BERITA

Belanjawan 2021: RM6.5 bilion Bantuan Prihatin Rakyat manfaat 8.1 juta orang



KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Bantuan Sara Hidup (BSH) akan digantikan dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan peruntukan berjumlah RM6.5 bilion yang dijangka memanfaatkan 8.1 juta orang menerusi Belanjawan 2021.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata di bawah BPR, isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200, manakala yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima sebanyak RM1,800.

Katanya isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak pula akan menerima bantuan sebanyak RM800, manakala yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima RM1,200.

“Kerajaan turut akan membantu kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000. Kategori ini akan menerima RM500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan RM750 kepada isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Selain itu, katanya individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula akan menerima bantuan RM350, dengan umur kelayakan diturunkan kepada 21 tahun berbanding 40 tahun sebelum ini.

Tengku Zafrul berkata BPR akan dilaksanakan secara lebih bersasar berbanding BSH yang sebelum ini memperuntukkan RM5 bilion untuk 4.3 juta penerima.

Sebagai tambahan kepada BPR, katanya kerajaan akan turut memperuntukkan RM1.5 bilion bagi melaksanakan Program Jaringan PRIHATIN bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan berpendapatan rendah B40 mendapatkan kemudahan internet.

“Bermula suku pertama 2021, kira-kira lapan juta penerima daripada golongan B40 akan menerima bantuan RM180 dalam bentuk kredit telekomunikasi,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, bantuan itu boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.

Pada masa sama, katanya syarikat-syarikat telekomunikasi akan menyediakan manfaat bernilai RM1.5 bilion seperti dalam bentuk data percuma.

-- BERNAMA

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel