BERITA

RM26.6 bilion dibelanjakan untuk Program Jaringan Keselamatan Sosial tahun lepas



KUALA LUMPUR, 6 Nov  -- Kerajaan membelanjakan sejumlah RM26.6 bilion atau 1.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pelbagai program jaringan keselamatan sosial pada tahun lepas.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, sebahagian besar bantuan iaitu RM14 bilion (52.6 peratus daripada keseluruhan bantuan) telah diperuntukkan untuk meminimumkan kesan kenaikan kos sara hidup dan meningkatkan kebajikan rakyat terutamanya golongan miskin dan mudah terjejas.

Antara bantuan itu merangkumi subsidi minyak masak, gas petroleum cecair (LPG), diesel dan petroleum, elektrik serta tepung.

Bantuan lain termasuklah Bantuan Sara Hidup (BSH), selain elaun dan pemberian tunai kepada orang kurang upaya, warga emas dan miskin, kanak-kanak tanpa penjaga serta kumpulan Orang Asli.

Menurut laporan itu, pemberian bantuan tersebut penting memandangkan kenaikan kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama bagi kebanyakan rakyat terutamanya golongan miskin dan mudah terjejas.

“Memandangkan sektor pendidikan merupakan pemboleh daya penting bagi membolehkan mobiliti sosial dan pembangunan modal insan, sektor ini telah menerima peruntukan kedua terbesar iaitu RM6.7 bilion (25.3 peratus).

“Peruntukan ini disediakan bagi melaksanakan program seperti bantuan makanan dan buku teks serta bantuan lain merangkumi biasiswa dan pinjaman untuk pelajar sekolah dan universiti,” katanya.

Laporan itu turut menyebut, sektor pertanian juga merupakan penerima utama bantuan sekitar RM1.9 bilion, memandangkan sektor itu bukan hanya ada hubung kait dengan sektor ekonomi lain tetapi juga disebabkan sebahagian besar isi rumah B40 terlibat dalam sektor itu.

Petani dan nelayan antaranya menerima bantuan melalui pelbagai program termasuk subsidi harga padi dan baja, insentif pengeluaran padi, bantuan musim tengkujuh, penanaman semula kelapa sawit, serta pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), sementara nelayan mendapat insentif hasil tangkapan ikan.    

Selain itu, kerajaan turut memperluaskan jaringan keselamatan untuk membantu rakyat yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selepas negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Berikutan pelaksanaan PKP itu, kerajaan telah mengumumkan beberapa pakej rangsangan ekonomi bagi menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan rakyat.

'’Pelbagai bantuan one off diberikan kepada isi rumah untuk meringankan beban kewangan mereka di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN Tambahan yang diumumkan pada Mac dan April lepas.

“Bantuan tersebut termasuk pemberian tunai yang memanfaatkan sekitar lima juta isi rumah,'’ katanya.

Laporan itu turut menyebut di bawah pakej yang sama, program subsidi upah  juga dilaksanakan bagi membantu majikan mengekalkan pekerja khususnya pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak 1 Jan lepas.

“Program itu melibatkan peruntukan berjumlah RM13.8 bilion yang memanfaatkan kira-kira 4.8 juta pekerja selain menyumbang kepada pengurangan kadar penggangguran kepada 4.7 peratus pada Ogos 2020 berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020,” katanya. 

-- BERNAMA

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel