BERITA

Kerajaan terus pantau pendedahan fiskal, urus risiko menerusi pelan mitigasi



KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Kerajaan akan terus memantau dan meneliti keseluruhan pendedahan fiskal bagi memastikan risiko dapat dikenal pasti dan diuruskan melalui pelan mitigasi, menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2021 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.

Kerajaan juga akan memberi penekanan ke arah konsolidasi data yang lebih sistematik dan pelaporan komprehensif untuk menyediakan gambaran terperinci mengenai pendedahan hutang dan liabiliti, katanya.

Malaysia tidak terkecuali daripada turut menerima kesan pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan krisis kesihatan dan melumpuhkan ekonomi global sejak penularan pertama dikenal pasti pada penghujung Disember 2019.

Menurut laporan itu, walaupun langkah sekatan yang dikenakan berkesan membendung penularan, namun impak kepada ekonomi tidak dapat dielakkan dan memerlukan intervensi kerajaan.

"Malaysia juga tidak terkecuali dalam memperkenalkan beberapa pakej rangsangan dan pelan pemulihan untuk menangani krisis ini. Sehubungan itu, sasaran defisit semasa pembentangan Belajawan 2020 telah disemak semula daripada 3.2 peratus kepada enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

Menurut laporan itu kerajaan telah menggubal perundangan baharu bertujuan meningkatkan had statutori hutang secara sementara untuk menampung pinjaman tambahan bagi membiayai pakej rangsangan ekonomi.

Selain itu beberapa langkah diperkenalkan untuk menyediakan pinjaman mudah dan jaminan kepada perniagaan yang terjejas terutama perusahaan kecil dan sederhana, katanya.

"Langkah ini telah meningkatkan risiko fiskal dari segi pertambahan obligasi dan pendedahan kewangan, bagaimanapun, kerajaan komited untuk melaksanakan langkah mitigasi bagi memastikan pendedahan risiko terkawal," katanya.

Menurut laporan itu, pada akhir Sept 2020, pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan dianggarkan berjumlah RM1,256.9 bilon atau 87.3 peratus daripada KDNK.

"Pendedahan hutang dan liabiliti terdiri daripada hutang kerajaan Persekutuan dan obligasi kewangan lain seperti komitmen jaminan, hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan liabiliti lain termasuk anggaran komitmen tunai kerajaan," katanya.

Pada akhir Sept 2020, Jaminan Kerajaan terkumpul RM289.8 bilion atau 20.1 peratus daripada KDNK berbanding RM275.4 bilion atau 18.2 peratus pada akhir 2019, jelasnya.

Menurut laporan itu, peningkatan tersebut disebabkan terutama oleh terbitan baharu DanaInfra dan Prasarana untuk membiayai projek infrastruktur pengangkutan awam serta pembiayaan yang diterbitkan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk membiayai kemudahan pinjaman perumahan kepada penjawat awam.

Pada akhir Sept 2020, portfolio keseluruhan Jaminan Kerajaan mencatatkan purata tempoh mata berwajaran 10.9 tahun, katanya.

"Risiko pembiayaan semula kekal terkawal dengan hampir 20 peratus daripada Jaminan Kerajaan dijangka matang dalam tempoh enam hingga 10 tahun sementara hampir 45 peratus akan matang dalam tempoh lebih 10 tahun," jelasnya

Risiko kadar tukaran mata wang secara relatifnya minimum kerana lebih 90 peratus daripada jumlah Jaminan Kerajaan adalah dalam denominasi ringgit, katanya.

Selain itu menurut laporan tersebut, masalah kewangan yang serius akibat model operasi perniagaan keterhutangan tinggi tidak mampan yang dialami 1MDB memerlukan intervensi kerajaan untuk menstrukturkan semula perniagaan serta memikul obligasi kewangan syarikat itu.

"Pada akhir Sept 2020, baki hutang 1MDB dianggarkan berjumlah RM32.3 bilion. Kerajaan telah memperuntukkan bantuan kewangan kepada 1MDB bagi tempoh April 2017 hingga Sept 2020 dalam bentuk pinjaman dan pendahuluan sebanyak RM9.4 bilion kepada 1MDB untuk menampung komitmen kewangan dan hutang 1MDB," katanya.

Sehingga akhir Sept 2020, aset bernilai RM13.4 bilion telah diperoleh semula dan disatukan dalam sebuah akaun amanah khusus yang ditadbir oleh MOF, jelas laporan itu.

Antara aset utama yang diperoleh semula termasuk  aset fizikal dan tunai yang disita Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bernilai RM2.6 bilion serta wang tunai diterima daripada Goldman Sachs sebagai sebahagian penyelesaian dengan kerajaan berjumlah US$2.5 bilion, katanya.

Goldman Sachs juga akan membantu dan menjamin untuk mendapatkan semula aset bernilai sekurang-kurangnya US$1.4 bilion, menurutnya.

Menurut laporan itu, pada akhir Sept 2020, terdapat 97 projek perkongsian awam swasta (PPP) melibatkan komitmen kewangan kerajaan sehingga 2047 dengan anggaran sebanyak RM119 bilion.

"Liabiliti Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dianggarkan berjumlah RM49.5 bilion pada akhir Sept 2020," katanya.

Selain itu pada akhir Sept 2020, liabiliti PBLT Sdn Bhd dianggarkan berjumlah RM4.8 bilion, menurut laporan itu.

-- BERNAMA

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel