahawanan dan meneroka potensi sektor agromakanan.
“Program latihan semula keusahawanan perlu diperluaskan lagi dalam menggalakkan golongan yang terkesan akibat COVID-19 untuk menceburi bidang perniagaan.
“Antara sektor yang berpotensi bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan adalah sektor agromakanan. Ini memandangkan negara kita banyak bergantung kepada hasil import untuk memenuhi keperluan domestik,” katanya.
Pada 2019, jumlah import bagi sektor agromakanan adalah sebanyak RM51.5 billion manakala jumlah eksport pula berada pada paras RM34.1 bilion, menunjukkan defisit imbangan dagangan sebanyak RM17.4 bilion dalam industri itu, katanya.
Mohd Muazzam juga berkata tahap sara diri bagi beberapa produk utama agromakanan juga rendah, antaranya ialah halia dan cili yang masing-masing berada pada 16.2 peratus dan 30.8 peratus pada 2019, manakala produk ternakan daging kambing dan daging lembu masing-masing berada pada 12.1 peratus dan 23.7 peratus.
“Bank Islam melihat situasi ini sebagai suatu peluang bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang pertanian berikutan permintaan yang tinggi.
“Sekiranya dilaksanakan dengan baik, negara akan menghasilkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing, selain dapat menjamin keperluan makanan negara ke tahap yang lebih baik,” katanya.
Mengenai perkembangan lain, beliau berkata Bank Islam mahu melihat lebih banyak usaha untuk menyepadukan sistem ekonomi Islam ke dalam ekonomi arus perdana dipertingkatkan supaya pertumbuhan ekonomi dapat dipacu dengan lebih rancak.
Dalam hal ini, program pembiayaan mikro iTEKAD yang khususkan untuk membantu menjana pendapatan mampan dan daya tahan kewangan perusahaan mikro milik B40 dan asnaf dalam menghadapi kesan COVID-19, perlu diperluaskan ke negeri-negeri lain, katanya.
Bank Islam yang merintis program ini dengan kerjasama rakan-rakan pelaksana seperti Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) akan membantu usahawan mikro yang layak, katanya.
Ini bagi memastikan pemulihan ekonomi lebih inklusif kerana program itu juga digabungkan dengan dana kewangan sosial seperti zakat atau sedekah bagi pembelian peralatan dan barangan untuk pemohon yang layak.
“Namun demikian, perluasan iTEKAD memerlukan galakan kerajaan agar MAIN dapat bekerjasama dengan Bank Islam yang bersedia untuk memudahcara perundingan dengan majlis-majlis bagi memastikan pelaksanaan iTEKAD di setiap negeri untuk merealisasikan manfaat ekonominya,” katanya.
Selain itu Bank Islam juga berharap kerajaan dapat menggerakkan mekanisme insentif pengecualian cukai untuk sumbangan wakaf tunai yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.
“Namun, saya dimaklumkan, walaupun pengumuman telah dibuat Menteri Kewangan terdahulu, perlaksanaan di peringkat Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri masih belum dibuat.
“Insentif pengecualian cukai ini dapat mendorong pertumbuhan industri wakaf tunai yang mana ia akan disalurkan kepada projek yang mampu meningkatkan daya saing ekonomi.
“Bank Islam melihat agenda pembangunan wakaf tunai ini sebagai satu wadah yang mampu memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi rakyat Malaysia. Ianya bersifat inklusif serta mampu untuk memainkan peranan pelengkap kepada dasar fiskal sekiranya dana yang dikutip boleh mencapai suatu tahap yang dikatakan ‘critical mass’,” katanya.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel