BERITA

Defisit fiskal dijangka pada 5.4 peratus daripada KDNK tahun depan

Ministry of Finance

KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Kerajaan menjangkakan defisit fiskal dapat diturunkan kepada 5.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 berbanding unjuran awal 6.0 peratus pada tahun ini.

Menurut Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, dalam tempoh peralihan krisis ke fasa pemulihan pada 2021, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan beberapa langkah pemulihan untuk merancakkan semula ekonomi, menyokong aktiviti perniagaan dan melindungi kesejahteraan rakyat.

“Peruntukan akan disalurkan secara lebih bersasar kepada program dan projek yang mempunyai kesan pengganda tinggi untuk memastikan nilai faedah terbaik.

“Kerajaan juga akan terus membuat pelaburan dalam projek infrastruktur awam bagi menyokong ekonomi dan merancakkan pertumbuhan dalam tempoh mencabar ini,” katanya.

Menurut laporan itu, hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun depan dianggarkan berjumlah RM236.9 bilion atau 15.1 peratus daripada KDNK manakala jumlah perbelanjaan pula diunjurkan sebanyak RM322.5 bilion atau 20.5 peratus daripada KDNK.

Perbelanjaan mengurus dianggarkan bernilai RM236.5 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM69 bilion, terutamanya untuk membiayai projek infrastruktur awam dengan lebih berkesan seperti Transit Aliran Massa 2 (MRT 2), Lebuhraya Pan Borneo dan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Baki sebanyak RM17 bilion adalah untuk Kumpulan Wang COVID-19 dan kerajaan akan memastikan pelaksanaan pantas pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi di bawah kumpulan wang tersebut, kata laporan itu.

Selain itu, defisit fiskal yang dianggarkan 6.0 peratus pada 2020 itu mengambil kira langkah suntikan ekonomi dan unjuran KDNK serta kutipan hasil yang lebih rendah.

“Oleh itu, baki primer yang tidak termasuk dengan bayaran khidmat hutang dianggarkan mencatat defisit lebih tinggi, iaitu 3.6 peratus daripada KDNK.”

Bagaimanapun, kerajaan komited untuk mengurangkan paras defisit secara berperingkat dalam jangka masa sederhana dan meneruskan semula trajektori konsolidasi fiskal tanpa menjejaskan momentum pemulihan ekonomi dan agenda pembangunan jangka masa panjang.

Bagi kedudukan fiskal negara pada 2020, jumlah unjuran hasil disemak lebih rendah iaitu RM227.3 bilion atau 15.8 peratus daripada KDNK berbanding anggaran Belanjawan 2020 sebanyak RM244.5 bilion.              "Pengurangan kutipan hasil yang dianggarkan sekitar 20 peratus berbanding anggaran Belanjawaan 2020 dengan sebahagiannya akan ditampung oleh dividen tambahan dan bayaran khas daripada entiti kerajaan seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP),” katanya.

Jumlah perbelanjaan dijangka meningkat sebanyak 6.0 peratus atau RM17.7 bilion kepada RM314.7 bilion pada 2020 berbanding anggaran belanjawan sebanyak RM297 bilion.

Peningkatan bersih ini berpunca daripada suntikan rangsangan fiskal dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM38 bilion dan diimbangi oleh penjimatan daripada perbelanjaan sebanyak RM20.3 bilion serta pengurangan perbelanjaan daripada anggaran Belanjawan 2020.

Pada 2020, perbelanjaan mengurus dijangka berkurangan sebanyak 5.9 peratus kepada RM226.7 bilion berbanding anggaran asal sebanyak RM241 bilion manakala perbelanjaan pembangunan dijangka berkurangan 11 peratus kepada RM50 bilion berbanding RM56 bilion yang dianggarkan dalam Belanjawan 2020, kata laporan itu.

-- BERNAMA

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel