KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Permintaan domestik dijangka berkembang 6.9 peratus pada tahun depan selepas diunjurkan menguncup sebanyak tiga peratus pada 2020.
Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, unjuran penguncupan permintaan domestik bagi tahun ini membabitkan penyusutan perbelanjaan sektor swasta sebanyak 3.2 peratus manakala perbelanjaan sektor awam 2.1 peratus.
Walaupun permintaan domestik merosot dengan ketara sebanyak 7.7 peratus pada separuh pertama 2020 berikutan langkah kawalan pergerakan untuk membendung penularan pandemik COVID-19, keyakinan pelabur dan pengguna dijangka akan kembali pada separuh kedua 2020 (2H 2020).
“Ini akan disokong oleh pengumuman pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan pembukaan semula aktiviti ekonomi secara berperingkat.
“Justeru, permintaan domestik dijangka meningkat kembali pada 1.5 peratus dalam separuh kedua 2020 dan seterusnya berkembang sebanyak 6.9 peratus pada 2021,” kata laporan itu.
Penggunaan swasta pula diunjur pulih sebanyak 4.2 peratus pada separuh kedua 2020 dan merekodkan penguncupan marginal sebanyak 0.7 peratus pada 2020, disokong oleh pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan ekonomi bertujuan menyokong isi rumah dan perniagaan.
Bagi 2021, laporan itu menjangkakan penggunaan swasta meningkat sebanyak 7.1 peratus terutamanya disokong oleh pendapatan boleh guna lebih tinggi berikutan aktiviti ekonomi domestik memberangsangkan, pendapatan eksport yang kukuh, dasar kewangan akomodatif, pelanjutan tempoh pelepasan cukai penjagaan anak serta pasaran saham yang menggalakkan.
Pelaburan swasta diunjur menguncup 11.7 peratus pada 2020 akibat permintaan yang lemah dan mudah tunai yang ketat, berikutan penutupan sementara operasi perniagaan selama beberapa minggu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketidaktentuan pasaran kewangan pada separuh pertama 2020.
“Bagaimanapun, perbelanjaan swasta dijangka melonjak sebanyak 6.7 peratus pada 2021 berikutan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk merancakkan aktiviti perniagaan, termasuk penubuhan dana untuk menyokong pendigitalan terutamanya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)."
Bagi pelaburan awam, laporan itu mengunjurkan penguncupan 9.3 peratus pada 2020 disebabkan oleh perbelanjaan modal lebih rendah, terutamanya pada separuh pertama 2020.
Syarikat awam dijangka terus melabur dalam projek baharu dan sedia ada termasuk pembangunan projek berkaitan minyak dan gas, naik taraf aktiviti berkaitan pendigitalan serta pembinaan stesen janakuasa tenaga.
“Inisiatif tersebut dijangka menyokong pelaburan awam yang diunjur berkembang sebanyak 16.9 peratus pada 2021,” katanya.
Menurut laporan itu, penggunaan awam dijangka meningkat sebanyak 1.6 peratus pada 2020 dan seterusnya berkembang dua peratus pada 2021 dengan kerajaan terus menambah baik aspek penyampaian perkhidmatan awam dan mengoptimumkan perbelanjaan.
Selain itu, pendapatan kasar kerajaan (PNK) dalam harga semasa dijangka susut 3.7 peratus pada 2020 berikutan aktiviti ekonomi yang perlahan.
Tabungan negara kasar (TNK) diunjurkan berkurangan sebanyak 11 peratus kepada RM328.3 bilion pada 2020 manakala jurang tabungan-pelaburan dijangka mencatat lebihan sebanyak RM48.5 biion pada tahun ini.
“Pada 2021, PNK dijangka kembali meningkat sebanyak 7.8 peratus kepada RM1.53 trilion manakala TNK pula berkembang sebanyak dua peratus kepada RM335 bilion.
"Jurang tabungan-pelaburan pada 2021 dianggarkan mencatat lebihan yang lebih rendah berjumlah RM20.3 bilion.
“Lebihan tersebut akan terus menyediakan mudah tunai yang mencukupi bagi membiayai aktiviti ekonomi domestik dan digunapakai untuk pelaburan jangka masa penjang yang produktif.”
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel