BERITA

Kerajaan sedang kaji saranan benarkan pencarum keluarkan dana Akaun 1 - PM 



Oleh Saraswathi d/o Muniappan

PUTRAJAYA, 4 Nov -- Kerajaan sedang mengkaji saranan untuk membenarkan pencarum tertentu mengeluarkan dana daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya telah berbincang dengan Kementerian Kewangan dan kita pada dasarnya bersetuju dan bersedia untuk mengkaji cadangan untuk pencarum yang benar-benar memerlukan untuk mengeluarkan peruntukan daripada Akaun 1," katanya dalam satu temu bual bersama BERNAMA dan stesen televisyen tempatan lain, di sini, hari ini, menjelang pembentangan Belanjawan 2021. 

Belanjawan yang akan dibentangkan pada 6 Nov itu merupakan yang pertama di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.

Kerajaan pada tahun ini telahpun melaksanakan beberapa kelonggaran berhubung KWSP, khususnya membenarkan caruman pekerja dikurangkan kepada 7 peratus  daripada 11 peratus dan pengeluaran menerusi i-Lestari yang mana pencarum boleh mengeluarkan simpanan maksimum RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan daripada Akaun 2 masing-masing.

Hampir 70 peratus daripada ahli KWSP memilih untuk mengurangkan caruman pekerja kepada tujuh peratus yang kini menyumbang kepada meningkatkan pendapatan boleh guna sebanyak hampir RM700 juta sebulan. 

Bagaimanapun, katanya, memandangkan lebih daripada 30 peratus ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM5,000, simpanan KWSP tidak semestinya dapat menangani masalah aliran tunai pencarum. 

"Ada yang mempunyai caruman yang kurang daripada RM1,000. Oleh itu simpanan KWSP ini tidak semestinya dapat menangani  masalah aliran tunai pencarum.

"Jika mereka keluarkan, mereka tidak akan mempunyai sebarang simpanan bagi masa depan. 

"Namun, kerajaan sentiasa bersedia untuk mengkaji cadangan untuk membantu rakyat yang menghadapi kesusahan dan yang benar-benar memerlukan,” kata Muhyiddin.

Menurutnya, perlu ada keseimbangan dalam keperluan jangka pendek individu yang terjejas dengan keperluan jangka panjang simpanan persaraannya.

Mengenai gesaan beberapa pihak supaya melanjutkan moratorium, perdana menteri berkata, kerajaan telah berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM).

"Kerajaan menerima banyak maklum balas berhubung keperluan untuk melanjutkan moratorium terutamanya bagi mereka yang terjejas.

“Justeru, kerajaan akan mengkaji kaedah bagi memudahcarakan proses bagi mereka yang benar-benar memerlukan sokongan dan akan mengumumkan keputusannya dalam masa yang terdekat,” katanya sambil menambah pertimbangan akan diberikan kepada kumpulan tertentu yang terjejas teruk.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menyediakan moratorium pinjaman secara menyeluruh dalam usaha menangani impak daripada COVID-19.

"Tiada negara lain yang mengambil pendekatan seperti Malaysia untuk menawarkan moratorium secara automatik kepada semua peminjam. Pendekatan ini mempunyai kelebihan dengan memberi bantuan kepada ramai dengan segera,” kata Muhyiddin.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan hampir semua peminjam telah mengambil kemudahan moratorium ini, ia telah mengurangkan dana untuk mereka yang benar-benar memerlukan selain institusi bank juga kekurangan dana untuk mengeluarkan pinjaman baharu.

“Justeru, kerajaan telah mengambil langkah untuk beralih kepada pendekatan yang lebih bersasar," katanya.

Setakat 16 Okt, 2020, lebih 650,000 permohonan bantuan bayaran balik pinjaman terdiri daripada 603,500 permohonan daripada individu, 43,000 permohonan daripada PKS, dan 3,500 permohonan daripada perniagaan lain telah diterima.

Daripada jumlah itu, kadar kelulusan yang diberikan adalah sebanyak adalah 98 peratus, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel