BERITA

Belanjawan harapan Taylor's: Rebet cukai, pemulihan sektor pelancongan dan pendigitalan



KUALA LUMPUR, 2 Nov -- Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan Jumaat ini, perlu mengambil kira usaha memperluaskan skim insurans pekerjaan (EIS) untuk peserta ekonomi gig, pengurangan cukai, pemerkasaan pelancongan domestik serta pemotongan cukai bagi menyokong inisiatif pendigitalan.

Profesor Madya Dr Hafezali Iqbal Hussain dari Fakulti Pengurusan dan Pemasaran, Taylor's University berkata EIS di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) perlu dikembangkan secara sukarela kepada mereka yang bekerja sendiri, yang akan menampung mereka yang berada dalam ekonomi gig. 

''Perkeso boleh mencadangkan pilihan bagi mereka yang ingin mengambil versi skim yang dipertingkatkan, yang mana elaun pengangguran boleh diberikan sehingga 100 peratus bayaran selama enam bulan dan bukannya pendekatan menurun yang kini diterima pakai. 

''Selain itu, had untuk sumbangan perlu ditingkatkan kepada RM8,000 (daripada had semasa berjumlah RM4,000) memandangkan garis kemiskinan telah disemak semula daripada RM908 kepada RM2,208 pada Julai 2020,'' katanya dalam satu kenyataan mengenai harapan belanjawan 2021 universiti itu hari ini.

Sumbangan untuk EIS termasuk pengambilan secara sukarela perlu diberi potongan cukai. 

Rangka kerja EIS yang dipertingkatkan akan memberikan kelebihan kepada negara jika berlaku krisis lagi malahan semasa krisis kewangan 2008/09 membuktikan negara-negara maju seperti Jerman mampu meringankan beban apabila skim tersebut banyak membantu rakyatnya yang kehilangan pekerjaan, katanya lagi.

Menurut Hafezali, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk menyediakan geran padanan berbentuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang tidak memenuhi syarat simpanan asas daripada golongan B40 dan mereka yang berusia dalam lingkungan 45 hingga 55 tahun. 

''Ini bagi menampung masyarakat yang semakin berusia serta pergantungan terhadap pengeluaran KWSP semasa dalam saat-saat kesukaran.

''Potongan cukai juga perlu ditingkatkan kepada RM6,000 untuk caruman KWSP di samping mengekalkan RM3,000 secara berasingan bagi insurans hayat atau caruman takaful keluarga,'' katanya lagi.

Potongan cukai untuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) perlu dinaikkan kepada RM10,000 bagi membolehkan ibu bapa memulihkan ekonomi mereka untuk mengumpul kembali simpanan bagi pendidikan yang mungkin terjejas akibat wabak COVID-19. 

''Di samping itu, kuantum untuk potongan cukai yuran membabitkan pendidikan di peringkat pasca siswazah perlu ditokok kepada RM15,000 bagi menggalakkan peningkatan tenaga kerja semasa untuk meraih manfaat pemulihan ekonomi di samping memastikan daya tahan jika berlaku masalah pada masa hadapan. Pengurangan ini juga perlu diperluaskan untuk memasukkan yuran bagi pasangan suami isteri,'' katanya. 

Bagi mempromosikan lagi pelancongan domestik pasca COVID-19, ia sepatutnya merangkumi lanjutan perbelanjaan pelancongan domestik sehingga akhir 2021. 

''Ini membolehkan sektor tersebut pulih dan turut serta dalam jangkaan pemulihan ekonomi, dengan itu menyediakan rangsangan perbelanjaan yang sangat diperlukan dalam sektor yang telah teruk terjejas akibat cabaran semasa. Kami juga berharap potongan cukai khas sebanyak RM5,000 di peringkat individu dalam usaha melonjakkan perbelanjaan penggunaan pada 2021.” 

Dalam menyokong inisiatif pendigitalan, kerajaan perlu mempertimbangkan lanjutan potongan cukai gaya hidup sehingga ke 2021, iaitu RM2,500 untuk pembelian peranti seperti telefon pintar, komputer bimbit dan tablet yang diperkenalkan sejak 1 Jun 2020. 

'Ini akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil kesempatan melalui pengurangan cukai, ini berdasarkan unjuran semasa yang mencerminkan pemulihan yang kukuh pada 2021.”

Pengurangan cukai  gaya hidup perlu diperkasakan dengan memasukkan barangan lain bagi mereka yang perlu menggunakan rumah sebagai pejabat atau tempat belajar seperti meja khusus dan kerusi pejabat. 

''Bil untuk talian pascabayar mudah alih perlu dimasukkan ke dalam perbelanjaan gaya hidup selain bil Internet semasa bagi menampung budaya pembelajaran dan kerja daripada rumah,'' katanya. 

-- BERNAMA

 

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel