BERITA

Belanjawan 2021: Dana besar perlu diberi kepada KKM, bendung COVID-19

FB KKM

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 4 Nov -- Bagi memastikan wabak COVID-19 mampu dikawal, Belanjawan 2021 dilihat sebagai harapan buat rakyat dalam menyediakan agihan dana terbesar terhadap usaha pencegahan dan rawatan pandemik itu, yang dijangka terus melanda negara sehingga beberapa tahun akan datang.

Peruntukan yang besar dan signifikan perlu diberikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), demi kelangsungan usaha membendung penularan wabak itu, selain meningkatkan keupayaan KKM dalam berdepan kesan jangka panjang pasca COVID-19 terhadap kesihatan awam.

Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata langkah pencegahan COVID-19 seperti pembelian vaksin, memerlukan dana besar bagi memastikan negara mendapat vaksin yang berkesan, selamat serta mencukupi untuk rakyat.

Peruntukan kewangan juga, katanya harus meliputi usaha merawat pesakit termasuk penyediaan alatan perubatan yang lebih banyak dan fasiliti kesihatan yang berkualiti.

"Peralatan perlu ditambah dan fasiliti kesihatan sedia ada perlu dinaik taraf kerana kita mungkin berdepan gelombang baharu lagi selepas ini.

"Ini juga sebagai persediaan berdepan kemungkinan wabak lain pada masa akan datang, selain melancarkan pengurusan dan rawatan penyakit atau isu kesihatan sedia ada," katanya kepada Bernama.

Dr Ahmad Faizal juga menyarankan agihan belanjawan yang signifikan kepada kementerian lain yang mempunyai sektor kesihatan dan perkhidmatan petugas barisan hadapan seperti Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau turut mencadangkan, agar kerajaan mempertimbangkan peruntukan dana khas kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang berkaitan bidang kesihatan bagi membantu KKM di lapangan, sejajar menggunakan pendekatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat dalam memerangi penularan COVID-19.

Tambah beliau, Belanjawan 2021 juga harus memberi tumpuan kepada meningkatkan kemampuan sumber manusia dalam bidang kesihatan dan perubatan.

"Lebih banyak perjawatan tetap di semua peringkat dari jururawat sehingga doktor pakar perlu diwujudkan, selain menyediakan latihan bagi memastikan kakitangan kesihatan lebih terlatih dan berkualiti," katanya.

Senada dengan Dr Ahmad Faizal, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata persatuan itu masih menantikan peningkatan jumlah pengambilan jawatan tetap dengan KKM kerana terdapat kekurangan jawatan untuk doktor junior, jururawat dan paramedik. 

Beliau juga berkata banyak kemudahan dan jabatan baharu serta sedia ada tidak dapat beroperasi kerana kekurangan modal insan.

"MMA berharap kerajaan juga akan memberikan kontrak lanjutan selama 10 tahun untuk pegawai perubatan mengambil pengkhususan dalam program sarjana (UD43/44 selama dua tahun dan UD47/48 selama 8 tahun) sebaik mereka layak menjadi pakar dan boleh ditawarkan jawatan tetap gred UD54,” katanya.

Belanjawan 2021 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat (6 Nov) ini.

-- BERNAMA

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel