BERITA

Belanjawan 2021 mesra rakyat, pemimpin negeri lega



KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Para pemimpin negeri melahirkan kelegaan dan kegembiran terhadap Belanjawan 2021 yang disifatkan sebagai mencakupi semua sektor ekonomi serta mesra rakyat.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata Belanjawan 2021 memberi faedah langsung kepada rakyat di negeri itu terutama bagi projek infrastruktur yang dirancang termasuk projek Loji Rawatan Air di Kubang Pasu, projek jalan raya dari Gerik ke Kulim serta infrastruktur zon pembangunan khas di Yan dan Baling. 

"Insentif pengeluaran getah (IPG) yang ditingkatkan, insentif kepada nelayan dan petani akan banyak memberi manfaat kepada golongan sasar di Kedah. Bagi projek naik taraf jalan luar bandar yang akan didanai sebanyak RM1.32 bilion, saya amat mengharapkan untuk jalan-jalan ban di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), perkampungan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Kawasan Felda turut diberikan perhatian," katanya.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan perlu memastikan setiap inti pati dalam belanjawan itu dilaksanakan sebaiknya. 

"Belanjawan 2021 membuktikan bahawa kerajaan mendengar suara rakyat. Amat penting bagi kerajaan memastikan setiap bantuan sampai kepada golongan sasar," kata Ahli Parlimen Tambun itu.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula berkata Belanjawan 2021 menunjukkan keseriusan kerajaan membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif melibatkan nilai kewangan besar khususnya kepada golongan B40 yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19. 

"Ini termasuk implikasi kewangan sehingga RM400 juta bagi menghapuskan hutang kebun oleh peneroka Felda yang sudah tentu melegakan golongan tersebut," kata beliau yang menyifatkan Belanjawan itu sebagai mesra rakyat.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Belanjawan 2021 memfokuskan bantuan kewangan bagi mengurangkan kesan COVID-19, justeru pihaknya akan memastikan manfaat yang diberi itu digunakan sebaik mungkin untuk rakyat selain sektor ekonomi di negeri itu. 

Di SARAWAK, peruntukan penambahbaikan infrastruktur luar bandar dalam Belanjawan 2021 mampu mengurangkan beban yang ditanggung negeri itu, kata Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

“Pengumuman RM632 juta yang diperuntukkan bagi bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif dengan sasaran 4,800 buah rumah itu amat membantu Sarawak dalam usaha Sarawak untuk menyalurkan bekalan air bersih kepada setiap isi rumah di seluruh negeri ini menjelang tahun 2025,” katanya.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata peruntukan RM20 juta kepada empat negeri termasuk Melaka bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung Budaya bakal memberi manfaat besar kepada sektor pelancongan negeri berkenaan.

Beliau berkata ini kerana sektor pelancongan merupakan penyumbang utama ekonomi negeri itu dan peruntukan tersebut akan memberi insentif khususnya untuk pembangunan fasiliti bagi menyokong dan merancakkan sektor pelancongan Melaka.

Katanya peruntukan sebanyak RM150 juta bagi Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Kesang dan Tasik Biru ke Empangan Jus di Jasin dilihat mampu menyumbang kepada pemulihan masalah sumber air di Melaka.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Belanjawan 2021 adalah hasil pendekatan yang inklusif melalui sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk merentas semua negeri dan parti politik.

“Kita dapat melihat usaha kerajaan memelihara kebajikan rakyat melalui pengawalan dan pencegahan COVID-19, pengukuhan aliran tunai isi rumah, jaminan peluang pekerjaan serta menjana semula sektor ekonomi dan perniagaan yang telah terkesan teruk.

“Dalam masa yang sama, kerajaan tidak meninggalkan usaha memperkasakan agenda bumiputera dan Islam. Ia juga menumpukan inisiatif kepada golongan berpendapatan rendah dan terjejas termasuk peniaga kecil, petani dan nelayan,” menurutnya dalam kenyataan di laman sosial rasmi Facebook.

Menteri Besar Johor  Datuk Ir Hasni Mohammad pula berkata Belanjawan 2021 jelas mengutamakan kesejahteraan rakyat di tengah-tengah kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19. 

Beliau berkata ini kerana pelbagai peruntukan disalurkan bagi memelihara kebajikan golongan rentan melalui subsidi, bantuan dan insentif sekali gus memaparkan komitmen Kerajaan Persekutuan yang prihatin terhadap suara hati rakyat. 

Katanya dalam konteks Johor, belanjawan ini telah menyediakan beberapa peruntukan bagi membantu kerajaan negeri menjana peluang pekerjaan dan memacu pemulihan ekonomi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob pula menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai peruntukan inklusif yang akan menyalurkan pelbagai bantuan serta insentif kepada rakyat termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dalam menghadapi situasi ekonomi yang mencabar susulan pandemik COVID-19.

"Turut diberi perhatian adalah agenda pembangunan Islam yang menerima peruntukan sebanyak RM1.4 bilion bagi memartabatkan syiar Islam.

“Selain itu, peningkatan RM3.1 bilion kepada RM11.1 bilion dalam agenda pemerkasaan bumiputera menunjukkan usaha kerajaan untuk menyokong pembangunan bumiputera,” menurutnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2025 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel