BERITA

BN nyata sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021



KUALA LUMPUR, 10 Nov -- Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran "one-off" hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain melanjutkan moratorium.

Ketika menyatakan perkara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), turut berpandangan pindaan terhadap Rang Undang-undang Perbekalan 2021 wajar dilakukan, mengambil kira situasi luar biasa dihadapi negara ketika ini susulan pandemik COVID-19.

“Bajet ini dibuat dalam keadaan luar biasa, kalau kita nak pinda pun bajet ini ia wajar dilakukan sebab ini keadaan luar biasa dan tambahan lagi dalam hal ini, pendirian BN seperti mana disuarakan oleh (Ahli Parlimen) Bagan Datuk (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bahawa kita nak pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 secara ‘one-off’ dan moratorium dilanjutkan hingga 30 Jun 2021 diluluskan oleh kerajaan.

“Sokongan saya dan rakan-rakan terhadap  bajet ini tertakluk kepada kelulusan kedua-dua ini, jadi sokongan kita (BN) pada bajet ini sokongan bersyarat,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab celahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) tentang kemungkinan Rang Undang-undang Perbekalan kali ini dipinda kerana sepanjang pengalamannya sebagai ahli Parlimen, perkara itu tidak pernah berlaku.

Pada awal perbahasan, suasana hangat seketika apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoalkan tempoh 90 minit yang diberikan kepada Najib dan memulakan perbahasan bagi pihak penyokong kerajaan sedangkan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) adalah Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) yang seharusnya memulakan perbahasan rang undang-undang itu untuk blok kerajaan. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun bagaimanapun menjelaskan Najib dipilih sebagai pembahas utama blok kerajaan, oleh itu beliau diberikan 90 minit sebagaimana tempoh berbahas bagi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. 

Meneruskan perbahasan, Najib berkata berdasarkan harapan rakyat, Belanjawan 2021 perlu dibuat penambahbaikan supaya penerimaan rakyat menjadi lebih mantap dan menyeluruh.

Najib berkata langkah pengeluaran secara “one-off” KWSP diperlukan untuk menaikkan kitaran wang dalam ekonomi pada masa perbelanjaan kerajaan adalah terhad, serta boleh digunakan rakyat sebagai penyelesaian tunggakan hutang, selain menjadi modal asas memulakan perniagaan kecil terutama bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Tanggungjawab kerajaan bukan untuk menafikan pencarum daripada mengakses wang milik mereka sendiri pada masa mereka paling terdesak. Fokus kerajaan pula ialah mencari jalan untuk memulih dan memastikan pencarum dengan baki simpanan yang rendah dapat menambah simpanan mereka dengan kadar paling cepat,” katanya.

Najib berkata perkara itu boleh dilakukan menerusi tiga cara, iaitu membantu KWSP meraih pendapatan yang lebih dengan memberi projek lumayan kepada KWSP; menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan dan pencarum; serta mengubah struktur pembayaran dividen kepada struktur berperingkat.

 Bekas perdana menteri itu berkata cadangan lanjutan moratorium selama enam bulan lagi perlu dipanjangkan kepada semua peminjam, termasuk pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN selain Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi penjawat awam.

Dalam pada itu, Najib mengingatkan kerajaan supaya tidak meneruskan perkara tidak disenangi rakyat termasuk peruntukan bagi agensi Jabatan Hal Ehwal khas (Jasa) yang boleh dibelanjakan untuk pembelian pelitup muka, cecair pencuci tangan kepada rakyat atau diberi kepada ibu bapa bagi menggantikan bekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk murid-murid yang dinafikan sarapan pagi kerana sekolah ditutup.

Selain itu, Najib turut mencadangkan kerajaan melaksanakan Rancangan Pandang ke Borneo sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi seluruh negara untuk jangka masa sederhana dan panjang.

Beliau berkata Sabah dan Sarawak mempunyai sumber kekayaan semula jadi yang amat besar dan lokasi yang strategik kerana berada lebih dekat dengan negara-negara yang pesat membangun di Asia Timur berbanding Semenanjung Malaysia.

“Secara asasnya, negeri yang kurang membangun akan mengalami pertumbuhan dengan lebih pesat jika diberi perhatian dan pelaburan yang sewajarnya. Adalah tidak masuk akal jika kita menggalakkan syarikat-syarikat dari Malaysia untuk melabur di luar negara tanpa memberi peluang mereka melabur di Sabah dan Sarawak yang penuh dengan potensi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel