BERITA

Kerajaan tubuh Majlis Pekerjaan Negara dipengerusi Perdana Menteri



KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Kerajaan menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata majlis berkenaan akan menyelaras pelbagai inisiatif merentas kementerian dan agensi bagi mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan pekerja.

‘’Agensi Laksana (Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional) bertanggungjawab untuk memantau keberkesanan segala inisiatif bagi memastikan rakyat Malaysia terus mendapat peluang pekerjaan,’’ katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata selain itu, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM1 bilion bertujuan meningkatkan program kemahiran dan latihan semula dengan menumpukan kepada kebolehpasaran pekerja dan padanan pekerjaan pada tahun depan.

Katanya, menerusi program itu, RM150 juta akan diperuntuk bagi program Kementerian Pengajian Tinggi persijilan profesional (KPT-PACE) iaitu graduan baharu akan ditawarkan baucar bernilai RM3,000 seorang untuk mengambil kursus sijil profesional di universiti awam dan swasta. 

Beliau berkata dijangka 50,000 graduan akan memperoleh manfaat daripada program itu.

Kerajaan juga akan memperuntukkan RM100 juta kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bagi melaksanakan program latihan dan kerja secara usahasama dengan majikan sektor swasta.

Peruntukan turut diberikan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjumlah RM100 juta bertujuan mengisi keperluan tenaga kerja dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

‘’RM100 juta juga diberikan kepada pihak berkuasa pembangunan wilayah terutamanya IRDA (Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar) dan SEDIA (Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah), bertujuan melengkapkan kemahiran baharu kepada tenaga kerja terjejas teruk akibat penutupan sempadan.

‘’Sebanyak RM30 juta pula diberi kepada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera Malaysia (Perhebat) bagi program latihan kemahiran dan keusahawanan yang dijangka memanfaatkan 12,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM),’’ katanya.

Beliau berkata bagi menggalakkan rakyat meningkatkan kemahiran serta menceburi bidang baharu, skop pelepasan cukai yuran pengajian akan diperluas meliputi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran oleh badan-badan bertauliah, terhad kepada RM1,000 bagi setiap tahun taksiran.

Tengku Zafrul berkata kerajaan turut memperkenalkan inisiatif Short-term Employment Programme atau MySTEP yang menawarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bermula Januari tahun depan.

Beliau berkata menerusi program itu, kerajaan akan memperuntukkan lebih RM700 juta dan di bawah inisiatif tersebut, 35,000 pekerjaan akan ditawarkan dalam sektor awam terutamanya membabitkan perjawatan seperti jururawat, atendan perubatan, pegawai kebajikan masyarakat serta guru sementara.

‘’Syarikat GLC pula akan menyediakan 15,000 peluang pekerjaan yang mengutamakan bidang teknikal dan kewangan serta turut dipanjangkan kepada graduan untuk menjalani program perantisan,’’ katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel