KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Bekalan susu dalam Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan disediakan setiap hari persekolahan berbanding dua kali seminggu ketika ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Tengku Zafrul berkata ini bagi memastikan murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh.
Beliau berkata penambahbaikan program RMT itu akan melibatkan peruntukan sebanyak RM420 juta dan sebahagian perolehan akan dikhaskan kepada pengeluar susu tempatan.
Katanya, bagi belanjawan kali ini, Kementerian Pendidikan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan kerana pendidikan merupakan pelaburan yang paling penting dalam memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Bagi memastikan suasana pembelajaran kondusif, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM800 juta disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan termasuk menaik taraf serta membina dewan terbuka atau struktur berbumbung untuk perhimpunan sekolah.
“Selain itu, kos tambahan sebanyak RM725 juta akan diperuntukkan bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 50 sekolah daif. Bagi memperkasa pendidikan khas pula, RM45 juta akan disediakan untuk kebajikan murid berkeperluan khas,” katanya.
Beliau berkata bagi sekolah di luar bandar Sabah dan Sarawak, kerajaan akan melaksanakan 184 projek pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub baharu dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM120 juta.
Menyentuh mengenai peringkat pengajian tinggi, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM14.4 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi termasuk RM50 juta untuk membaik pulih infrastruktur dan peralatan usang di universiti-universiti awam.
Menurutnya, sebanyak RM50 juta pula disediakan untuk menaik taraf talian akses Malaysian Research and Education Network (MYREN) kepada 500Mbps hingga 10Gbps bagi memastikan kesalinghubungan Internet di institut pengajian tinggi (IPT).
Tengku Zafrul berkata kerajaan akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional dalam pembiayaan skim pinjaman komputer riba melibatkan RM100 juta bagi memastikan pelajar IPT yang mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Beliau menambah, pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional akan dilanjutkan sehingga 2022 bagi terus menggalakkan ibu bapa membiayai kos pendidikan tinggi anak-anak mereka.
Tengku Zafrul berkata sebanyak RM6 bilion diperuntuk untuk memperkasakan bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain pelbagai inisiatif antaranya menyediakan pinjaman kepada 24,000 peserta program TVET di institut kemahiran awam dan swasta dan peningkatan elaun bulanan kepada RM1,000 kepada peserta Sistem Latihan Dual Nasional Plus.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.
KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.
Oleh Harizah Hanim Mohamed
MANCHESTER, 16 Okt -- Penggiat industri berkata Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memba...
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Okt -- Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menyat...
Laporan eksklusif oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 agar ia...
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...
KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...
© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara.
Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel