BERITA

Belanjawan 2021: KKM nafi dakwaan peruntukan rawatan NCD dikurangkan 



PUTRAJAYA,  8 Nov -- Walaupun tumpuan negara ketika ini adalah untuk menangani pandemik COVID-19, namun peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Belanjawan 2021 bagi perbelanjaan lain terutamanya penyakit tidak berjangkit (NCD) masih diberi keutamaan oleh kerajaan demi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat.

Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata dalam belanjawan itu, rawatan untuk NCD tidak pernah diabaikan malah masih diteruskan dan peruntukan untuk tujuan tersebut juga tidak dikurangkan.

Perkara itu selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lepas dengan peruntukan sebanyak RM19 juta, katanya pada sesi taklimat media berkenaan Belanjawan 2021 di sini hari ini.

Agenda Nasional Malaysia Sihat bertujuan memantapkan amalan gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko menghidapi penyakit diabetes, hipertensi dan obesiti.

Beliau berkata tafsiran beberapa pihak yang mengatakan berlaku pengurangan sebanyak 2.57 peratus dalam peruntukan mengurus kepada RM27.22 bilion untuk 2021 berbanding RM27.94 bilion pada tahun sebelumnya adalah kurang tepat.

“Ini adalah strategi belanjawan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan dengan memindahkan beberapa butiran daripada perbelanjaan pengurusan kepada perbelanjaan pembangunan. Beberapa butiran itu berkait dengan pembiayaan projek jangka panjang," katanya.

Bagi Belanjawan 2021, KKM menerima peruntukan berjumlah RM31.94 bilion melibatkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM27.22 bilion dan  RM4.72 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, berbanding RM30.6 bilion bagi peruntukan 2020 yang RM27.94 bilion daripadanya untuk perbelanjaan mengurus dan RM2.66 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

"Ia merupakan strategi dan penambahbaikan dalam belanjawan yang baru. Ini membolehkan KKM mengawal dan memantau peruntukan dan perbelanjaan secara menyeluruh dan lebih efisien bagi semua kemudahan kesihatan KKM," katanya.

Menurut Chen, KKM sejak dahulu lagi merupakan antara kementerian yang menerima peruntukan tertinggi selepas Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata setiap tahun peruntukan yang diberi kepada KKM terus meningkat iaitu daripada RM15.35 bilion pada 2010 kepada RM30.6 bilion pada 2020, peningkatan sebanyak RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun.

“Sudah tentu kita ada senarai harapan untuk mendapatkan lebih banyak (peruntukan), tetapi kita perlu memahami keadaan ekonomi secara keseluruhan. Bagi kami, kami melihat kenaikan tahunan secara beransur-ansur dalam belanjawan kami dan sangat gembira mengenai perkara tersebut.

“Tetapi tidak kira berapa banyak kita perolehi, mesti ada cara inovasi untuk memperbaiki dan membuat perbelanjaan berhemah dalam menguruskan kementerian dengan cekap,” katanya.

Chen berkata kementerian telah membuat banyak inovasi seperti daripada membeli peralatan baru, KKM akan menyewa atau memajak untuk memilikinya, membuat tender terbuka untuk mendapatkan harga terbaik dan melakukan perolehan kumpulan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pertahanan.

“Ini semua penjimatan yang telah kita buat dan dengan penjimatan itu kita dapat memperuntukkan lebihannya untuk aktiviti lain,” tambahnya.

Pada masa yang sama, katanya, inisiatif kesihatan tidak hanya terletak di bawah KKM malah juga membabitkan kementerian lain seperti inisiatif pengurangan cukai bagi perbelanjaan perubatan dan MySalam di bawah Kementerian Kewangan, program saringan kanser serviks dan insentif subsidi ujian mamogram di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat serta pembinaan taska buat petugas barisan hadapan.

KKM juga telah membuat permohonan kepada kerajaan bagi pembinaan Hospital Penyakit Berjangkit yang telah dimasukkan di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU), kata beliau.

-- BERNAMA

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel