Oleh Niam Seet Wei & Nurul Hanis Izmir
KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini menyediakan peruntukan mencecah RM322.5 bilion, jumlah terbesar dalam sejarah negara, yang sememangnya amat diperlukan bagi melindungi rakyat dan menyokong petugas barisan hadapan ke arah memperkukuh pemulihan negara berikutan penularan pandemik kesihatan yang hampir melumpuhkan ekonomi global.
Lebih banyak bantuan berkaitan penjagaan kesihatan, insentif dan peruntukan untuk peralatan adalah bahagian penting dalam Belanjawan 2021 di bawah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional yang bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama”.
Perniagaan -- tidak kira kecil, sederhana mahupun besar turut tidak ketinggalan. Potensi ekonomi gig dan keperluan untuk menyediakan platform bersesuaian dari segi pendidikan, pembiayaan dan jaringan keselamatan turut dipertimbangkan.
Belanjawan itu turut memberikan pelepasan cukai untuk individu untuk meningkatkan kuasa membeli, memperkasakan keusahawanan wanita, orang kurang upaya, golongan rentan dan komuniti orang Asli menjadikan belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini, satu belanjawan yang inklusif untuk semua.
“Kerajaan telah meletakkan keutamaan melindungi rakyat melebihi segala perkara lain,” kata beliau ketika membentangkannya di Parlimen ketika negara sedang berhadapan dengan gelombang ketiga pandemik COVID-19 dengan kes mencecah 1,000 sehari.
Tahun lepas, Belanjawan 2020 menyaksikan peruntukan berjumlah RM314.7 bilion, jumlah yang telah disemak semula daripada anggaran peruntukan awal RM297 bilion, yang diperoleh daripada suntikan rangsangan fiskal.
Belanjawan 2021 dipandu oleh lima strategi iaitu pandemik COVID-19 dan kesihatan awam, memelihara kebajikan golongan rentan, memperkasa peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan masyarakat sivil, menjamin kelestarian sumber dan perkhidmatan awam.
Daripada jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2021 itu, RM236.5 bilion (73.3 peratus) akan disalurkan kepada perbelanjaan operasi, RM69 billion atau 21.4 peratus kepada perbelanjaan pembangunan dan RM17 billion (5.3 peratus) kepada Kumpulan Wang COVID-19.
Menurut Tengku Zafrul, kementerian pendidikan akan terus menerima jumlah terbesar bernilai RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada jumlah peruntukan.
Beliau turut mengumumkan sejumlah RM17 billion untuk Kumpulan Wang COVID-19 dengan tambahan peruntukan khas RM1 bilion bagi menangani gelombang ketiga pandemik itu.
Bagi menghargai sumbangan wanita kepada negara serta memperkasakan keusahawanan wanita, Tengku Zafrul berkata sejumlah RM95 juta pembiayaan kredit mikro khas akan diperuntukkan menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Agrobank.
Sementara itu, menteri kewangan itu berkata kira-kira 1.4 juta pembayar cukai dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif pengurangan cukai pendapatan yang bertujuan meringankan beban kewangan rakyat semasa tempoh krisis COVID-19.
“Kerajaan bersetuju kadar cukai pendapatan untuk individu pemastautin diturunkan sebanyak satu mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000 yang dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai,” tambah beliau.
Bagi melonjak dan memperkasa usahawan Bumiputera, sejumlah RM4.6 bilion disediakan untuk empat tujuan termasuklah RM510 juta bagi tujuan pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN dan PUNB.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata setiap cabaran yang dihadapi, mampu menghasilkan peluang.
Contohnya, dalam konteks COVID-19, walaupun perniagaan terkesan, namun ada sektor industri yang masih tumbuh pesat seperti peralatan perubatan, e-dagang dan penghantaran serta teknologi pendidikan, katanya.
Menurut Tengku Zafrul, bagi pelaburan dalam sektor utama pula, sebanyak RM1 bilion telah disediakan sebagai pakej galakan pelaburan berteknologi dan nilai tambah tinggi.
“Dana ini antaranya bertujuan menyokong pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang aeroangkasa serta kluster elektronik di kawasan perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah,” jelas beliau.
Beliau berkata Skim Pembangunan Nasional bernilai RM1.4 bilion oleh Bank Pembangunan Malaysia akan diperkenalkan bagi menyokong pelaksanaan pembangunan rantaian bekalan domestik dan meningkatkan penghasilan produk tempatan seperti peralatan perubatan.
Selain itu, di bawah Skim Pembangunan Maritim dan Logistik, Skim Pembiayaan Pembangunan Mampan, Skim Infrstruktur Pelancongan dan Dana Pengangkutan Awam akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023 dengan ketersediaan dana sebanyak RM3.7 bilion.
Beliau berkata daripada keseluruhan dana skim-skim berkenaan, sebanyak RM2 bilion akan diperkenalkan melalui pinjaman daripada institusi perbankan di bawah Bank Negara Malaysia, bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Mengulas mengenai jaminan pinjaman itu, Tengku Zafrul berkata setakat ini, sebanyak RM25 bilion jaminan telah diberikan di bawah Syarikat Jaminan Perniagaan sambil menambah kerajaan akan meningkatkan jaminan itu sehingga RM10 bilion lagi, dengan RM2 bilion diperuntukkan khusus kepada usahawan Bumiputera.
“Manakala untuk syarikat korporat yang terlibat dalam industri berkemahiran tinggi seperti minyak dan gas, dan aeroangkasa, jaminan bernilai RM3 bilion dikhususkan di bawah Skim Jaminan Prihatin Danajamin.
“Skim ini akan dilanjutkan sehingga 2021 dengan terma dan syarat yang ditambah baik”, jelas beliau.
Sementara itu, ketika mengakhiri pembentangan, Tengku Zafrul turut berkongsi harapan dalam mengharungi cabaran yang dihadapi masa kini.
“Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama dunia dilanda wabak. Manusia sudah berulang kali jatuh dan bangkit semula membina tamadun. COVID-19 sememangnya musibah yang membuat dunia akur bermuhasabah, mencari penyelesaian dan saling meneladani.
“Maka sebab itu bagi kerajaan, nurani rakyat mesti didakap erat. Saya punya sebuah kepercayaan. Betapa bangsa Malaysia ialah bangsa yang berani, bangsa yang kuat, yang bila sepakat kita mampu melakukan yang luar biasa. Atas hakikat itulah, Belanjawan 2021 ini mengangkat tema “Teguh Kita, Menang Bersama”.
“Kita boleh berbalah dan berbeza pandangan atas perkara cabang, namun bermuafakatlah kita atas perkara dasar.
“Jika sebelum ini kita pernah bersama sebulat suara bersetuju dengan penubuhan Kumpulan Wang COVID-19, adalah harapan ramai di dalam Dewan yang mulia ini, mahupun rakyat di luar sana - Belanjawan ini dijulang menjadi kanun saksi perpaduan kita demi rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel