BERITA

Menteri atau timbalan diminta hadir perbahasan Belanjawan 2021



KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Isu ketidakhadiran menteri atau timbalan menteri di Dewan Rakyat kembali dibangkitkan pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 hari ini, menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Datuk Seri Azalina Othman Said meminta seorang daripada mereka agar berada di dalam dewan semasa Ahli Parlimen membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

Azalina ketika membuat permohonan itu pada akhir sesi persidangan hari ini, berkata menteri atau seorang daripada timbalan menteri berkaitan perlu berada di dalam dewan semasa perbahasan bagi mendengar isu-isu yang dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen. 

"Jadi saya nak mintalah Menteri atau Timbalan Menteri yang ada dua (orang), tolonglah duduk dalam dewan bila perbahasan dilaksanakan oleh Ahli-ahli Parlimen sebab isu ini isu yang sangat penting kerana (berkaitan) belanjawan.

"Saya tahu semua orang sibuk, kita pun sibuk...jadi saya nak ulangi arahan daripada Speaker, (dan) saya nak minta, saya tidak mahu cakap lagi, tolonglah pesan kepada kawan-kawan kita, Menteri atau Timbalan Menteri salah satu kena ada sebab mereka kena dengar isu-isu.

“...ini saya tengok Menteri banyak tiada, saya faham semua orang sibuk tetapi ini isu belanjawan, isu yang begitu penting," katanya.

Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan perkara itu sebanyak dua kali pada sesi perbahasan hari ini iaitu selepas perbahasan oleh Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) dan Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (Warisan-Kota Belud).

Ketika kali pertama membangkitkan perkara itu, Rayer memohon penjelasan adakah Menteri Kewangan atau dua Timbalannya hadir pada sesi perbahasan hari ini untuk mendengar serta memberi ulasan terhadap isu-isu dibangkitkan.

"Ini adalah masa yang begitu penting dan tuan Speaker telah memberitahu bahawa masa sekarang telahpun tiada ahli-ahli (Parlimen) yang hadir, sekurang-kurangnya kita ada Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan Timbalan Menteri (Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abd Rahim Bakri, Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah) untuk hadir.

"Inilah persoalan saya, bilangan...saya lihat hari itu tuan Yang Dipertua dah singkatkan kepada 80 orang, kadangkala tidak cukup bilangan, tetapi sekurang-kurangnya Menteri Kewangan, Timbalan-timbalan Menteri perlu hadir," katanya.

Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) kemudiannya mencelah dan menjawab: "Dia (Menteri Kewangan atau Timbalannya) berada di sini, kita tahu bahawa COVID-19 ini kita tidak boleh expose (terdedah) lebih daripada 15-20 minit (antara individu)...dia keluar sekejap, dia masuk balik, tidak ada masalah."

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun yang ketika itu mempengerusikan mesyuarat berkata: "Yang Berhormat, tiada dalam peraturan bahawa mereka (menteri dan timbalan) mesti hadir di sini. Sekiranya mereka memantau telecast atau live streaming (dalam talian) maka mereka dapat menjawab nanti semasa penggulungan saya rasakan." 

Persidangan dewan bersambung esok.

-- BERNAMA

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel