BERITA

Belanjawan 2021: PKS Sabah harap kerajaan lanjutkan subsidi upah, moratorium



KOTA KINABALU, 5 Nov -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah berharap kerajaan dapat melanjutkan program subsidi upah dan moratorium dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat ini bagi membantu golongan tersebut meneruskan perniagaan mereka ketika tempoh mencabar sekarang.

Presidennya Foo Ngee Kee berkata kedua-dua program itu amat penting kepada penggiat PKS di negeri ini yang terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19 kerana ia dilihat dapat membantu mereka untuk bertahan sekali gus menyelamatkan perniagaan daripada terus merosot.

“Saya berharap subsidi upah RM600 dilanjutkan tiga hingga enam bulan lagi bagi membolehkan penggiat PKS membayar upah pekerja dan mereka (pekerja) tidak dipecat.

“Jika ada subsidi ia akan dapat membantu usahawan untuk meneruskan perniagaan. Jika tiada kewangan perniagaan akan bertambah merosot dan teruk, mungkin lagi banyak perniagaan ditutup.

“Begitu juga dengan moratorium. Saya harap ia dapat dilanjutkan. Bukannya tidak mahu membayar balik, bagaimanapun, keadaan sekarang memang susah berbuat demikian kerana tidak cukup ‘cash roll’,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Foo berkata pelaksanaan kedua-dua program itu semasa tempoh enam bulan lalu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penggiat PKS di negeri ini dan melanjutkan subsidi upah serta moratorium adalah perkara penting kerana Sabah merupakan antara negeri paling terjejas teruk akibat penularan pandemik berkenaan.

 Presiden Usahawan Wanita Sabah Datuk Dayang Haja Khatijah Datu Bachtiyal pula berharap kerajaan dapat memberi subsidi kos penghantaran, kos bahan mentah, selain memperkasa pendigitalan di Sabah yang kini menjadi platform untuk para pengusaha meneruskan perniagaan secara dalam talian.

Menurutnya, langkah itu juga akan dapat memastikan PKS terus menggerakkan perusahaan dan memasarkan produk mereka dalam tempoh ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Rafiq Idris dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan harus menyediakan peruntukan khas pasca Perintah Kawalan Pergerakan kepada sektor strategik seperti perkhidmatan yang terjejas teruk terutamanya sektor pelancongan. 

Beliau berkata semua sektor di Sabah perlu disokong untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi bagi mengelakkan PKS daripada tumbang.

Rafiq berkata COVID-19 telah menyebabkan permintaan pasaran merosot dengan ketara dan bagi mengimbangi impak tersebut, perlu dilakukan sesuatu untuk merangsang perbelanjaan dan permintaan dalam ekonomi termasuk pemberian bantuan tunai kepada kumpulan B40 dan M40 yang terkesan untuk meminimumkan impak bagi membolehkan mereka berbelanja.

“Saya berharap kerajaan akan memberi tumpuan kepada bahagian utama ini seperti mengembangkan pakej rangsangan pada 2021 untuk menyokong atau menyelamatkan PKS, menyediakan bantuan tunai kepada mereka yang terkesan,” katanya.

-- BERNAMA

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel