KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Semua Ahli Parlimen dibenarkan memasuki Dewan Rakyat hari ini untuk mendengar pembentangan Belanjawan 2021.
Keputusan itu dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan ketetapan Dewan Rakyat semalam yang mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen berada di dalam dewan semasa persidangan.
Anwar bangun membangkitkan perkara itu sebelum pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada kira-kira 4.20 petang.
Permohonan Anwar itu mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Antara yang menyokong ialah Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dan Lim Guan Eng (PH-Bagan).
Terdahulu, Anwar berkata semua langkah pencegahan bagi mengekang penularan COVID-19 telah diambil di bangunan Parlimen untuk memastikan persidangan Dewan Rakyat berjalan lancar.
“Ini sesi yang penting khusus untuk mendengar ucapan Belanjawan Menteri Kewangan untuk Speaker memberikan ruang Ahli-ahli Parlimen hadir (yang) menunggu di luar untuk masuk ke dalam dewan,” katanya.
Bung Moktar yang menyokong permohonan itu menyifatkan ia adalah cadangan paling baik kerana pembentangan Belanjawan 2021 adalah amat penting untuk wakil-wakil rakyat mendengarnya dengan teliti.
"Mengikut peraturan mesyuarat Seaker mempunyai kuasa untuk benarkan mereka masuk,” katanya apabila Azhar menjelaskan bahawa perkara itu telah diperhalusi dan dipersetujui secara konsensus oleh ketua-ketua Whip parti serta dibuat pemasyuran dalam Dewan Rakyat semalam.
Semalam, Dewan Rakyat mengambil ketetapan untuk membenarkan hanya 80 Ahli Parlimen menghadiri persidangan,yang terdiri daripada 41 blok kerajaan, 39 pembangkang dan Bebas bagi memastikan kelancaran persidangan ketika pandemik COVID-19.
Keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan Wabak COVID-19 yang turut dihadiri 10 ketua Whip parti.
-- LAGI
PARLIMEN-SPEAKER (MASUK) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Turut menyokong ialah Tajuddin yang menyatakan bahawa terdapat banyak tempat kosong di dalam dewan dan memohon wakil rakyat yang berada di luar dewan dibenarkan masuk dengan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Lim pula memohon pertimbangan Azhar kerana yang membuat permohonan kali ini adalah Ketua Pembangkang dan bukannya Ketua Whip.
“Bolehlah kita pertimbangkan untuk satu hari, satu sesi, kerana belanjawan adalah antara hari yang paling penting untuk Parlimen… kalau nak laksanakan (mengehadkan 80 Ahli parlimen) kita laksanakan minggu depan,” katanya.
Sementara itu, Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) berkata tindakan mengehadkan kehadiran Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat hari ini adalah bertentangan dengan demokrasi.
“Semalam, Speaker bagi tahu bila ada undi belah bahagi semua dibenarkan masuk untuk mengundi, apa beza dengan hanya dengar ucapan paling lama tiga jam atau setakat dua jam, apa salahnya benarkan rakan-rakan kita di luar sana, ini bertentangan dengan prinsip demokrasi,” katanya.
Azhar kemudian menangguhkan persidangan selama lima minit bagi membolehkan semua Ahli Parlimen memasuki dewan untuk mendengar pembentangan Belanjawan 2021 dan berkata keputusan mengehadkan kehadiran kepada hanya 80 orang merupakan keputusan ketua whip secara konsensus.
“Saya ingin nasihatkan di masa hadapan, kalau dapat permintaan sebegini rupa, lebih baik saya diberi notis terlebih dahulu, saya tidak suka buat keputusan secara bersendirian, saya suka secara konsensus libat urus semua pihak,” katanya selepas semua Ahli parlimen memasuki dewan.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel